Julai 3, 2024

Search
Close this search box.
Prof Ali TNCHEPA

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang baharu

JOHOR BAHRU, 1 Jul. – Prof. Ts. Dr. Ali Selamat telah dilantik secara rasmi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Prof. Ali merupakan Dekan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) selama hampir enam tahun sejak 2018 sebelum dilantik ke jawatan ini. Sepanjang menerajui MJIIT, beliau memainkan peranan penting dalam menggerakkan fungsi fakulti ini sebagai sebuah institusi kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan Jepun, khususnya melibatkan kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Di bawah kepimpinan Prof. Ali, MJIIT telah menggabungkan kekuatan sistem pendidikan Malaysia dan Jepun, terutamanya dalam bidang penyelidikan. Selain itu, penubuhan Malaysia-Japan Linkage Office (MJL) yang telah dirasmikan dengan jayanya oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud baru-baru ini mengukuhkan lagi kewibawaan beliau sebagai peneraju MJIIT. Penubuhan MJL di UTM yang bermatlamat menjadi hub pendidikan dan industri terkemuka antara Jepun dengan negara ASEAN di rantau ini menunjukkan kepercayaan oleh pihak antarabangsa terhadap kemampuan institusi tersebut amatlah tinggi.

Penubuhan MJL diperkukuh dengan peranan Prof. Ali selaku Pengerusi bagi Asia Oceania Five University Consortium (AOFUA) serta Setiausaha Bersama Japanese University Consortium (JUC) yang melibatkan 31 Universiti dan agensi Jepun seperti Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT), Japan, Ministry of Economy, Trade and Industry, Japan, The Japan Chamber of Commerce dan Industry dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Selain itu Prof Ali juga merupakan Felo di Akademi Profesor Malaysia, dan Ketua Korpus Kesarjanaan Pengkomputeran dan Kecerdasan Buatan, Akademi Profesor Malaysia. Beliau juga terlibat sebagai Ahli Majlis JSPS Alumni Malaysia, Ahli Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil/Diploma Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia, Ahli International Advisory Board, Hradec Kralove University Czech Republic, dan Ahli Majlis IEEE Computer Society Malaysia Section.

Mempunyai kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Perisian, Prof. Ali pernah menjawat jawatan Dekan Penyelidikan bagi Research Alliance – Knowledge Economy (K-Economy RA) UTM (2013-2015) sebelum dilantik menjadi Pengarah Pusat Teknologi Maklumat dari tahun 2015 hingga 2018.

Pelantikan ini dilihat sebagai simbol keyakinan Universiti terhadap kepimpinan Prof. Ali, yang bukan sahaja dapat menerajui bidang kepakaran tetapi juga membangun hubungan baik kerjasama pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa. Ini diharapkan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan mahasiswa UTM yang bakal menjadi kelompok bakat berorientasikan masa hadapan serta berkemahiran tinggi bagi negara.

Explore More