Mac 28, 2025

MGM ()

KNU-UTM SISC 2025 pacu inovasi dan startup pelajar di peringkat global

JOHOR BAHRU, 12 Feb – KNU-UTM Students Innovators Start-Up Challenge 2025 (KNU-UTM SISC 2025) telah berlangsung dengan jayanya di UTM Makerspace. Acara ini menjadi medan pertemuan bagi bakat keusahawanan dari Kangwon National University (KNU), Korea Selatan, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali gus menyediakan platform untuk inovasi dan kolaborasi global. Sebanyak 10 pasukan telah bersaing dalam pertandingan ini, menampilkan idea-idea inovatif yang berpotensi memberi impak besar dalam dunia startup.

Majlis dimulakan dengan sesi ramah mesra delegasi KNU yang diketuai oleh Prof. Dr. Choi Seon Kang bersama Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, diiringi oleh Pengarah UTM XCITE, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, dan Dr. Kang Myoung Sook dari Akademi Bahasa, UTM. Pertemuan ini bertujuan mengeratkan hubungan akademik dan keusahawanan antara kedua-dua universiti serta memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi. Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Dr. Choi menzahirkan keterujaannya terhadap kolaborasi berimpak tinggi ini, manakala Prof. Madya Dr. Abdul Rashid menekankan kepentingan inovasi dan keusahawanan dalam membentuk generasi pelajar yang lebih dinamik serta berdaya saing.

n
Sesi ramah mesra antara delegasi KNU yang diketuai oleh Prof. Dr. Choi Seon Kang bersama Prof. Dr. Mohd Shafry, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain dan Dr. Kang Myoung Sook di Pejabat Naib Canselor UTM

Selain pertandingan inovasi, peserta turut berpeluang menyertai lawatan akademik ke Makmal Teknologi Marin di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal serta DF Automation Robotics. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai aplikasi teknologi dalam kejuruteraan marin dan robotik automasi, selain menjadi platform pertukaran ilmu dan idea bersama pakar industri.

Acara ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara KNU dan UTM dalam pembangunan startup, malah menggalakkan kolaborasi rentas budaya antara bakal usahawan muda. Program ini turut membantu pelajar membina keyakinan diri serta mendorong mereka menghasilkan produk inovatif yang berdaya saing di peringkat global. Menurut salah seorang peserta, “Program ini bukan sahaja membuka peluang untuk kami mengembangkan idea inovatif tetapi juga membina jaringan dengan rakan usahawan dari luar negara.”

n
Sesi bergambar semasa lawatan akademik ke Pusat Teknologi Marin, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM, yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi kejuruteraan marin
n
Lawatan delegasi ke Pusat Teknologi Marin, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM, sebagai sebahagian daripada program pemerkasaan inovasi dan keusahawanan

Sebagai acara kemuncak, Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang turut memangku jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat. Turut hadir ialah Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Pn Hanifah Ahmad, serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Anugerah Naib Canselor UTM telah diberikan kepada lima pasukan dari KNU dalam bentuk sijil dan trofi, manakala Anugerah Presiden KNU telah disampaikan kepada lima pasukan dari UTM yang turut menerima sijil serta wang tunai bernilai RM2,000. Tiga pemenang utama pertandingan ini adalah Arttab (KNU) yang meraih Pingat Emas, P-Luke (KNU) dengan Pingat Perak, dan SportX (UTM) yang memenangi Pingat Gangsa.

n
Ketua delegasi KNU, Prof. Dr. Choi Seon Kang dan En. Yoon Hong Gu (Korea SME & Startup) bergambar bersama Prof. Dr. Ali dan Prof. Madya Dr. Abdul Rashid sebagai simbolik kerjasama antara kedua-dua institusi
n
Sesi bergambar bersama para peserta, penganjur, dan delegasi KNU serta UTM, menandakan kejayaan penganjuran KNU-UTM SISC 2025

Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian dalam dunia startup global serta memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berinovasi dan berkembang dalam bidang keusahawanan. Setinggi-tinggi penghargaan turut diberikan kepada semua peserta, panel juri, dan ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan acara ini. KNU-UTM SISC 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi platform yang mencetuskan inovasi, memperkasa usahawan muda, dan melahirkan perintis industri bertaraf global. Dengan permulaan kejayaan ini, diharapkan lebih ramai pelajar akan tampil berinovasi, mencipta solusi baharu, dan melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

Explore More