Disember 19, 2024

n

Leaders Go Global: Atasi cabaran global melalui kepimpinan inklusif

JOHOR BAHRU, 4 Okt – Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD), Jabatan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengorak langkah dengan menganjurkan seminar Leaders Go Global pada 3 Oktober 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. Seminar ini diadakan bersempena dengan program induk UTM Global Connect yang merupakan inisiatif penting dalam menggalakkan kerjasama global dan inovasi melalui pameran penyelidikan, seminar dan dialog antara budaya.

Seminar ini telah dihadiri seramai 120 orang peserta, yang bukan sahaja dalam kalangan staf UTM, tetapi 50 orang antaranya merupakan pentadbir dan pengamal industri dari universiti awam serta agensi kerajaan dan swasta. Tujuan utama seminar ini adalah untuk memupuk pertukaran idea-idea terkini dan membina jaringan hubungan kerja yang ekstensif. Bertemakan Shaping Future Global Leaders of Tomorrow, seminar ini menampilkan beberapa penceramah dan panel yang berpengalaman dalam kepimpinan masing-masing.

Ucap utama disampaikan oleh Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah, dengan tajuk Managing Crisis: Mastering the Art of Leading during Turbulent Times. Antara intipati penting yang diketengahkan adalah kepimpinan lestari terbina melalui inspirasi bersama dan kerjasama dalam pasukan bagi mencapai matlamat, walaupun dalam keadaan sukar.

Picture
Ucap utama seminar oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah

Sesi perkongsian berikutnya bertajuk Navigating Change: Global Leadership Strategies for Success, disampaikan oleh Pendaftar UTM, Pn. Nor Azizah Ismail. Beliau menekankan bahawa pemimpin perlu berdaya saing, cekap dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), bekerja secara sinergi dalam pasukan yang mempunyai pelbagai kepakaran, serta berkomunikasi dengan efektif bagi mencapai keputusan yang tepat.

n
Perkongsian kedua yang disampaikan oleh Pn. Nor Azizah

Seminar ini turut menampilkan ahli Lembaga Pengarah UTM Holdings dan Pengerusi Alumni UTM, Dato’ Ir. Mohamad Khairi Ambran. Beliau berkongsi kepakaran beliau melalui ceramah bertajuk Global Leaders, Agile Organization: Building Sustainable Future Together.

n
Seminar yang turut menampilkan Dato’ Ir. Mohamad Khairi Ambran

Sesi terakhir seminar adalah forum melalui Strategic Leadership Talk Series dengan tajuk Harnessing AI for Leadership in ESG: Navigating Wellbeing, Diversity, Equity & Inclusion. CTLD menjemput tiga orang panel yang berpengalaman dalam bidang AI, kesihatan mental, serta kepelbagaian dan inklusiviti. Panel berpengalaman tersebut terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; penceramah kesihatan mental (AimanPsikologi.com), Aiman Amri; dan Ketua Hal Ehwal Politik, Akhbar dan Informasi, Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Timo Goosmann.

Rumusan daripada forum ini menekankan bahawa pemimpin perlu bijak mengadaptasi dengan perubahan semasa melalui teknologi AI sebagai sistem sokongan bagi meningkatkan keterlibatan dan keterangkuman dalam mencapai matlamat yang diharapkan.

WhatsApp Image at
Slot forum melalui Strategic Leadership Talk Series bertajuk Harnessing AI for Leadership in ESG: Navigating Wellbeing, Diversity, Equity & Inclusion

Diharapkan penganjuran seminar seumpama ini berupaya menggalakkan jaringan kerja antara peserta dan penceramah, memberi pemahaman terhadap isu-isu global terkini yang penting, serta membuka matlamat diri yang jelas agar konsisten dalam menimba ilmu baharu bagi mendepani cabaran globalisasi. Selain itu, peserta juga diharapkan dapat memperkukuh kefahaman mengenai strategi bertindak tangkas dalam mengekalkan kelestarian sumber dan menjadikan kesihatan mental sebagai asas kesejahteraan diri yang utama dalam perubahan gaya kerja yang semakin kompleks.

Explore More