Disember 22, 2024

WhatsApp Image at PM

Pasukan Gred H UTM terokai inovasi dalam pengurusan landskap

KUALA LUMPUR, 13 Sept. – Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengaturkan satu lawatan teknikal yang dinamik serta penuh informasi kepada Pasukan Gred H yang dipimpin oleh En. Mohd Hazan Kenit dan diketuai oleh Qamaruzaman Mohd Noor selaku Ketua Unit Perancangan Kelestarian pada 11 dan 12 September 2024.

Lawatan yang disertai seramai 39 orang staf ini dimulakan dengan kunjungan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, yang menampilkan teknologi terkini dalam bidang pertanian dan landskap. Pasukan ini berpeluang meneroka inovasi baharu yang dapat diterapkan dalam pengurusan dan penyelenggaraan kawasan hijau serta meningkatkan keindahan landskap di UTM.

WhatsApp Image at PM
Peserta yang tiba di MAHA 2024

Lawatan diteruskan ke UTM Kuala Lumpur bagi menghubungkan kerjasama strategik antara pasukan Gred H dari UTM Johor Bahru dengan UTM Kuala Lumpur. Perbincangan melibatkan sesi libat urus, di mana kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan landskap bandar dan pengurusan secara in-house. Di samping itu, lawatan ini membuka jalan untuk kerjasama masa depan dalam penyelidikan dan aplikasi inovatif bagi landskap di kawasan bandar.

WhatsApp Image at PM
Sesi libat urus UTM Johor Bahru bersama UTM Kuala Lumpur

Kemudian, peserta dibawa melawat ke Bukit Bintang, memberikan pengalaman berbeza apabila mereka dapat melihat secara langsung kesan pencahayaan (lighting effect) bandar yang moden di kawasan komersial utama Kuala Lumpur. Kesan visual yang memukau ini bukan sahaja memperindah landskap bandar pada waktu malam, tetapi juga menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung, memberikan impak signifikan dalam mencipta suasana yang mesra pengunjung dan unik. Ini memberikan idea baru untuk penghasilan landskap malam yang menyerlah.

Kemuncak lawatan adalah pada 12 September, iaitu lawatan ke Perbadanan Putrajaya (PPj). Taklimat telah disampaikan oleh pakar-pakar dari Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan, Jabatan Landskap, dan Jabatan Kewangan dari PPj, yang membincangkan pelbagai aspek penting dalam Pengurusan Penyelenggaraan Bangunan, Landskap, dan Perolehan. Sesi tersebut dikendalikan oleh Pn. Fadhlul Jannah dari Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan, En. Abdul Rahim dari Jabatan Landskap, dan En. Ahmad Faizal dari Jabatan Kewangan. Sesi ini memperkaya para peserta dengan ilmu dan idea baharu yang dapat diterapkan di UTM.

WhatsApp Image at PM
Pegawai dari Perbadanan Putrajaya sedang memberi taklimat
WhatsApp Image at PM
Peserta yang hadir mendengar taklimat dan perbincangan yang diadakan

Lawatan ini diharapkan dapat memberi impak yang mendalam, mencetuskan pembaharuan, serta meningkatkan lagi keupayaan pasukan UTM dalam pengurusan landskap dan penyelenggaraan bangunan. Lawatan teknikal ini bukan sahaja menghubungkan peserta dengan teknologi dan inovasi terbaru, malah membuka jalan ke arah kerjasama lebih erat antara institusi dan agensi terlibat.

Explore More