November 17, 2024

Search
Close this search box.
Featured Solar Mersing

MERSING, 3 Jul. – Sebanyak 21 bot nelayan Mersing menerima manfaat menerusi pemasangan sistem teknologi solar PV terasing melalui projek CSR antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Projek pemasangan perintis pada bot nelayan ini yang didanai Sadaqa House Bank Islam dengan nilai lebih RM100,000 turut melibatkan tenaga kerja seramai 180 pelajar dan pensyarah daripada 13 institusi kemahiran dan pengajian tinggi negara.

Antara matlamat utama projek ini adalah bagi mengurangkan penggunaan diesel sekali gus menambah pendapatan kepada nelayan. Bagi bot nelayan jenis C, peralatan-peralatan elektrik seperti sonar, GPS, walkie-talkie, lampu, pam air dan lain-lain peralatan elektrik menggunakan sumber bekalan daripada bateri, di mana bateri ini dicas menggunakan enjin atau diesel daripada bot. Oleh yang demikian, dengan mengubah suai sedikit pendawaian, teknologi solar PV terasing disambung kepada semua peralatan elektrik ini, sekali gus tidak lagi menggunakan diesel untuk peralatan tersebut.

Pemasangan Solar PV
Pemasangan solar PV pada bot nelayan terlibat

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk. Ts. Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, UTM sentiasa mengutamakan perkhidmatan kepada masyarakat watan di luar sana bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dan memperoleh pelbagai kemudahan yang lebih kondusif. UTM juga sentiasa berkolaborasi dengan institusi-institusi TVET dalam melaksanakan program berkaitan khidmat masyarakat.

“Kami berharap dengan sumbangan daripada segi kepakaran dan tenaga kerja semua staf dan pelajar UTM serta bantuan yang tidak berbelah bagi daripada 13 rakan kolaborasi dapat memberi manfaat berganda dan berpanjangan kepada nelayan di Mersing yang terlibat,’ ujar Prof. Datuk Fauzi.

Sementara itu, Ketua Projek, Dr. Madihah Md Rasid menjelaskan projek ini akan mampu memberikan impak yang positif kepada nelayan kerana kejayaan sistem ini telah terbukti melalui prototaip pertama bot nelayan dengan tenaga elektrik solar pada tahun 2020 yang dibangunkan oleh pihak penyelidik UTM.

IMG
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam bersama Ketua Projek UTM, Dr, Madihah (dua dari kanan) dan wakil kedua-dua pihak yang terlibat

“Pemilik bot bukan sahaja menikmati penjimatan kos minyak diesel hampir RM150.00 sebulan, malah berasa selesa kerana boleh menggunakan peralatan-peralatan elektrik ini tanpa perlu menghidupkan bot ketika berada di laut,” katanya.

Projek dibiayai menerusi sumbangan awam kepada Sadaqa House Bank Islam merupakan pemacu kewangan sosial BIMB yang diiktiraf di peringkat global. Usaha kelestarian ini dijangka mampu mempertingkatkan keupayaan aktiviti perikanan, di samping memberi penjimatan kepada nelayan dan memelihara ekosistem alam sekitar, khususnya lautan.

Menerusi kerjasama yang bermula 2018, UTM telah menyediakan sistem solar fotovolta kepada empat penempatan perkampungan yang tidak mempunyai bekalan elektrik berterusan. Ia terdiri daripada tiga kampung Orang Asli, iaitu di Kampung Woh Intake di Tapah, Perak; Kampung Tewowoh, Mersing, dan Kampung Pucur, Kluang, Johor serta sebuah kampung nelayan atas air, iaitu Kampung Linting, Pulau Tanjung Surat, Johor. Projek nelayan Mersing ini pula merupakan projek sulung yang memberi impak terus kepada golongan nelayan B40.

Antara institusi pengajian yang terlibat dalam proses pemasangan sistem solar fotovolta pada bot nelayan ini adalah Insitut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Beaufort, Kolej Komuniti Segamat 2, Kolej Komuniti Kuala Langat, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Politeknik Port Dickson, Politeknik Mersing, Politeknik Muadzam Shah, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing dan ILP Pasir Gudang.

Menerusi kerjasama ini, penyelidik UTM bukan sahaja dapat memberi pendedahan ilmu dan kemahiran kepada rakan-rakan kerjasama tentang aplikasi teknologi solar fotovolta pada bot nelayan tetapi juga kepada pelajar-pelajar di semua institusi yang terlibat dalam projek ini.

IMG
Kumpulan Projek Pemasangan Solar PV UTM bersama pihak BIMB
IMG
Bersama murid SK Penyabung yang menghadiri Program Pameran STEM yang turut berlangsung pagi tadi

 

Explore More