JOHOR BAHRU, 10 Dis – Program ICCubeX@ICON Day Siri 3, anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTM (UTM ICC) dengan kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi UTM (UTMXCITE), telah berlangsung dengan jayanya di Bangunan Kompleks Usahawan Teknologi MARA (KUT MARA), Taman Teknologi UTM. Program ini berjaya menarik kehadiran seramai 135 orang peserta, termasuk penyelidik, pelajar, dan wakil industri, menjadikannya platform yang signifikan untuk merapatkan hubungan antara akademia dan industri. Program yang merupakan penutup bagi kesemua siri ICON Day untuk tahun 2024 ini, diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Razin Zainal Abidin selaku Pengurus Taman Teknologi, sekali gus menandakan kemuncak inisiatif Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam memacu pembangunan teknologi dan memupuk sinergi strategik yang menyokong kemajuan sektor akademik dan industri secara bersepadu.
Program ICON Day bermula dengan Siri 1 pada Ogos 2024 yang memfokuskan kepada Green and Sustainability dengan kerjasama Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknolgi dan Inovasi (MRANTI). Siri 2 pula berlangsung pada 2-3 Oktober 2024 bersama-sama dengan Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, mengetengahkan teknologi terkini melalui pameran inovasi dan sesi pembentangan idea. Siri 3, yang diadakan hari ini, menumpukan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, dengan sinergi bersama rakan strategik termasuk MTDC, Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan UTMXCITE.
Dalam ucapan perasmian ICCubeX@ICON Day Siri 3 dan seterusnya penutup bagi ICON Day 2024, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, merakamkan penghargaan kepada MTDC dan UTMXCITE atas sokongan mereka dalam memperkukuh ekosistem inovasi UTM. Beliau menyatakan bahawa program ini bukan sekadar platform untuk mempamerkan inovasi tetapi juga ruang strategik untuk membina hubungan antara penyelidik, pelajar, industri, dan pelabur.
Sebanyak 18 reruai pameran telah digunakan sepenuhnya bagi mempamerkan inovasi dari aspek AI dan Pendigitalan di kalangan penyelidik dan pelajar UTM di dalam ICCubeX@ICON Day Siri 3 ini. Program ini mencapai kemuncaknya dengan satu Sesi Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan tiga Dokumen Perjanjian Perlesenan Teknologi (TLA), menandakan kolaborasi strategik antara UTM dan rakan industri. MoA ini melibatkan UTM dan STARE Resources Sdn. Bhd. untuk pembangunan membran fotokatalitik mudah alih bagi rawatan air sisa industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Dana Teknologi Inovasi PKS (SME InTech).
Bagi Pertukaran TLA pertama adalah melibatkan UTM bersama MAIA Sdn. Bhd. MAIA ialah syarikat pemula penjagaan kesihatan AI berasaskan kepada inovasi myThrob dan Heart Monitoring Device and System for Arrhythmia Classification, menggunakan AI untuk memperbaiki penjagaan kesihatan. TLA kedua pula adalah melibatkan UTM dengan Significs Technologies Sdn. Bhd. Significs Technologies, sebuah syarikat hiliran UTM, khusus dalam penyelesaian Internet of Things (IoT). Produk mereka iaitu GuardExpert PRO, menawarkan pemantauan masa nyata untuk meningkatkan kecekapan operasi. Manakala Pertukaran TLA ketiga adalah antara UTM dengan ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd. ACTS Smart Solutions, juga syarikat hiliran UTM, menguruskan penyelesaian kejuruteraan strategik, termasuk projek seperti Manikin for Use in A Child Restraint System Test dan Noise Risk Assessment Report.
Selain itu, beberapa sesi ICON Talk dan Sesi Perkongsian oleh penceramah jemputan juga telah dijalankan. Antara pengisian menarik ICON Talk adalah dari Mohd Nazmi Ali Napiah dari PETRONAS Gas Berhad dengan tajuk, Turning Challenges into Opportunities: Transformation of Pipeline Asset Management. Manakala, Prof. Ts. Dr. Kamalrulnizam Abu Bakar selaku Pengerusi, Komuniti Digital Pintar (SDC) UTM telah berkongsi mengenai Research Ecosystem in UTM. Prof. Ir. Dr. Hazlina Selamat, selaku Felo Penyelidik di Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO) UTM pula berkongsi mengenai AI in Biodiversity Conservation.
Program ini turut menampilkan sesi perkongsian yang menarik oleh Razlinda Rahmat dari Neuramerge Resources, salah satu Pusat Kecemerlangan MTDC, dengan tajuk AI-Powered Innovation: Transforming Research into Market-Ready Solutions with Generative AI. Seterusnya, Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Razin Zainal Abidin, selaku Pengurus Taman Teknologi UTM, menyampaikan perkongsian berkenaan peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan di Taman Teknologi UTM, termasuk ruang inkubator, pameran penyelidikan, sewaan, dan potensi kerjasama antara UTM dan industri. Pada sebelah petang, program diteruskan dengan pameran inovasi, sesi rangkaian, dan pembentangan idea oleh syarikat pemula pelajar, menyediakan platform untuk mempamerkan idea serta hasil penyelidikan mereka.
Di samping itu, satu sesi Perbincangan Meja Bulat antara UTM dan MTDC, yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Rosli Md. Illias serta dihadiri oleh pasukan UTM ICC dan MTDC, telah diadakan untuk membincangkan strategi memperkukuh kerjasama dalam aspek pengkomersialan teknologi, pembangunan syarikat pemula, dan penyediaan dana inovasi. Perbincangan ini bertujuan mengenal pasti peluang sinergi antara penyelidik UTM dan sokongan MTDC, dengan matlamat memacu ekosistem inovasi dan pengkomersialan teknologi secara mampan.
Pengarah UTM ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad@Salleh, turut menekankan kejayaan UTM ICC dalam memperluaskan jaringan antarabangsa. Sebagai contoh, hubungan strategik dengan Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia, telah membawa kepada pengkomersialan modul latihan seperti Copyright kepada staf ITS. Selain itu, Surat Niat (LoI) yang ditandatangani bersama Al Hidayah Group dan Rangkaian Pemindahan dan Pertukaran Teknologi D-8 (D-8 TTEN), Iran, membuka peluang kepada kerjasama dalam inovasi pendidikan dan teknologi lestari.
Pada tahun 2025, UTM akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti bertemakan Pendigitalan dan Keusahawanan Lestari, dengan fokus kepada program pembangunan kapasiti yang melibatkan pelajar, alumni, serta agensi penyelidikan tempatan dan antarabangsa. Peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pada Mei lalu telah memperkukuh kedudukan UTM sebagai peneraju teknologi canggih di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Turut hadir dalam program ini ialah Ts. Dr. Indera Shaiful Baharudin, Naib Presiden Eksekutif Bahagian Pembangunan Teknologi Kumpulan, dan Mariamah Hj. Daud, Naib Presiden Eksekutif Bahagian Strategi Korporat Kumpulan dari MTDC, serta Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, Pengarah UTMXCITE.
Dengan kerjasama semua pihak, UTM kekal komited untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan, inovasi, dan keusahawanan berimpak tinggi, seiring dengan hasrat untuk terus menyumbang kepada pembangunan mampan dan kemajuan teknologi pada peringkat nasional dan global.
Oleh Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor dan Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Razin Zainal Abidin.