JOHOR BAHRU, 28 Sept – Sebanyak 145.8 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dalam program World Cleanup Day (WCD) 2024, anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) cawangan Iskandar Puteri. Program ini dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Program yang berlangsung di Kampung Pendas Baru, Gelang Patah ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, yang merupakan tanggungjawab bersama. Aktiviti utama dalam WCD adalah pembersihan kawasan seperti kawasan awam, kawasan rekreasi, taman perumahan, dan institusi pendidikan. Sampah yang dikutip diasingkan mengikut jenis untuk mengenal pasti kategori sisa yang paling banyak dibuang.
Antara pihak yang menjayakan program ini adalah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Kelab Alam Sekitar Bestari Malaysia (SASTARI), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, SK Taman Impian Emas, SWM Environment Sdn. Bhd., dan komuniti penduduk Kampung Pendas Baru. Seramai 70 orang sukarelawan turut serta dalam program ini.
Program WCD 2024 ini dijalankan bermula 22 September dan berakhir pada 29 September 2024 di 58 lokasi berdaftar seluruh Johor. Program ini disertai oleh Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din, dan Penolong Pendaftar Kanan UTMCS, Kiflee Jimpi.
Secara keseluruhannya, program World Cleanup Day (WCD) 2024 bukan sahaja berjaya membersihkan kawasan setempat tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran. Program ini diharapkan dapat menginspirasikan lebih ramai warga komuniti untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kebersihan dan kelestarian alam sekitar pada masa akan datang.