Disember 8, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image Syaza

Saban tahun, kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan amat dinanti-nantikan oleh warga Malaysia dengan penuh rasa kesyukuran dan cinta terhadap nusa ini. Sambutan ini bukan sekadar perayaan bagi meraikan kejayaan masa lalu, tetapi juga seruan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus membina masyarakat yang sejahtera dan saling menyokong.

Dalam membina sebuah masyarakat Madani yang berjiwa Merdeka, nilai terasa Malaysia MADANI perlu dijadikan panduan untuk merealisasikan hasrat ini. Satu daripada enam nilai teras berkenaan yang menjadi asas negara ini ialah ‘Kesejahteraan’ yang didefinisikan sebagai keseimbangan atau lebih tepat lagi kehidupan dan segala sisinya yang terangkum dalam keseimbangan. Menurut laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kesejahteraan bermaksud ungkapan yang menunjukkan keadaan yang aman dan makmur, senang dan tenteram dan terpelihara daripada segala bencana.

Dalam meneliti tonggak kesejahteraan ini, amat digalakkan agar para pemikir untuk mengambil teladan daripada keajaiban akar-akar pokok. Dalam konteks ini akar pokok dianalogikan sebagai asas kesejahteraan utama dan sumber kekuatan dalam keteguhan sesebuah negara. Anyaman atau jalinan akar di dalam tanah yang memasak bumi di hutan tebal ini dapat diibaratkan sebagai kekuatan nilai individu adalah rahsia utama membentuk masyarakat yang sejahtera.

Umpama pokok yang bergantung pada akarnya untuk kekuatan, rakyat Malaysia bergantung pada nilai, sejarah, dan rasa kekitaan yang dikongsi untuk memastikan negara kekal kuat, dinamik, dan sejahtera untuk generasi yang akan datang. Jiwa Merdeka setiap individu berakar dalam nilai-nilai kebersamaan, membentuk jaringan sokongan yang menjadikan kita lebih kuat dalam menghadapi segala cabaran.

Dalam sebuah hutan yang tebal, pokok yang terdiri daripada pelbagai spesies, peranan dan saiz sebenarnya saling terhubung melalui rangkaian bawah tanah yang luas dan kompleks serta disuburkan oleh kulat mikoriza. Kulat mikroriza menjalinkan hubungan simbiotik dengan akar tumbuhan, membolehkan mereka berkongsi sumber, berkomunikasi, dan saling menyokong. Hubungan simbiotik ini membenarkan pertukaran air dan nutrien antara kulat dengan sel tumbuhan, di mana kulat mikroriza menerima gula dan asid amino daripada tumbuhan, manakala tumbuhan menerima fosfat dan nutrien penting daripada kulat tersebut. Dalam dunia hijau, rangkaian ini adalah penting untuk kesihatan dan kestabilan keseluruhan ekosistem.

Keadaan alam tumbuhan ini dapat kita terjemahkan dalam konteks masyarakat Madani. Walaupun pokok-pokok saling berhubung, setiap pokok juga mempunyai peranan dan tempat tersendiri di dalam hutan. Kita dapat memahami bahawa walaupun setiap individu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, namun setiap daripada kita ialah pemegang taruh dalam sesebuah masyarakat bagi memastikan kesejahteraan dan keseimbangan dapat dibentuk merentasi budaya dan generasi.

Keterhubungan masyarakat Merdeka adalah teras utama dalam membentuk komuniti sejahtera yang seimbang. Sama seperti pokok-pokok yang berkongsi nutrien dan isyarat, individu berkongsi pengetahuan, sumber, dan sokongan emosi. Hubungan sosial yang kuat memupuk rasa kepunyaan dan membantu komuniti berkembang dalam pelbagai bidang; sama seperti akar yang saling berhubung menyokong hutan.

