Disember 19, 2024

image

‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’ tiup semangat Tan Kai Ying rangkul kecemerlangan

JOHOR BAHRU, 16 Nov – Semangat yang diambil dari moto UTM, ‘Kerana Tuhan untuk Manusia’ dicitrakan menerusi sifat anak kelahiran Pulau Pinang ini dalam menggapai pencapaian cemerlang dalam bidang akademik malah juga kokurikulum. Tan Kai Ying, penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-68, membuktikan bahawa kecemerlangan di universiti bukan hanya tentang mendapat gred yang baik, tetapi juga tentang menyumbang kepada komuniti, membangunkan potensi diri, dan mengasah kemahiran insaniah yang penting. Komitmen dalam mencapai keseseimbangan antara dua cabang yang berbeza, memberikan inspirasi kepada pelajar lain untuk turut mengamalkan pendekatan yang menyeluruh dalam perjalanan pendidikan mereka.

Tan Kai Ying, dikenali menerusi prestasi akademik yang cemerlang, beliau turut menyerlah melalui penglibatan aktifnya dalam aktiviti kokurikulum terutamanya melalui peranannya bersama AIESEC Johor Bahru dan Kelab IEM UTM JB sejak awal pengajiannya di UTM. Berbekalkan kesungguhan yang tinggi dan minat yang mendalam dalam bidangnya, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, belum duduk sudah berlunjur, kerana beliau merancang untuk meletakkan dirinya dalam tampuk kepimpinan yang lebih tinggi pada waktu itu.

image
Tan Kai Ying (kanan) bersama seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UTM kali ini, Aliff Mauliddin

Bermula sebagai ahli biasa sehingga menjawat jawatan pengerusi AIESEC Johor Bahru, Tan Kai Ying telah memainkan peranan penting dalam menganjurkan pelbagai program dengan penglibatan penuh kesemua pelajar. Beliau bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja pengurusan malah turut serta secara aktif semua aktiviti agar lebih tersusun. Lebih- lebih lagi dalam fasa pascademik, perubahan komunikasi alam maya kembali kepada bersemuka, beliau mengakui bukan mudah untuk menguruskan sesuatu perkara yang bukan dalam kepakarannya.

Kai Ying telah menunjukkan prestasi akademik yang luar biasa sejak di alam persekolahan dengan keputusan cemerlang dalam setiap semester serta mampu menamatkan ijazah sarjana muda dengan CGPA 3.97. Beliau telah membuktikan bahawa kegigihan dan disiplin adalah kunci utama dalam mencapai matlamat akademik.

Dengan latar belakang akademik yang kukuh dan sokongan penuh daripada penyelia fakulti, ibarat mengantuk disorongkan bantal’ Kai Ying ditawarkan terus menyambung pengajian terus ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD). Tidak menunggu lama untuk memegang kemas peluang ini mencerminkan semangat dan tekadnya untuk menyumbang kepada dunia akademik serta penyelidikan dalam bidang pilihannya.

Menerusi pengajian PhD, beliau berharap dapat mengekalkan momentum dan melakukan penemuan baharu seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri di Malaysia dan juga di peringkat global.

Walau bagaimanapun anak kedua daripada lima adik beradik ini, mendedikasikan sepenuhnya pencapaian ini buat kedua ibu bapanya atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga ke tahap ini.

“Pengorbanan dari segi ibu bapa saya adalah kunci kepada peluang yang saya miliki untuk terus berjaya. Mereka telah memberi saya ruang untuk fokus kepada pelajaran, tanpa perlu risau tentang masalah kewangan. Ini adalah pengorbanan yang sangat saya hargai dan saya akan terus berusaha untuk membalasnya dengan kejayaan,” kata Tan, mengenang perjalanan akademiknya.

Tan Kai Ying menunjukkan bahawa kecemerlangan di universiti bukanlah terhad kepada prestasi akademik semata-mata. Keupayaannya untuk mengimbangi akademik dengan kokurikulum yang pelbagai membuktikan bahawa seorang pelajar yang aktif bukan sahaja mampu berjaya dalam pelajaran tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti kampus. Dalam setiap program yang disertainya, beliau sentiasa memastikan agar ia memberi manfaat kepada orang lain, dan ini adalah sifat yang jarang ditemui.

Explore More