November 9, 2024

Search
Close this search box.

UTM sedia pelbagai skim bantuan kewangan, komited berikan terbaik kepada pelajar baharu

JOHOR BAHRU, 21 Sept. – Seramai anggaran 3,508 pelajar baharu akan mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa untuk sesi akademik 2024/2025 yang bermula pada 28 September 2024.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, daripada jumlah tersebut, seramai 3,289 pelajar akan mendaftar di kampus UTM Johor Bahru manakala 219 pelajar lagi di kampus UTM Kuala Lumpur.

Berdasarkan unjuran daripada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar IPTA  (BPKP IPTA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), seramai 1,160 pelajar baharu yang akan memasuki UTM bagi sesi akademik 2024/2025 adalah daripada keluarga B40.

UTM menyambut baik hasrat YB Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, untuk pihak pentadbir universiti membantu pelajar baharu yang kurang berkemampuan dalam proses pendaftaran masuk ke universiti termasuk bantuan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebagai makluman, UTM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar yang layak secara akademik dapat mengakses pendidikan tinggi. Melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), pelbagai skim bantuan kewangan dan kebajikan telah disediakan, termasuk bantuan sara hidup serta bantuan zakat untuk pelajar yang layak.

Selain itu, UTM juga aktif dalam aktiviti pendanaan melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dengan menyediakan bantuan kewangan menerusi pelbagai tabung Endowmen, Biasiswa dan Wakaf yang terdapat di Universiti.

“UTM sentiasa berusaha untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran dan kehidupan yang terbaik buat para pelajar. Ini termasuk menyediakan sistem bantuan kewangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan, prasarana internet yang meluas, kemudahan riadah dan pembangunan pelajar, serta harga makanan di dalam kampus yang berpatutan. Program Menu Rahmah juga masih diteruskan. Kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua kebajikan pelajar terjaga,”

“Barisan pegawai UTM juga sentiasa bersedia untuk membantu pelajar baharu yang memerlukan bantuan ini menerusi talian 07-533 2956 dan 07-553 0683,” kata beliau.

Sehubungan itu, UTM mengalu-alukan semua pelajar baharu untuk hadir mendaftar bagi sesi Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 September 2024 di kampus UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur.

 

#TAMAT

Explore More