Melalui buku Finding the Mother Tree: Discovering the Wisdom of the Forest karya Suzanne Simard, beliau mengetengahkan konsep “Pokok Ibu” atau Mother Tree. Pokok Ibu memainkan peranan utama dalam membentuk sesebuah hutan termasuk memberi makan serta melindungi pokok-pokok muda dengan menyediakan nutrien penting, dan mencerminkan sistem sokongan bersama dalam alam semula jadi. Jika wujud pokok yang lebih lemah atau sedang menghadapi kesukaran, ia mendapat manfaat daripada bantuan pokok-pokok yang lebih kuat. Anyaman akar di bawah tanah yang luas ini menunjukkan betapa pentingnya dalam membentuk sebuah masyarakat sejahtera.

Dalam kebersamaan masyarakat Madani, sokongan ini boleh dizahirkan melalui bimbingan, penjagaan, atau penganjuran pelbagai program untuk memperkasakan komuniti. Pakar ilmu, mereka yang mempunyai pengalaman, sumber, atau kekuatan amat diperlukan dalam membantu mereka yang memerlukan. Dalam konteks ini, universiti dilihat sebagai salah satu institusi besar yang memainkan peranan sebagai “Pokok Ibu” dalam masyarakat. Hasil penyelidikan, khidmat komuniti, penganjuran wadah pertukaran ilmu, serta penghasilan golongan pemikir seperti graduan yang berkualiti merupakan sokongan yang terus wujud demi kesejahteraan bersama. Penjagaan kolektif ini menguatkan struktur sosial dan memastikan semua anggota komuniti dapat berkembang, sama seperti peranan “Pokok Ibu” dalam memastikan kelangsungan pokok lain di sekitarnya.

Konsep seterusnya yang diketengahkan dalam penulisan tersebut ialah “Ketahanan dan Penyesuaian”. Membina generasi yang kental dan mampu beradaptasi dengan perubahan serta menginovasi penyelesaian amat penting bagi membentuk masyarakat sejahtera. Analogi hutan melalui rangkaian pokok dan akarnya, menunjukkan ketahanan luar biasa untuk tumbuh dan berkembang. Apabila sesebuah pokok mengalami kerosakan akibat serangan kulat atau penyakit, pokok-pokok jiran dapat memberikan sokongan melalui anyaman akarnya. Kekuatan kolektif ini membolehkan hutan menyesuaikan diri dan pulih daripada cabaran, seperti perubahan persekitaran atau bencana alam.

Dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan nilai, ketahanan ini sering datang daripada rangkaian sokongan yang dibina oleh komuniti yang saling berhubung dan menyokong. Hal ini amat mustahil jika setiap pemegang taruh mengambil sikap acuh tak acuh terhadap isu terkini. Masyarakat perlulah dibentuk dengan nilai kasih sayang, ambil peduli, ikhlas serta saling menghormati sedari awal usia. Setiap lapisan masyarakat perlu menterjemahkan nilai ini melalui kebersamaan dalam memberi, kerana “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Sama seperti pokok bergantung pada akarnya untuk bertahan, masyarakat bergantung pada hubungan dan ikatan komuniti untuk mengatasi setiap cabaran dan ancaman.

Tuntasnya, metafora “akar pokok” ini mengingatkan kita bahawa tiada seorang pun daripada kita benar-benar “bangun dengan sendiri.” Akar-akar kekuatan dan kejayaan yang dicipta dan ingin diwariskan kepada generasi akan datang terletak pada hubungan kita dengan orang lain dalam setiap komuniti. Bangunkanlah akar-akar yang baik dalam diri agar apa yang kita sumbangkan kepada komuniti hari ini mampu menjadi asas kukuh bagi membenihkan tonggak “Kesejahteraan” dalam setiap lapisan generasi. Seperti hutan yang bertahan dan tumbuh semula, negara Malaysia juga akan terus kukuh dan sejahtera dengan mencipta kekuatannya daripada akar sejarah, budaya, dan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Setiap tindakan, usaha dan keputusan yang diambil oleh setiap organisasi, sekecil mana pun, amat penting dalam menjujung sebuah masyarakat Madani yang sejahtera. Akar-akar ini akan menjadi asas terpenting dalam memastikan Jiwa Merdeka yang kita miliki hari ini mampu membentuk identiti kesejahteraan – ibarat kata pepatah Melayu, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Explore More