JOHOR BAHRU, 2 Okt – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerima kunjungan daripada Naib Canselor University of Bradford (UoB), Prof. Shirley Congdon. Kehadiran beliau disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, serta diiringi oleh Pengerusi Bahagian Pembangunan Aset (BPA), Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, dan Timbalan Pengarah UTM International, Prof. Madya Dr. Suresh Ramakrishnan.
Lawatan ini merupakan kali pertama Prof. Shirley Congdon mengunjungi kampus UTM Johor Bahru. Beliau sangat teruja melihat kampus yang dipenuhi pokok-pokok matang dengan pelbagai spesies tumbuhan tropika. Salah satu pokok yang menarik perhatiannya ialah Pokok Batai Laut atau nama saintifiknya Peltophorum pterocarpum, yang ketika itu sedang berbunga lebat dengan warna kuning yang cerah.
Dalam lawatan tersebut, maklumat berkaitan pembangunan di kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur turut dikongsikan. Beberapa buah bangunan di kampus tersebut telah mencapai umur hampir 39 tahun, siap dibina dan mula digunakan pada tahun 1985. Walaupun bangunan-bangunan ini sudah berusia, fasiliti serta infrastruktur kampus masih dijaga rapi, memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada para pelajar.
Seterusnya, Prof. Shirley Congdon dibawa melawat sekitar kampus, termasuk lokasi-lokasi georintis unik seperti Hutan Rekreasi UTM yang menempatkan Telaga Air Akuifer Batuan, Taman Buluh, Taman Herba, serta kemudahan fasiliti dan tapak perkhemahan. Beliau juga dibawa ke Balai Cerap dan Laman Menanti Taman Tropika UTM.
Lawatan seperti ini diharap dapat memupuk kerjasama erat dan membuka peluang untuk perbincangan serta pertukaran pengalaman yang bermanfaat, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara UTM dan UoB. Pihak UTM berharap lawatan ini memberi gambaran jelas tentang usaha dan komitmen universiti dalam menyediakan pengajian pendidikan tinggi yang inovatif melalui keunikan kampus sebagai daya tarikan utama kepada pelajar dan komuniti sekitar.
Oleh Tajul Ariffin Musa dan Mohd Afizan Alang