Disember 22, 2024

A

Pengiktirafan dan kolaborasi antarabangsa jadi fokus utama FKA kekalkan status Top 100 QS World University Rankings by Subject

JOHOR BAHRU, 19 Mei – Prestasi akademik yang cemerlang tidak hanya menjadi kebanggaan bagi sebuah institusi pengajian tinggi, tetapi juga mencerminkan dedikasi yang tinggi dalam penyediaan pendidikan berkualiti. Dalam konteks ini, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melakar kejayaan yang membanggakan melalui pengiktirafan sebagai salah satu program terbaik dalam Top 100 QS World University Rankings by Subject 2024.

Kurikulum yang mendalam memastikan pelajar dilatih dengan baik untuk mengatasi cabaran sebenar industri. Berbeza dengan amalan pengajaran di beberapa universiti di Amerika Syarikat, komponen kejuruteraan awam iaitu struktur, geoteknik, kejuruteraan air, alam sekitar dan juga pengangkutan diajar melalui subjek teras dan juga subjek pilihan. FKA lebih menitikberatkan pengajaran melalui subjek teras bagi memastikan jurutera awam yang dihasilkan adalah berkualiti dan dapat menyelesaikan segala masalah berkaitan kejuruteraan awam.

FKA juga memastikan kesemua aspek kejuruteraan struktur, iaitu analisis dan reka bentuk diajar dengan teliti dan mendalam kepada pelajar dan telah berjaya membentuk graduan yang kuat dari segi teori dan praktikal sehingga memberi impak besar kepada industri. Selain dari itu, komponen kejuruteraan awam seperti geoteknik, kejuruteraan air, alam sekitar dan juga pengangkutan turut ditekankan. Prof. Madya Dr. Suhaimi Abu Bakar, Dekan FKA berkongsi pembangunan kurikulum yang kuat merupakan keistimewaan program civil and structure.

 

Prof. Madya Dr. Suhaimi meninjau sekitar makmal struktur sambil menerangkan kegunaan alat kepada pelajar
Prof. Madya Dr. Suhaimi meninjau sekitar makmal struktur sambil menerangkan kegunaan alat kepada pelajar

“Fakulti ini juga mempunyai ramai tenaga pengajar yang cukup hebat. Contohya, Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad yang merupakan pakar dalam bidang geoteknik, Prof. Dr. Azlan Adnan dengan kepakaran beliau dalam earthquake engineering, Prof. Ir. Dr. Azman Kassim juga pakar bidang geoteknik dan ramai lagi pensyarah yang pakar dalam bidang mereka. Pembangunan kurikulum oleh barisan tenaga pengajar yang bertauliah menjadi tonggak dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi” ulas Dr. Suhaimi ketika ditemu bual.

Hal ini disokong dengan pencapaian fakulti ini dalam statistik kebolehpasaran graduan bagi tahun 2022 yang mencatatkan sebanyak 99.05% graduan yang berjaya menempatkan diri dalam industri kurang daripada setahun selepas mereka bergraduasi. Peratusan kebolehpasaran graduan yang tinggi ini juga dibantu oleh para alumni yang kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  syarikat besar yang mengambil graduan FKA, UTM sebagai pekerja mereka. Apa yang lebih membanggakan sebahagian besar daripada kelompok ini pula bekerja sebagai jurutera dalam bidang kejuruteraan awam.

 

IMGM
Sekitar “Open Lab” yang dibina berhampiran dengan tanda mercu Fakulti Kejuruteraan Awam.

Selain graduan, ahli akademik di fakulti ini juga melakar pelbagai pencapaian yang cukup istimewa, antaranya dalam penulisan buku seperti Ir. Mohammad Salleh Yassin merupakan salah seorang tenaga pengajar di FKA yang menjadi sumber rujukan agensi luar dan pihak industri seperti JKR dan lain-lain, serta terdapat beberapa tenaga pengajar di fakulti ini turut mendapat pengiktirafan sebagai Top World Scientists. Ini menjadi bukti kredibiliti dan kualiti ahli akademik di fakulti ini tidak dapat disangkal lagi.

“Dari tahun 1972 sehingga ke hari ini, FKA telah melahirkan seramai lebih kurang 20,000 orang graduan dan ramai dalam kalangan mereka telah menjadi individu yang berpengaruh pada ketika ini. Sebagai contoh Tan Sri Datuk Seri Panglima Acryl Sani yang memegang portfolio sebagai Ketua Polis Negara ke-13 dari tahun 2021 sehingga 2023, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong asalnya seorang jurutera dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan pada tahun 2020 hingga tahun 2022, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai Mohamed graduan diploma ITK yang merupakan Naib Canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan ramai lagi,” tambah Dr. Suhaimi berkongsi pencapaian graduan yang telah dilahirkan oleh fakulti ini.

