November 21, 2024

Search
Close this search box.
Abdul Rahman

Staf MAINJ terima Biasiswa Wakaf UTM laksana penyelidikan PhD

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Abdul Rahman Musliman, staf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kulai, telah berjaya memperolehi anugerah Biasiswa Wakaf UTM-MAINJ. Beliau akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Akademi Tamadun Islam (ATI), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula sesi Oktober 2024. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Baitulmal. Pemilihan dibuat hasil daripada permohonan yang diterima dan ditapis oleh Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) UTM serta sesi temu duga yang dijalankan oleh panel yang dilantik daripada Dana Wakaf Pendidikan UTM, MAINJ dan SPS UTM.

Abdul Rahman
Abdul Rahman Musliman, sewaktu di Royal Gala Dinner, menerima biasiswa sebanyak RM30 ribu

Cadangan tajuk penyelidikan PhD beliau adalah “Penambahbaikan Garis Panduan Pengurusan Pembinaan Masjid dan Surau Bukan Atas Tapak Wakaf di Negeri Johor”. Penyelidikan ini bermatlamat untuk mencari penyelesaian bagi pengurusan aset seperti masjid dan surau yang didirikan di atas tanah yang tidak diwakafkan. Isu ini sering berlaku kepada masjid dan surau di kawasan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Abdul Rahman ialah penerima pertama Biasiswa Wakaf UTM-MAINJ, dengan jumlah tajaan sebanyak RM30,000.00 untuk tempoh tiga tahun. Biasiswa Wakaf ini adalah diperolehi daripada keuntungan pelaburan Dana Wakaf Pendidikan UTM. Semoga dengan penajaan Biasiswa Wakaf ini, Abdul Rahman dapat menyiapkan penyelidikan PhD beliau dan mendorong lebih ramai penyelidik lain untuk memohon pada masa hadapan. Penerima Biasiswa Wakaf UTM-MAINJ diharapkan dapat menyumbangkan kepada pengembangan ilmu dan kesarjanaan Islam melalui penyelidikan yang memperkasakan institusi wakaf, khususnya di Negeri Johor.

Biasiswa Wakaf ini adalah inisiatif Dana Wakaf Pendidikan UTM dengan kerjasama MAINJ dan diuruskan oleh SPS UTM, sejajar dengan sabda Rasulullah SAW:

“Apabila meninggal seorang manusia, akan terputus segala amalannya kecuali dengan tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Pihak Dana Wakaf Pendidikan UTM mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah Biasiswa Wakaf ini dan mendoakan agar beliau dapat menjalankan penyelidikan dengan jayanya. Pihak Dana Wakaf juga merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dana wakaf serta mendoakan agar para pewakaf memperoleh ganjaran pahala yang berterusan daripada sumbangan yang diberikan.

Explore More