JOHOR BAHRU, 3 Sept. – Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), UTM Johor Bahru mengangkat ketokohan Naib Canselor UTM ini menerusi pameran “2023 Mustafa Prize Laureate: Professor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail”. Pameran ini bersempena Majlis Keunggulan Ilmiah Mustafa Prize Laureate 2023 dan Sesi Perkongsian Inspirasi anjuran Bersama Majlis Profesor UTM dan Jabatan Perpustakaan UTM.
Pameran yang berlangsung sehingga hujung tahun ini merupakan inisiatif bagi mengangkat dan memartabatkan ketokohan dan penyelidikan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail yang merupakan penerima anugerah Hadiah Mustafa 2023 bagi bidang Basic and Engineering Sciences. Mustafa Prize atau Hadiah Mustafa yang diwujudkan pada 2015 dan turut digelar “Nobel Muslim” mengiktiraf saintis terkemuka dari negara anggota Organisation of Islamic Cooperation (OIC).
Pengiktirafan terhadap Profesor Datuk Ahmad Fauzi ini berdasarkan sumbangan besar beliau dalam bidang penyelidikan teknologi membran dan penggunaannya yang pelbagai. lmpak kajian beliau telah merentas sempadan global dan berjaya meletakkan beliau sebagai tokoh peneraju dalam bidang ini.
Dengan menyantuni pameran “2023 Mustafa Prize Laureate: Professor Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi bin Ismail” dapat dijadikan inspirasi dan aspirasi kepada penyelidik khususnya di UTM untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan penyelidikan yang berkualiti tinggi dan berimpak.
Pameran fizikal yang diadakan di Galeri Terbuka, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru juga boleh dilayari secara maya melalui laman web UTM Virtual Gallery (https://virtualgallery.utm.my/pameran-mustafa-prize-2023/).