Disember 4, 2024

Search
Close this search box.
IMG scaled

Jabatan Bendahari pupuk budaya urus kewangan cekap melalui Program Bulan Kewangan

JOHOR BAHRU, 30 Okt – Program Bulan Kewangan anjuran Jabatan Bendahari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan jayanya di Student Union Building (SUB), UTM sepanjang bulan Oktober 2024. Program ini dijalankan dengan penuh dedikasi bagi meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar serta staf universiti. Program ini melibatkan tiga sesi berbeza yang diadakan pada 15, 20 dan 28 Oktober. Beberapa agensi kewangan dan bank berdekatan dijemput untuk membuka reruai di lokasi program.

Majlis perasmian Program Bulan Kewangan ini telah disempurnakan oleh Bendahari UTM, Tuan Haji Abu Bakar Mohd Salleh@Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan kemahiran pengurusan kewangan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Beliau turut menggalakkan pelajar dan staf universiti bagi mengambil peluang ini sebagai platform untuk menambah pengetahuan kewangan yang relevan dalam kehidupan seharian dan kerjaya masing-masing.

Hari pertama program pada 15 Oktober dimulakan dengan sesi ceramah daripada pelbagai bank terkemuka. Sesi pagi menyaksikan perkongsian dari pihak Maybank dengan topik “Salary Financing” yang menekankan aspek penting dalam pengurusan gaji dan perbelanjaan bulanan. Ceramah ini memberi panduan kepada peserta tentang cara memanfaatkan gaji secara bijak untuk tujuan kewangan jangka panjang.

Sesi kedua pada sebelah pagi pula diambil alih oleh pihak Agrobank yang menyampaikan ceramah bertajuk “Tips Praktikal untuk Kehidupan”. Ceramah ini menumpukan kepada amalan kewangan harian yang lebih praktikal, seperti penjimatan kos, pelaburan, dan pengurusan perbelanjaan. Pada sesi petang, Bank Rakyat pula berkongsi mengenai “Tips dan Trik Mengelak Penipuan Online.” Dalam ceramah ini, peserta diberi pendedahan tentang teknik-teknik penggodam serta cara untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.

IMG
Para audiens tekun mengikuti penyampaian oleh pihak bank

Pada 20 Oktober, program ini diteruskan dengan perkongsian mengenai e-invoice yang dibentangkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Johor Bahru. Sesi ini berlangsung selama empat jam dan memberi penerangan terperinci mengenai kepentingan e-invoice dalam urusan perniagaan dan kewangan, serta langkah-langkah yang boleh diambil oleh syarikat dan individu untuk memanfaatkan sistem ini dalam urusan perniagaan masing-masing.

Kemudian, ceramah mengenai prosedur kewangan dalaman UTM yang bertajuk Arahan Perbendaharaan 59 (AP59) turut dibentangkan oleh Mun’im Amran dari Jabatan Bendahari UTM. Ceramah ini memberi panduan kepada staf universiti dalam menguruskan dana dan perbelanjaan organisasi secara telus serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

IMG
Pihak LHDN Johor Bahru memberikan penerangan mengenai e-invoice

Program Bulan Kewangan ditutup dengan penuh meriah pada 28 Oktober melalui aktiviti “Financial Escape Room”. Aktiviti ini disertai lapan kumpulan yang terdiri daripada pelajar dan staf UTM yang bersemangat menyelesaikan pelbagai cabaran berkaitan pengurusan kewangan. Setiap kumpulan perlu menggunakan pengetahuan dan strategi kewangan yang tepat untuk menyelesaikan cabaran tersebut, menjadikan aktiviti ini satu cara interaktif dan menyeronokkan dalam meningkatkan celik kewangan dalam kalangan peserta.

IMG
Para peserta dari kalangan staf dan pelajar bersiap-sedia untuk aktiviti Financial Escape Room

Penganjuran Program Bulan Kewangan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti dan SDG ke-17 iaitu Kerjasama untuk Mencapai Matlamat. Dengan adanya kerjasama antara universiti dan institusi kewangan seperti Maybank, Agrobank, Bank Rakyat, dan LHDN, program ini berjaya menghubungkan ilmu teori dengan pengalaman sebenar dari industri, yang mana amat penting dalam membentuk mahasiswa yang celik kewangan serta berdaya saing di pasaran kerja kelak.

IMG ()
Tuan Haji Abu Bakar bertanyakan tentang produk bank yang boleh ditawarkan kepada warga UTM
IMG
Staf UTM sedang mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kewangan yang hadir membuka reruai

Keseluruhannya, Program Bulan Kewangan Jabatan Bendahari UTM bukan sahaja memberi pendedahan tentang pelbagai aspek kewangan tetapi juga mengukuhkan kerjasama strategik dengan agensi luar, sekali gus memantapkan budaya pengurusan kewangan yang cekap dalam komuniti UTM.

Oleh Jawatankuasa Green Office Jabatan Bendahari

Explore More