November 22, 2024

Search
Close this search box.

Green FC komited pelihara alam sekitar melalui program KUDAH di pantai

JOHOR BAHRU, 14 Sept. – Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) anjuran Green FC Fakulti Komputeran telah berjaya dilaksanakan di pesisiran Pantai Tanjung Sepang, Pengerang, Johor. Program KUDAH ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti bulanan yang dijalankan di persekitaran Fakulti Komputeran.

Peserta bekerjasama mengutip sampah sambil beriadah

Objektif program ini adalah untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan pantai sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan. Program ini juga merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Program Hari Keluarga Fakulti Komputeran di Hotel Lotus Seaview, Pengerang.

Program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Timbalan Pendaftar Fakulti Komputeran, En. Masnawi Miskam. Menurut beliau, program ini menggalakkan komuniti untuk berperanan aktif dalam menjaga alam sekitar dan menzahirkan tanggungjawab terhadap kebersihan awam.

Selaras dengan inisiatif Johor Bersih yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2022, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan. Program ini turut dihadiri Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, bersama barisan pentadbir dan staf Fakulti Komputeran serta ahli keluarga.

Dekan Fakulti Komputeran turut hadir menjayakan program KUDAH

Program ini berjaya mengumpulkan sampah seberat 300 kg, terdiri daripada adalah botol plastik minuman dan polisterin bekas makanan. Pengurus Green FC Fakulti Komputeran, Cik Hasnah Musim, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Beliau menyatakan bahawa program ini membawa banyak manfaat kepada alam sekitar, kehidupan marin, dan masyarakat. Ia bukan sahaja membantu menjaga kebersihan dan keindahan pantai, tetapi juga melindungi ekosistem laut daripada pencemaran yang boleh membawa kesan jangka panjang. Program ini turut meningkatkan kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial, mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan dan mengurangkan penggunaan plastik.

Sampah yang berjaya dikutip dan dikumpulkan
kudah
Peserta mengutip sampah dan botol minuman
Peserta mengutip longgokkan botol plastik minuman

Program KUDAH di pantai ini merupakan salah satu usaha Green FC Fakulti Komputeran dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti kutipan sampah. Dengan penyertaan aktif komuniti, program ini bukan sahaja membina kerjasama yang erat, tetapi juga memberi kesan positif kepada industri pelancongan dan kesihatan awam. Oleh itu, program kutipan sampah di pantai wajar diteruskan dan disokong oleh semua pihak demi kelestarian alam sekitar yang lebih baik.

Explore More