Oktober 11, 2024

Search
Close this search box.
buku modul

Prapelancaran Modul Adab: Penggerak mahasiswa beretika dan berakhlak

JOHOR BAHRU, 30 Sept – Prapelancaran Modul Adab telah diadakan sempena Majlis Peramian dan Bacaan Ikrar pelajar baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kemasukan sesi akademik 2024/2025 di Dewan Sultan Iskandar hari ini.

Prihatin terhadap pembangunan sahsiah mahasiswa sebagai fokus utama, UTM menerusi Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) telah mengambil inisiatif membangunkan satu modul khas untuk tujuan ini.

Modul yang diberikan judul “Pembangunan Modul Adab dan Konstruktif Citizen UTM”, telah diperkenalkan sebagai panduan dalam memastikan kecemerlangan akademik serta pembentukan sahsiah yang berketerampilan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, pembangunan modul ini merupakan salah satu Key High Impact Result (KHIR) UTM 2024 di bawah Pelan Strategik enVision UTM 2025 dan merupakan yang pertama dalam kalangan Universiti Awam di Malaysia.

“UTM merupakan universiti pertama membangunkan inisiatif signifikan ini dalam aspirasi kita melahirkan mahasiswa UTM yang bertanggungjawab, beretika, dan beradab dan ianya seiringan dengan nilai ISES universiti,” katanya.

buku modul
Sesi prapelancaran Modul Adab yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat

Untuk rekod, pembangunan Modul Adab ini diketuai oleh Pengetua Kolej Datin Seri Endon (KDSE) yang juga merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim, dan merupakan hasil kerjasama 37 ahli bengkel yang terdiri daripada Pengetua Kolej Kediaman, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti, Pensyarah Kanan, Pegawai Tadbir Pusat Tanggungjawab (PTJ) Universiti, Pegawai Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), Pusat Islam UTM, Pejabat Pelestarian (UTMCS), Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling, Pusat Kerjaya (UTMCC), UTM International, Persatuan Felow Kolej Kediaman, serta penasihat daripada pelbagai persatuan agama dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Menurut Dr. Nabilah, modul ini merangkumi tujuh adab utama, yang bertujuan membentuk mahasiswa yang beradab dan berakhlak mulia, selari dengan nilai-nilai agama dan budaya tempatan. Kandungannya meliputi adab terhadap Tuhan, diri sendiri, ibu bapa, pensyarah, sahabat, ilmu, dan alam sekitar.

buku modul
Pembangunan Modul Adab dan Konstruktif Citizen UTM adalah yang pertama dalam kalangan UA dan mengandungi tujuh adab utama

“Menerusi pelaksanaan modul ini, UTM berharap dapat mewujudkan budaya kampus yang harmoni, di mana adab dalam pergaulan antara mahasiswa, staf, dan komuniti sentiasa dipelihara,” ujar Dr. Nabilah.

“Di samping itu, modul ini diharapkan mampu meningkatkan keterampilan sosial mahasiswa, melatih mereka untuk berinteraksi secara sopan dan beradab dalam pelbagai situasi sosial dan profesional,” tambahnya lagi.

buku modul
Bacaan Ikrar oleh pelajar baharu bergema di Dewan Sri Iskandar

Turut hadir ke majlis adalah Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail; Ketua Pustakawan UTM, Puan Nor Asikin Mohamad; Ketua Pentadbiran JTNCHEPA, Puan Hanifah Ahmad; Pengarah Bahagian Pembangunan Aktiviti Pelajar JTNCHEPA, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib; Dekan-dekan Fakulti, Pengetua Kolej Kediaman, Pegawai Kanan Universiti, Yang Dipertua MPP, Muhammad Hafiz Fikri Ghazali; dan Ketua Operasi MMM, Puteri Nurdiyanatul Akmal A. Rahman.

Explore More