Disember 21, 2024

WhatsApp Image at

Karnival Kimia Malaysia Johor 2024 pupuk minat pelajar sekolah terhadap STEM

JOHOR BAHRU, 27 Okt – Karnival Kimia Malaysia (K2M) Johor 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Blok T02, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru pada Sabtu, 26 Oktober 2024. Acara tahunan ini dianjurkan oleh Institut Kimia Malaysia (IKM) dan Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kimia dalam kehidupan seharian dan menggalakkan minat dalam bidang sains dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Program ini diketuai oleh ChM. Ts. Dr. Mohamad Shazwan Shah Jamil dengan sokongan 50 staf dan pelajar dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM serta Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE). Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah menengah dari pelbagai daerah di negeri Johor telah hadir.

Sepanjang karnival ini, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan. Program ini dimulakan dengan sesi ceramah bertajuk ‘Meet the Scientist’ yang disampaikan oleh pakar kimia, Prof. Madya ChM. Dr. Norazah Basar, Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains. Beliau berkongsi ilmu mengenai kimia tumbuhan, minyak dan produk semula jadi yang menarik minat pelajar dan guru yang ingin mendalami kimia alam semula jadi. Seterusnya, sesi seminar bertajuk ‘Keselamatan Makmal’ disampaikan oleh Prof. Madya ChM. Dr. Jafariah Jaafar, memberikan panduan keselamatan penting kepada pelajar dan guru.

Sesi ceramah ‘Meet the Scientist’ bersama Prof. Madya ChM. Dr. Norazah Basar
Sesi seminar ‘Keselamatan Makmal’ oleh Prof. Madya ChM. Dr. Jafariah Jaafar

Selain sesi ceramah, terdapat pameran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan demonstrasi secara langsung tentang proses kimia dan aplikasi praktikal dalam kehidupan harian. Antara pameran yang menarik ialah Demonstrasi Peniupan Kaca, Pameran Kimia Interaktif, serta Pameran Sains dari Jabatan Biosains dan Jabatan Sains Matematik. Peserta berpeluang juga melihat lebih dekat dan menggunakan peralatan sains semasa Sesi Lawatan dan Demonstrasi Makmal.

Sesi Lawatan dan Demonstrasi Makmal

Karnival ini turut menganjurkan lima pertandingan, iaitu Pertandingan Crime Scene Investigation, Pertandingan Chemistry Quest in the Farm, Pertandingan Periodic Table Game, Pertandingan 3 Minutes Chemistry dan Pertandingan Chem Demo. Sebanyak 26 buah sekolah telah menyertai pertandingan ini, yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas.

Pertandingan Periodic Table Game

Pada sebelah petang, Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dan turut dihadiri oleh tetamu jemputan termasuk Pengerusi IKM Cawangan Selatan, ChM. Rachel Yap Fei Ching; Naib Pengerusi IKM Cawangan Selatan, ChM. Dr. Sheela Chandren; Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Inovasi) Fakulti Sains, Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek; dan Pengarah Jabatan Kimia, Prof. Madya ChM. Dr. Joazaizulfazli Jamalis.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat

Sambutan peserta dan pengunjung amat menggalakkan, dengan kehadiran pelajar, guru, dan keluarga, menunjukkan kepentingan kesedaran kimia dan sains dalam kehidupan seharian. Menurut Pengarah Program, ChM. Ts. Dr. Mohamad Shazwan Shah Jamil, “Karnival Kimia Malaysia Johor 2024 telah mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesedaran dan minat dalam bidang kimia. Dengan pelbagai aktiviti dan pameran yang menarik, program ini bukan sahaja mendidik tetapi juga menginspirasikan generasi muda untuk meneruskan minat dalam bidang sains. Diharapkan karnival ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan terus menjadi platform yang bermanfaat bagi pelajar dan masyarakat Malaysia, khususnya di negeri Johor.”

Explore More