Disember 19, 2024

TNCHEPA

Pasca 100 hari pentadbiran: TNC HEPA bawa aspirasi Memanusiakan Insan

JOHOR BAHRU, 10 Okt. – “Dalam tempoh 100 hari saya sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), lebih 40 sesi libat urus telah saya laksanakan melibatkan pelbagai pihak merangkumi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Felow Kolej Kediaman (PFKK), pengurusan kolej kediaman dan entiti perkhidmatan JTNCHEPA,” jelas Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dalam Majlis Misi dan Aspirasi TNC (HEPA) di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

“Menerusi sesi libat urus tersebut, saya menerima pelbagai maklum balas terutama dalam aspek meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian JTNCHEPA sebagai satu pasukan yang padu untuk terus membantu pelajar.

TNCHEPA
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat bawa misi dan aspirasi pembentukan pelajar insani.

“Di samping itu, adalah menjadi hasrat saya untuk kita terus memperkasakan lagi usaha bagi mengukuhkan adab dan nilai dalam diri pelajar kita, seterusnya melihat pembentukan karakter mereka ini ke arah yang lebih insani,” tambah beliau.

“Bagi saya, pelajar dengan nilai insani ini akan memiliki jati diri lebih jitu yang pada akhirnya mereka inilah yang akan menjadi ejen perubahan dalam membangunkan masyarakat, bangsa dan negara di masa hadapan.

Misi dan Aspirasi Pembentukan Pelajar Insani

Sementara itu, misi dan aspirasi TNC HEPA dirangka dan diadun demi melahirkan generasi pelajar UTM yang holistik berorientasikan masa hadapan, dengan elemen-elemen utama seperti Penerapan Adab, Kesejahteraan & Kebajikan, Meluaskan Jaringan Global, Berminda Pencipta Pekerjaan dan Ejen Transformasi Komuniti.

“Keilmuan tanpa adab adalah ‘kosong’. Pelajar UTM harus dibentuk dengan jati diri dan ilmu yang penuh dengan nilai kerana adab mendahului segalanya,” ulas Prof. Ali berkenaan adab.

“Tidak dilupakan, dalam konteks kesejahteraan dan kebajikan, kami berusaha menawarkan pengalaman dan sokongan yang terbaik. Namun apa yang kami harapkan hanyalah komitmen dan keinginan untuk berjaya.

“Kebolehpasaran graduan UTM di peringkat antarabangsa terus menjadi antara agenda utama JTNCHEPA menerusi galakan program mobiliti dan program pertukaran pelajar, di samping penglibatan pelajar dalam persidangan dan pertandingan peringkat antarabangsa.

“Kami di UTM bukan sekadar ingin membentuk graduan yang memenuhi keperluan industri sahaja, tetapi juga berusaha membentuk pelajar yang mampu menjadi pencipta pekerjaan, memberi impak positif kepada masyarakat dan menyumbang kepada ekosistem ekonomi untuk kesejahteraan negara.

Di akhir majlis, Prof. Ali merumuskan bahawa “Kita harus bersama menunjukkan contoh tauladan yang terbaik kerana kita merupakan cerminan kepada pelajar kita”.

TNCHEPA
Prof. Ali Selamat turut melancarkan Buku Misi & Aspirasi TNC (HEPA) dalam majlis ini.

Bertemakan “Mengukuhkan Nilai, Memanusiakan Insan dan Mengangkasa Harapan Bangsa”, majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Strategi & Hal Ehwal Korporat, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat; Pengarah Bahagian Aktiviti & Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib; Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), Pn. Hanifah Ahmad; barisan Dekan, barisan Pengetua Kolej Kediaman dan barisan Pengarah Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Sementara itu, majlis ini turut menyaksikan pelancaran Buku Misi & Aspirasi TNC (HEPA) dan Buku Panduan Pelajar dalam usaha JTNCHEPA memperkasa lagi Adab, Nilai dan Etika dalam kalangan pelajar UTM.

TNCHEPA
Buku Panduan Pelajar yang ditulis dan disunting oleh Majlis Felow Kolej Kediaman UTM turut dilancarkan.

Explore More