JOHOR BAHRU, 27 Feb – Haos Industries Sdn. Bhd meneruskan langkah strategik dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju minuman industri tempatan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen Haos Industries untuk memperkasa ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggabungkan kecanggihan teknologi untuk bersaing di pasaran global, sekali gus menjadikan syarikat ini sebagai entiti yang semakin bersedia untuk Penawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia pada tahun 2028.
Majlis penandatanganan MoU yang diadakan di Bilik Jamuan, Dewan Sultan Iskandar ini disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Haos Industries Sdn. Bhd., Anis Permin, serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Haos Industries Sdn. Bhd., Mohd Shahrin Jaafar.

UTM, sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka, berperanan penting dalam membantu Haos Industries Sdn. Bhd. memanfaatkan kemajuan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, dan Industri 4.0 untuk meningkatkan daya saing syarikat. MoU ini turut membuka peluang bagi pelajar UTM untuk terlibat dalam projek dunia sebenar yang berkait rapat dengan cabaran industri, memberi mereka pengalaman berharga dalam bidang teknologi canggih dan keusahawanan.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyatakan bahawa kerjasama ini adalah manifestasi komitmen universiti dalam menyokong syarikat-syarikat tempatan untuk mengukuhkan kedudukan mereka di arena global. Prof. Dr. Mohd Shafry di dalam ucapannya, “UTM sentiasa komited untuk memastikan penyelidikan kami tidak hanya terhenti di peringkat teori, tetapi dapat diterjemahkan ke dalam penyelesaian praktikal yang memberi impak positif kepada industri, dan kerjasama ini adalah contoh terbaik dalam menjadikan Haos Industries sebagai peneraju dalam pasaran dunia.”
MoU yang dimeterai ini bukan sekadar dokumen rasmi tetapi simbol komitmen dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri. Kerjasama ini bermula pada Februari 2024 melalui perbincangan awal dan diperkukuh dengan sokongan Haos Industries terhadap Hari Terbuka dan Pameran Mekanikal (MODE) 2024, termasuk tajaan RM20,000.
Sejak itu, beberapa inisiatif telah dirangka, antaranya pengambilan pelajar UTM sebagai pelatih industri serta peluang pekerjaan kepada graduan, pelan latihan kemahiran untuk tenaga kerja Haos Industries, serta penyelidikan bersama dalam pengoptimuman proses pengeluaran, teknologi data raya, ergonomik industri, dan inovasi makanan.
Dari aspek kepakaran teknikal, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTM memainkan peranan penting dalam membekalkan kepakaran dalam pengoptimuman rantaian bekalan, fasiliti, ergonomik, dan analisis data, manakala Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) membantu dalam pengoptimuman parameter pemprosesan, peningkatan kualiti dan kuantiti produk, kestabilan, serta proses peningkatan skala pengeluaran.

CEO Haos Industries Sdn. Bhd., Anis Permin, menegaskan bahawa kerjasama dengan UTM ini akan memberikan impak besar dalam memperkukuh kapasiti inovasi syarikat dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam R&D, pengeluaran, analisis data, dan teknologi maklumat (IT). Sebagai pemain industri tempatan, Haos Industries akan mendapat manfaat daripada sokongan akademik dan penyelidikan canggih UTM untuk mengoptimumkan operasi dan memacu pertumbuhan yang berterusan, sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat dalam menembusi pasaran antarabangsa yang semakin kompetitif.
“Kerjasama dengan UTM ini bukan hanya satu langkah ke hadapan untuk Haos Industries, tetapi juga satu lonjakan besar bagi Haos Ek?, jenama syarikat kami, yang berhasrat untuk menjadi pemain global dalam industri Ready To Drink (RTD) ini. Melalui penyelidikan dan inovasi yang dicetuskan oleh pakar akademik UTM, kami yakin Haos Industries akan kompeten di pasaran global,” ujar Anis Permin.
Kerjasama ini juga bakal memperkasa Jaringan Pakar MADANI, satu inisiatif yang menggalakkan kerjasama antara akademia dan industri dalam menangani cabaran teknologi yang dihadapi oleh syarikat-syarikat Malaysia. Melalui kerjasama ini, Haos Industries dapat memperkukuh lagi kemampuannya dalam inovasi teknologi dan meletakkan syarikat ini dalam kedudukan yang lebih kompetitif, sambil menyediakan platform bagi mereka untuk berkembang ke pasaran global yang lebih luas.
Sebagai sebahagian daripada persediaan menuju IPO di Bursa Malaysia pada tahun 2028, Haos Industries melihat kerjasama dengan UTM ini sebagai landasan utama dalam mewujudkan potensi yang tinggi untuk menarik pelaburan dan memperkukuh kredibiliti syarikat di mata pelabur dan pemegang kepentingan.

Dengan terjalinnya kolaborasi antara UTM dan Haos Industries, kedua-dua pihak berpeluang memperkasa daya saing masing-masing dalam dunia industri dan akademik. Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang inovasi dalam bidang teknologi dan keusahawanan, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara secara keseluruhan. Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha sama antara institusi akademik dan sektor industri di masa hadapan.
