Oktober 18, 2024

Search
Close this search box.
Hepa ( of )

Kejohanan sukan staf UTMKL dan alumni sokong inisiatif pembentukan pasukan universiti kompetitif

KUALA LUMPUR, 9 Julai UTMKL Sports Carnival merupakan Kejohanan Sukan Staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan Alumni yang dianjurkan bagi memperkasakan bakat sukan dalam kalangan warga universiti untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Kejohanan sukan ini bukan sahaja merupakan satu platform bagi memastikan teras pembangunan sukan universiti terpelihara, malah dapat memperkasakan jaringan kolaborasi strategik bersama anak-anak Syarikat UTM dan Alumni UTM di masa hadapan dalam pelbagai bentuk penganjuran yang berimpak tinggi, sama ada di dalam bidang sukan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, dan lain-lain.

Hepa

Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Seksyen Kecemerlangan Sukan UTM Kuala Lumpur dan dibantu oleh Sekretariat Sukan dan Rekreasi yang terdiri daripada pelajar-pelajar UTM Kuala Lumpur. Pelajar-pelajar tersebut telah dilibatkan bersama dalam pengurusan teknikal kejohanan dan pengurusan sepanjang kejohanan berlangsung. Secara tidak langsung, ini adalah platform yang terbaik untuk para pelajar memperkasakan bakat dalam kemahiran kendiri, pengurusan, dan pentadbiran. Kejohanan ini telah berlangsung pada 4 Jun – 3 Julai 2024 di sekitar Kampus UTM Kuala Lumpur dengan melibatkan 13 jenis sukan. Seramai 400 orang atlet, ketua kontinjen, timbalan ketua kontinjen, jawatankuasa induk kejohanan dan sekretariat sukan dan rekreasi terlibat dalam menjayakan kejohanan ini.

Pro Naib Canselor (Kampus UTMKL) menyertai Larian 5KM
Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) menyertai Larian 5KM dan Sukan Badminton Berpasukan

Uniknya UTMKL Sports Carnival adalah kejohanan ini telah berjaya menyatukan lima entiti yang berbeza iaitu Staf UTM Kuala Lumpur, Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTM SPACE), UTM Holding, Persatuan Alumni UTM, dan Alumni UTM di bawah satu payung yang sama dalam merealisasikan penganjuran kejohanan ini. Penyertaan atlet-atlet dari alumni diibaratkan seperti sireh pulang ke ganggang. Kesemua entiti tersebut telah dipecahkan kepada enam kontinjen iaitu Panther, Raptor, Viper, Rafale, Agusta, dan Patriots. Kejohanan pada tahun ini lebih kompetitif berikutan daripada rombakan kontinjen, pengenalan sukan-sukan baru, dan pengesahan penyertaan sukan yang lebih banyak dari Kontinjen Patriots atau Alumni UTM. Kejohanan yang telah berlangsung selama sebulan ini juga dilihat lebih meriah dan bersemangat berikutan daripada penyertaan sukan oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) dari Kontinjen Viper di dalam sukan Badminton Berpasukan dan Larian 5KM. Selain itu juga, Majlis Penyampaian Pingat Kejohanan bagi setiap sukan yang dipertandingkan diserikan lagi dengan kehadiran ketua-ketua jabatan di peringkat UTM Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan di UTM Kuala Lumpur hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat Kejohanan kepada Para Pemenang
Ketua Jabatan di UTM Kuala Lumpur hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat Kejohanan kepada Para Pemenang

Hepa

Juara keseluruhan UTMKL Sports Carnival 2024 telah dimenangi oleh Kontinjen Raptor yang terdiri daripada Staf Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dengan pungutan 96 mata dan pingat sebanyak 5 emas, 3 perak & 5 gangsa. Ini merupakan kemenangan pertama dimenangi oleh Kontinjen Raptor sekali gus meleburkan dominasi kontinjen Panther yang telah menjuarai kejohanan UTMKL Sports Carnival pada tahun 2019 dan 2023. Majlis Penyampaian Piala Juara Keseluruhan, Piala Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan bakal disempurnakan oleh oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif di Perkarangan Menara Razak, Kampus UTM Kuala Lumpur pada 30 Julai 2024.

Keputusan Keseluruhan Kejohanan USC
Keputusan Keseluruhan Kejohanan Sukan Staf UTMKL dan Alumni 2024

Pengerusi kejohanan yang juga merupakan Ketua Seksyen Kecemerlangan Sukan UTM Kuala Lumpur menyatakan bahawa Kejohanan Sukan Staf UTM Kuala Lumpur dan Alumni berjaya menyahut seruan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang menekankan beberapa elemen kesejahteraan warga universiti yang merangkumi Pengukuhan Jati Diri, Gaya Hidup Sihat, Jalinan Ukhuwah, Pembangunan Bakat Sukan dalam kalangan staf UTM. Jawatankuasa Penganjur yang diketuai oleh Encik Nabil Hazwan juga yakin bahawa kejohanan sukan pada tahun ini yang dilihat amat kompetitif mampu menarik lebih ramai staf untuk ke hadapan untuk bersaing dan menghasilkan satu pasukan yang mampan untuk bersaing ke peringkat yang lebih tinggi seperti Kejohanan Sukan antara Universiti Malaysia (SUKUM).

Semoga dengan penganjuran kejohanan seperti ini mampu memastikan kualiti kesihatan, fizikal, mental dan spiritual bagi setiap warga universiti sentiasa di paras yang optimum bagi menghasilkan produktiviti kerja yang lebih berkualiti, suasana kerja yang lebih ceria, dan budaya kerja yang lebih cemerlang.

Explore More