KUALA LUMPUR, 24 Jan.- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar kejayaaan apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam kategori eUsahawan Best Institute of Higher Learning (IHL) 2024. Kemenangan ini diumumkan semasa Malam Penghargaan eUsahawan 2024 yang berlangsung pada 24 Januari 2025 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur & Convention Centre, anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, menyatakan bahawa pencapaian ini merupakan hasil komitmen kesemua pensyarah yang mengajar kursus keusahawanan di UTM melalui platform digital seperti Facebook, Instagram, dan TikTok.
“Kursus ini, yang diajar oleh pasukan keusahawanan kursus umum bersama UTMXCITE, mengintegrasikan penilaian kursus yang unik, di mana 50% penilaian diambil daripada projek keusahawanan dunia sebenar yang memanfaatkan platform e-dagang. Hasil jualan melalui aktiviti perniagaan ini direkodkan dalam sistem Go eCommerce di bawah MDEC, sekali gus memupuk kemahiran keusahawanan digital di kalangan pelajar,” jelas beliau.
Tahniah diucapkan kepada semua pensyarah dan pelajar yang terlibat secara aktif dalam memperkasakan penggunaan Go eCommerce. Kejayaan ini telah menyumbang kepada pencapaian UTM di tempat PERTAMA Best IHL tahun 2024.
Tahniah juga kepada Prof. Madya Ts. Dr. Ramesh Zaidi Abd Rozan, Dr. Logaiswari Indiran dan Arwah Hairudin Abdul Majid atas pengiktirafan sumbangan cemerlang sebagai pengajar e-Usahawan.


Kredit Sumber: Malaysia Digital Economy Corporation dan UTM Centre For Student Innovation & Technology Entrepreneurship – UTMXCITE