IMGM
Prof. Madya Dr. Suhaimi menunjukkan staf kelahiran fakulti kejuruteraan awam yang telah menempa nama di persada tanah air

Kejayaan program Civil and Structure mengekalkan kedudukan di tangga 100 teratas pada QS World University Rankings by Subject menjadi bukti semangat daya saing yang ada pada mereka dalam menyumbang kepada pendidikan berkualiti di Malaysia. Markah dua kriteria yang dinilai pada QS World University Rankings by Subject iaitu citation per paper dan H-index citation yang berjaya diperoleh oleh fakulti ini setara dengan dua universiti ternama dunia, iaitu University of Cambridge (nombor 8 dunia) dan Stanford University (nombor 10 dunia).

“Setakat ini, purata H-index kita ialah 10 manakala citation untuk setiap staf puratanya ialah 734. Meskipun semua yang berkaitan penyelidikan kita dalam keadaan baik, namun kita perlu tingkatkan lagi usaha dalam menaikkan lagi markah bagi kedua-dua kriteria ini,” tegas Dr. Suhaimi.

Beberapa strategi yang sedang giat dijalankan oleh pihak pengurusan fakulti dalam mengukuhkan lagi kedudukan sebagai program di tangga 100 teratas dunia ialah menguatkan jaringan kolaborasi bersama alumni fakulti yang akan membantu dalam menaikkan lagi nama UTM agar lebih dikenali. Melalui jaringan kolaborasi yang terbina, secara tidak langsung ia membantu dalam meningkatkan markah salah satu kriteria penilaian iaitu reputasi akademik. Selain alumni, pihak fakulti juga memfokuskan pemeteraian Memorandum of Agreement  (MoA) dan Memorandum of Understanding (MoU) bersama universiti di Asia seperti Indonesia, Singapura dan sebagainya bagi memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa yang juga membantu dalam meningkatkan kriteria yang sama.

 

IMGM
Dari kiri, Dr Noornabilah Sarbini (Ketua Jabatan Struktur dan Bahan), Prof. Madya Dr. Suhaimi Abu Bakar (Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam) dan Prof. Madya Dr. Mohammadreza Vafaei (Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam)

“Bagi kriteria reputasi majikan pula, majikan atau syarikat menilai graduan yang dikeluarkan oleh fakulti kita berkualiti dan kita masih dalam rangka meningkatkan lagi pencapaian ini dengan menubuhkan satu jawatankuasa employability agar mudah untuk kita monitor. Itulah strategi fakulti dalam meningkatkan lagi keempat-empat kriteria yang dinilai dalam QS World University Rankings. Reputasi akademik sangat dititikberatkan kerana kriteria ini menyumbang sebanyak 40% daripada keseluruhan markah,” tambah Dr. Suhaimi.

Sementara itu, pihak fakulti juga mengambil langkah melibatkan staf fakulti untuk menyumbang dalam projek mega seperti pembinaan high speed railway dan mass rapid transit agar pihak industri dapat mengenali mereka. Selain mendapat pengiktirafan selama enam tahun oleh Engineering Accreditation Council (EAC), fakulti ini terus mencari ruang dan peluang bagi memastikan fakulti ini diiktiraf dan dikenali di mata dunia dengan mendapatkan pengiktirafan daripada Accreditation Agency for Study Programmes in Engineering, Informatics, Natural Sciences and Mathematics (ASIIN).

 

IMGM
Prof. Madya Dr. Suhaimi ketika ditemu bual di pejabatnya berkaitan dengan pencapaian FKA dalam QS World University Rankings by Subject 2024

“Saya berharap agar pencapaian fakulti ini dapat dikekalkan dan ditambah baik dengan strategi-strategi yang telah dirancang pada tahun-tahun mendatang. Besar harapan saya juga agar kita dapat mengekalkan empat elemen ISES (Integrity, Synergy, Excellence, Sustainability) dan mempamerkan kepakaran ke peringkat antarabangsa. Apabila kita dikenali, lebih mudah untuk kita meningkatkan dan memperkukuh kedudukan kita setanding dengan universiti bertaraf dunia yang lain,” ujarnya.

Melalui keistimewaan dalam pembangunan kurikulum yang mendalam, tenaga pengajar berkualiti tinggi, dan reputasi ahli akademik yang cemerlang, FKA telah membuktikan komitmen mereka dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi.

Diharapkan kejayaan ini akan terus memberi dorongan kepada FKA untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam penarafan dunia serta terus meningkatkan standard pengajaran dan pembelajaran bagi manfaat generasi akan datang.

Explore More