Kecerdasan Buatan (AI) adalah keupayaan mesin untuk melaksanakan tugas yang berkaitan dengan kecerdasan manusia. Hal ini merangkumi fungsi seperti penaakulan, pembelajaran, penyelesaian masalah, persepsi dan pemahaman bahasa. Dalam konteks pendidikan, AI dikenali sebagai Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan (AIEd). AIEd melibatkan integrasi teknologi AI untuk meningkatkan reka bentuk pengajaran, kaedah pengajaran dan proses pembelajaran pelajar. AIEd mempunyai pelbagai aplikasi algoritma dalam pendidikan seperti sistem pembelajaran peribadi, sistem tutor pintar, sokongan pentadbiran dan interaksi yang dipertingkatkan.
Dalam pendidikan, AIEd merangkumi lima aspek utama. Pertama, pembelajaran peribadi yang menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut keperluan pelajar. Kedua, sistem tutor pintar yang berfungsi sebagai tutor peribadi dengan memberi penjelasan, maklum balas, petunjuk kepada pelajar, menjejak proses kemajuan mereka dan menyesuaikan reka bentuk pengajaran. Ketiga, aspek pentadbiran yang membantu mengautomasi penilaian, mengurus rekod pelajar dan menyusun jadual kursus bagi mengurangkan beban kerja pentadbiran akademia. Keempat, interaksi yang dipertingkatkan melalui penggunaan Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (NLP) dan kelima, pengecaman pertuturan yang membolehkan pembelajaran lebih interaktif dan berterusan.

Sistem pendidikan Malaysia berkembang bagi memenuhi kemajuan teknologi global. AI memainkan peranan penting dalam mengubah model pembelajaran tradisional menjadi lebih peribadi, dipacu data dan cekap. AI membolehkan pengalaman pembelajaran peribadi diperoleh melalui analisis kekuatan, kelemahan dan corak pembelajaran pelajar. Platform seperti sistem pengurusan pembelajaran atau Learning Management System (LMS) berasaskan AI disesuaikan dengan kandungan kurikulum mengikut keperluan pelajar. Sebagai contoh, sistem tutor pintar berkebolehan untuk mengenal pasti kelemahan pelajar dalam subjek matematik, menyediakan tutorial dan latihan khusus untuk meningkatkan pemahaman mereka.
Selain itu, kaedah penilaian tradisional yang mengambil masa lama dan cenderung kepada bias dapat diatasi dengan alat penilaian berkuasa AI yang menilai tugasan, kuiz dan respons terbuka menggunakan NLP. AI mampu menganalisis struktur esei, tatabahasa dan koherens serta memberikan maklum balas serta-merta. Automasi ini membolehkan akademia memberi tumpuan kepada tugas pengajaran dengan lebih interaktif. Di samping itu, chatbot AI dan tutor maya digunakan di institusi pendidikan Malaysia bagi membantu pelajar di luar waktu pembelajaran. Chatbot ini memberi respons segera kepada pertanyaan yang diajukan dan mengurangkan kebergantungan kepada akademia untuk soalan rutin. Misalnya, universiti boleh mengintegrasikan chatbot AI untuk menyokong pertanyaan berkaitan akademik, pemilihan kursus dan proses pentadbiran.
AI juga memberi sokongan kepada akademia dengan mengautomasi perancangan pengajaran, pemarkahan dan penciptaan kandungan. Analitik berasaskan AI membantu akademia menjejak prestasi pelajar secara nyata, membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data yang diperoleh. Selain itu, program pembangunan profesional berasaskan AI boleh mencadangkan latihan yang sesuai bagi memastikan akademia sentiasa cakna dengan kaedah pengajaran terkini. Teknologi AI juga menjanjikan manfaat besar bagi pelajar berkeperluan khas di Malaysia. Perisian pengecaman pertuturan membantu pelajar autisme, manakala aplikasi baca dan eja menyokong pelajar disleksia. Aplikasi terjemahan bahasa isyarat berasaskan AI pula membantu pelajar kurang pendengaran berkomunikasi dalam pembelajaran dengan lebih baik.

Walaupun AI mempunyai potensi yang besar, pelaksanaan AI dalam sistem pendidikan Malaysia masih menghadapi beberapa cabaran seperti jurang digital dan kekurangan infrastruktur. Infrastruktur merupakan asas utama. Adaptasi AI memerlukan infrastruktur digital yang kukuh, namun akses kepada internet dan sokongan peranti digital tidak konsisten, terutamanya di kawasan luar bandar. Begitu juga dengan tahap kemampuan perkakasan yang perlu dinaik taraf supaya mampu untuk digunakan dalam aplikasi AI. Cabaran ini perlu ditangani bagi memastikan integrasi AI yang inklusif dapat diakses oleh semua pelajar di seluruh kawasan dan perkaksan yang ada mampu berfungsi dengan baik.
Dari segi kos pelaksanaan pula, pembangunan dan penyelenggaraan alat pendidikan berasaskan AI memerlukan pelaburan yang besar. Sekolah dan universiti awam mungkin menghadapi kesukaran untuk membiayai projek berasaskan AI. Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat diperlukan untuk memastikan pelaksanaan AI yang mampan. Manakala latihan kepada akademia turut memainkan peranan penting dalam pendidikan berasaskan AI. Namun, terdapat ramai akademia yang belum mempunyai literasi AI dan kemahiran teknikal yang diperlukan. Program latihan komprehensif dan inisiatif peningkatan kemahiran AI perlu disediakan untuk membantu para akademia dalam mengintegrasikan teknologi ini.
Isu privasi data dan etika perlu diambil berat kerana aplikasi AI yang bergantung kepada pengumpulan data secara meluas menimbulkan kebimbangan berkaitan privasi pelajar dan keselamatan data. Pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (PDPA) serta garis panduan etika AI yang ketat diperlukan untuk membina kepercayaan dalam penggunaan AI dalam pendidikan.
Penggunaan AI dalam pendidikan memerlukan perubahan budaya dalam kalangan akademia, pelajar dan penggubal dasar. Sikap skeptikal terhadap keberkesanan AI serta kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan dalam kalangan pendidik boleh memperlahankan penerimaan teknologi ini. Program kesedaran dan penglibatan pihak berkepentingan adalah perlu bagi mengatasi isu ini kerana teknologi AI akan terus berkembang.
Masa depan AI dalam pendidikan Malaysia
Bagi memanfaatkan AI sepenuhnya, Malaysia perlu mengamalkan lima pendekatan strategik. Langkah pertama yang boleh diambil ialah memperluas infrastruktur digital bagi memastikan pendidikan AI boleh diakses di semua kawasan. Kedua, memperkenal dasar pendidikan berasaskan AI. Ketiga, meningkatkan pelaburan dalam teknologi pendidikan. Keempat, menggalakkan kerjasama antara sektor kerajaan, sektor swasta dan institusi akademik untuk mengoptimumkan penggunaan AI dalam bidang tertentu. Kelima, penyediaan program latihan, pembangunan kemahiran AI untuk akademia serta penetapan garis panduan etika dan pematuhan terhadap perlindungan data bagi melindungi privasi pelajar.
AI berpotensi besar dalam merevolusi sistem pendidikan Malaysia dengan menyediakan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan pembelajaran peribadi, mengautomasi penilaian dan menyokong bidang pendidikan. Melalui pendekatan yang betul, AI bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran tetapi juga dapat mengubah landskap pendidikan Malaysia untuk generasi akan datang.
Oleh Ts. Dr. Hafiza Abas, Pensyarah Kanan, dan Syamilah Saliman, Pelajar PhD, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)