JOHOR BAHRU, 10 Jun 2024 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru terpilih menjadi tuan rumah untuk mengadakan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Universiti Awam 2024 bilangan 2/2024. Mesyuarat ini bertempat di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Tn. Hj. Mohamad Azhan Md. Amir telah mempengerusikan mesyuarat yang keahliannya terdiri daripada semua Pengarah-Pengarah Pembangunan universiti awam seluruh Malaysia, iaitu seramai 21 orang. Urus setia bagi mengendalikan mesyuarat ini terdiri daripada barisan Delegasi Pegawai-Pegawai KPT.
Ahli mesyuarat telah dipersembahkan dengan tayangan montaj pengurusan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), keutamaan perancangan pembangunan pada masa akan datang dan inovasi UTM termasuk inisiatif Geopelancongan UTM. Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad selaku tuan rumah yang mewakili UTM turut menyampaikan kata alu-aluan selamat datang ke UTM Johor Bahru pada pembukaan mesyuarat tersebut.
Agenda utama mesyuarat ini adalah bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit berhubung status semasa kemajuan kerja projek-projek pembangunan dibawah RMK12, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Ini adalah bagi menepati konsep Pembangunan Malaysia Madani yang melibatkan perancangan pembangunan yang telah diluluskan, mestilah dipastikan siap mengikut masa yang ditetapkan.
Dalam atur cara rasmi ini turut berlaku mesyuarat Majlis Pengarah-Pengarah Pembangunan yang diadakan pada 9 Jun bertempat di Bilik Mesyuarat Utama yang telah dipengerusikan oleh Pengarah Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM). Kehadiran semua delegasi telah disantuni oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam dan diiringi oleh Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset, JTNCP, Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa.
Seterusnya, satu lawatan khas ke projek-projek pembangunan kampus juga telah dijalankan sebaik selesai sesi mesyuarat. Delegasi kementerian telah dibawa melihat perkembangan projek-projek yang telah siap dan juga yang sedang berjalan di sekitar kampus. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau sejauh mana prestasi pihak UTM terutama Bahagian Pengurusan Aset (BPA) dalam menjalankan pelaksanaan dan pemantauan projek selain melihat juga keadaan fasiliti-fasiliti usang di kampus yang masih memerlukan bantuan peruntukan bagi pembaikan dan naik taraf.
Para delegasi juga telah dibawa ke lokasi Telaga Akuifer Batuan dan Balai Cerapan. Telaga Akuifer Batuan UTM merupakan satu lakaran sejarah kerana UTM merupakan universiti awam pertama yang memiliki telaga akuifer sendiri. Air akuifer batuan ini juga disalurkan ke asrama-asrama dalam masa yang sama membantu pengurangan kos operasi Universiti. Timbalan Ketua Setiausaha KPT sangat teruja dengan lawatan ke Telaga Akuifer Batuan dan Balai Cerapan kerana beliau ingin keunikan di setiap universiti awam perlu ditonjolkan termasuk aktiviti utama pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan.
Kehadiran semua delegasi turut diraikan di Majlis Makan Malam di ruang terbuka Rumah Tropika. Lokasi ini dipilih memandangkan ianya amat sesuai bagi hadirin merasai suasana tema ‘UTM Tropical Campus’ dan ditambahkan lagi dengan menu-menu tradisional negeri Johor. Dengan berakhirnya dua sesi di atas, pihak UTM amat mengharapkan kerjasama antara UTM dengan KPT serta universiti awam akan lebih rapat, terjalin ukhuwah yang erat dan berpanjangan ke masa hadapan.