Februari 21, 2025

MRSA MOU

Kerjasama akses terbuka perkukuh ekosistem penyelidikan negara

PUTRAJAYA, 13 Feb – Satu langkah penting dalam memperkukuh akses kepada sumber penyelidikan akademik telah dimeterai hari ini melalui Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). MoU ini menandakan komitmen universiti awam untuk memperluas akses kepada tesis dan disertasi secara terbuka, sekali gus menyokong perkembangan ilmu dengan lebih menyeluruh dan inklusif.

Majlis yang berlangsung di Hotel Marriott, Putrajaya, bersempena dengan Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia’s Research Star Award (MRSA) telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan prestasi kecemerlangan akademik negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Salah satu manfaat utama kerjasama ini ialah meningkatkan keterlihatan dan impak penyelidikan yang dijalankan di Malaysia. Dengan akses terbuka, hasil penyelidikan dapat disebarluaskan kepada komuniti akademik global, menjadikannya lebih mudah dirujuk dan dimanfaatkan oleh penyelidik lain. Hal ini bukan sahaja meningkatkan reputasi penyelidik dan institusi pengajian tinggi tempatan tetapi juga membuka peluang kepada lebih banyak kolaborasi antarabangsa. Pihak berkepentingan, termasuk industri dan pembuat dasar juga berupaya mengakses maklumat ini dalam membantu pembangunan inovasi serta penggubalan dasar yang lebih berkesan.

MRSA MOU
Puan Nor Asikin, Ketua Pustakawan UTM bersama wakil UA lain yang terlibat dalam penerimaan MoU berkenaan

Dalam dunia akademik yang bergerak pantas, keupayaan untuk mendapatkan maklumat tepat dan cepat adalah satu keperluan. Justeru, inisiatif ini turut menyemarakkan perkembangan ilmu melalui akses terbuka yang pantas kepada kajian penyelidikan terkini tanpa perlu bergantung kepada sumber berbayar yang terhad.

Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menyokong inisiatif ini melalui pemerkasaan sistem akses terbuka di peringkat universiti. PUTM telah membangunkan pelantar repositori terbuka sendiri, iaitu UTM Institutional Knowledge (UTM IK), yang menyediakan akses kepada penerbitan penyelidikan, termasuk tesis dan disertasi pelajarnya untuk dirujuk dan dimanfaatkan komuniti akademik, para penyelidik mahupun masyarakat umum.

MRSA MOU
Prof. Dr. Mohd Shafry yang turut hadir dalam majlis berkenaan

Turut hadir menyaksikan majlis gilang gemilang itu ialah Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Puan Nor Asikin Mohamad. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik di UTM khususnya, tetapi juga berpotensi menjadikan negara sebagai hab penyelidikan global, setanding dengan universiti antarabangsa yang telah lama mengamalkan akses terbuka dalam ekosistem penyelidikan mereka.

Explore More