JOHOR BAHRU, 28 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) telah mengadakan Majlis Penyerahan Blok S17 dan S18, yang akan dijadikan sebagai co-sharing place bagi menempatkan persatuan-persatuan staf UTM.
Blok S17, yang lebih dikenali sebagai Rumah WANGI (Persatuan Wanita Teknologi), manakala Blok S18, merupakan sebuah rumah sewaan staf di bawah kelolaan Unit Residen, telah lama dikosongkan akibat kerosakan komponen bangunan yang kritikal dan semakin usang disebabkan oleh serangan anai-anai.
Projek membaik pulih ini merangkumi pembasmian anai-anai, penggantian kemasan lantai, siling, pintu, tingkap, mengecat dinding, menaik taraf tandas, membaiki kerosakan bumbung serta tangga, dan pemasangan pendawaian eletrik serta kelengkapan baharu. Ia telah dimulakan pada 4 Mac 2024 dan berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 10 minggu pada 12 Mei 2024, dengan kos yang munasabah.
Blok S17 dan S18 telah direka untuk menyediakan ruang berkongsi dan berkolaborasi serta menjadi pusat aktiviti bagi persatuan-persatuan staf UTM. Ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi antara staf dari pelbagai jabatan dan fakulti, di samping mengeratkan hubungan antara staf serta memastikan persekitaran kerja yang harmoni dan produktif.
Penyerahan replika kunci dari pihak kontraktor Produktif Ikhwan Sdn. Bhd. kepada Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Musa, selaku Pegawai Inden Projek juga Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), telah disaksikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, bersama Prof. Ts Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).
Rumah persatuan yang berkonsepkan co-sharing place ini diharapkan dapat memupuk budaya kerja yang lebih inklusif, dinamik, serta nilai tambah di kalangan staf UTM. Inisiatif ini selaras dengan visi UTM untuk menjadi universiti terkemuka yang mementingkan kesejahteraan dan perkembangan profesional kakitangannya.
Rumah persatuan tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha universiti untuk mencapai beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan (SDG 3), pendidikan berkualiti (SDG 4) serta komuniti dan bandar lestari (SDG 11). Diharapkan rumah persatuan ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan sepenuhnya, tetapi juga menjadi simbol penghargaan dan inspirasi bagi staf UTM untuk terus menyumbang ke arah kejayaan universiti ini.
Foto oleh Haslizam Sali