November 22, 2024

Search
Close this search box.
All

BCV ’24: Memperkukuh perpaduan dan pendidikan melalui warisan Borneo

SABAH, 15 Ogos – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program Borneo Cultural Voyage 2024 (BCV ’24) di Sabah, dari 10 hingga 15 Ogos 2024. Bertemakan “Pendidikan dan Budaya Borneo: Merentasi Warisan,” program ini bertujuan memperkukuh integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia dan Sabah melalui pemahaman budaya yang mendalam dan memperkasa penglibatan sosial antara pelajar UTM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). BCV ’24 menawarkan pelbagai aktiviti yang bukan hanya mempromosikan pendidikan dan budaya, tetapi juga mengasah daya saing serta kemahiran kepimpinan pelajar.

All
Berlatarkan pintu masuk Kampung Warisan

Pada 12 Ogos, program “Belajar Satu Keperluan, Bukan Kehendak” yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matupang Jaya, Ranau, berjaya menarik perhatian pelajar dengan penekanan pada pentingnya pendidikan tinggi. Sesi perkongsian inspirasi oleh Dr. Muhammad Syahir bin Sarkawi dan saudari Christy See Jing Von mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran mendapat sambutan hangat, mendorong pelajar tingkatan 4 untuk berfikir secara kritis tentang masa depan mereka.

SMJ
Perkongsian yang disampaikan oleh Dr. Syahir
SMJ
Sesi perkongsian oleh saudari Christy See Jing Von

Kejayaan program ini diteruskan dengan “Gabungan Citarasa” di Kampung Sagindai Baru, di mana peserta JKM KTDI dan penduduk kampung menyatukan rasa melalui pertukaran kulinari, mempersembahkan Mee Bandung dari Johor dan Nasi Linopot dari Sabah. Pada waktu yang sama, sumbangan kepada 13 keluarga asnaf di kampung tersebut dilakukan sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat setempat, memperlihatkan keindahan nilai kemanusiaan yang mendasari program ini.

Kampung
 Sesi rewang bersama penduduk kampung
All
Sesi pemberian sumbangan kepada penduduk kampung

Malam tersebut, program “Malam Seiring Purnama” membawa semangat perpaduan ke tahap yang lebih tinggi dengan pertukaran budaya antara Johor dan Sabah melalui persembahan tarian zapin oleh UTM dan tarian sumazau serta zapin oleh penduduk kampung. Majlis ini bukan sahaja meriah dengan tarian, tetapi turut disemarakkan dengan hidangan istimewa hasil kerjasama kedua-dua belah pihak, mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.

Kampung
Persembahan tarian zapin oleh penduduk kampung

Pada 14 Ogos 2024, “Simposium Wawasan Budaya” di UMS membincangkan bagaimana masyarakat Sabah mampu mengekalkan institusi kebudayaan walaupun telah berusia ratusan tahun. Forum ini menampilkan perbincangan berwibawa dari Encik Azizul bin Azman, Pegawai Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI) UTM, dan Encik Alan James, Ketua Bahagian Kebudayaan dan Keseniaan UMS, dengan saudara Amir Haziq bertindak sebagai moderator.

Encik Azizul menegaskan bahawa “Negara yang terlalu menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI) berbanding budaya mungkin sukar mengekalkan identiti mereka. Pengalaman pembelajaran langsung lebih berkesan daripada hanya bergantung kepada platform digital. Teknologi seperti teknologi maya (VR) boleh digunakan untuk menghidupkan kembali budaya tradisional dengan cara yang menarik bagi generasi muda.

Encik Alan James pula mengingatkan bahawa, “Kita perlu berusaha keras untuk mengekalkan budaya kita di tengah pengaruh luar. Bahasa Melayu harus diajar dan digunakan walaupun kita menguasai bahasa asing. Perpaduan adalah kunci untuk menghadapi masa depan yang mencabar, seperti yang dibuktikan oleh sejarah kemerdekaan kita.”

All
Sesi forum ‘Simposium Wawasan Budaya’

Program ini mencapai kemuncaknya dengan “Gema Budaya Serantau” yang berlangsung di UMS, menyaksikan pertukaran budaya yang lebih mendalam melalui persembahan zapin oleh UTM dan tarian murut nabai oleh UMS. BCV ’24 bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan antara pelajar dan komuniti dari Johor dan Sabah, tetapi juga membangkitkan semangat patriotisme melalui perpaduan, pendidikan dan budaya.

UMS
Encik Alan James mempersembahkan teknik yang betul untuk bermain alat muzik
UMS
 Juga diserikan dengan tunjuk ajar tarian kepada wakil UTM

Diharapkan agar BCV ’24 menjadi landasan tahunan yang terus mempereratkan hubungan antara pelbagai etnik di Malaysia, mengangkat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan generasi muda melalui inisiatif pendidikan dan kebudayaan yang menyeluruh.

Explore More