JOHOR BAHRU, 30 April – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus bergerak aktif dalam melaksanakan program yang berteraskan kelestarian alam sekitar dan kesihatan planet, sesuai dengan bidang tujahannya iaitu Pembangunan Kelestarian. Seiring dengan Minggu Sains Negara yang bertemakan “Kesihatan Planet” di sepanjang April 2024, maka KRP telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan SMK Taman Universiti (SMKTUN) dalam mengajurkan sebuah program STEM yang bertajuk Bengkel Interaktif: Cabaran Penggunaan Semula Bahan Terbuang.
Program yang dilaksanakan selama dua hari ini telah disertai oleh seramai dua belas orang pelajar Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI). Peserta telah didedahkan dengan sesi taklimat berkaitan kepentingan menjaga alam sekitar dengan menggunakan pendekatan 3R (Reduce, Reuse, Recycle). Seterusnya, sebuah modul aktiviti hands-on khas untuk pelajar PPKI, berkaitan mengguna semula tayar terbuang sebagai pasu bunga hiasan, telah dibangunkan serta disampaikan kepada peserta. Para peserta dilihat sangat teruja dalam melaksanakan aktiviti ini.
Seramai sepuluh orang staf dan empat orang mahasiswa dari pelbagai jabatan iaitu Kolej Rahman Putra, Bahagian Keselamatan, serta Fakulti Komputeran telah turut sama berganding bahu menjayakan program ini. Program yang diketuai oleh Pengetua KRP, Profesor Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaluddin ini dijangka mampu mempertingkat tahap kesedaran peserta berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar, disamping memperkasa dan menerapkan budaya inovasi dan STEM, dalam aktiviti harian mereka.
Majlis penutup dirasmikan oleh YB Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan pada hari kedua program. Turut hadir sewaktu sesi penutup majlis adalah Pengetua SMKTUN En. Saiful Azizi bin Mohammad Yasin, penyelaras PPKI Cikgu Wong Shui Wah, Cikgu Nur Aina Nazihah binti Abd Jalal sebagai penyelaras program, serta beberapa guru PPKI yang lain.
Semua produk dan hasil program ditinggalkan di sekolah untuk dijadikan hiasan landskap sekolah. Peserta menerima sijil penyertaan dari MOSTI dan UTM. Disamping itu, peserta juga menerima buku modul kaedah pembuatan pasu bunga dari tayar terbuang yang telah diterbitkan oleh KRP.
Diharap agar aktiviti kelestarian dengan menerapkan pendekatan STEM, akan sentiasa berkembang dikalangan masyarakat demi menjamin pembangunan negara yang seimbang.