November 22, 2024

Search
Close this search box.

SEJATI menyantuni warga emas sempena Program Ihya Ramadan

JOHOR BAHRU, 30 Mac 2024 – Apabila datangnya bulan Ramadan, sudah menjadi tradisi bagi Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan program yang berbentuk kebajikan sama ada di rumah anak-anak yatim atau pusat jagaan warga emas. Bagi sesi ini, SEJATI telah melaksanakan Ihya’ Ramadan SEJATI di Pusat Jagaan Darul Iftah, Johor Bahru. Program ini telah berlangsung pada 30 Mac 2024 bersamaan 19 Ramadan 1445 Hijrah.

Program ini bermula apabila semua Ahli Jawatankuasa (AJK) program berkumpul di Perhentian Bas Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) sekitar jam 4:45 petang sebelum bas bertolak menuju ke destinasi pada jam 4:50 petang. Setelah melalui perjalanan yang mengambil masa selama 30 minit, bas yang membawa 13 orang AJK program termasuk Majlis Tertinggi (MT) SEJATI telah selamat tiba di destinasi yang telah ditetapkan. Ketibaan 13 orang AJK program ini telah disambut ceria oleh 15 orang penghuni dan 6 orang kakitangan Pusat Jagaan Darul Iftah.

Semasa Majlis Perasmian program berlangsung, Pengarah Program, Muhammad Nabil Naim bin Shahral Hisham berkata, dengan adanya program seperti ini, ianya dapat meningkatkan semangat kesukarelawan dalam kalangan Mahasiswa dan mahasiswi UTM untuk melaksanakan program-program yang berbentuk kebajikan. Ucapan Perasmian Ihya’ Ramadan SEJATI ini telah disampaikan oleh Encik Muhammad Faiz Azizi bin Md Said selaku Pengurus Besar Pusat Jagaan Darul Iftah. Semasa ucapannya, beliau menghargai kesudian pihak SEJATI UTM untuk melaksanakan program ini bagi menyantuni kesemua warga emas yang berada di Pusat Jagaan Darul Iftah ini.

Apabila Majlis Perasmian tamat, semua AJK telah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil bagi menyantuni dan beramah mesra bersama kesemua penghuni di situ. Semasa slot ini berlangsung, semua AJK mendengar kisah-kisah hidup yang telah dikongsikan oleh para penghuni. Para penghuni di sini juga telah menyampaikan beberapa nasihat dan petua kepada semua AJK untuk diamalkan. Cenderahati juga telah disampaikan kepada semua penghuni.

Suasana ketika AJK program menyantuni salah seorang penghuni di Pusat Jagaan Darul Iftah.

Apabila hampir tibanya waktu berbuka puasa, semua AJK bekerjasama untuk menyediakan segala juadah untuk berbuka puasa. Apabila azan Maghrib berkumandang pada jam 7:14 malam, semua AJK dan warga Pusat Jagaan Darul Iftah berbuka puasa dengan menikmati pelbagai juadah yang disediakan seperti Nasi Putih Ayam Masak Kicap, Bubur Lambuk, Kuih Muih, Buah Tembikai dan Air Teh. Semua warga Pusat Jagaan Darul Iftah amat gembira semasa menikmati juadah yang telah dihidangkan itu. Setelah berbuka puasa, solat Maghrib secara berjemaah telah didirikan. Setelah solat Maghrib selesai didirikan, semua AJK bersiap-siap untuk pulang ke UTM. Sebelum pulang, sesi bergambar telah diadakan untuk dijadikan kenangan kepada AJK program dan Pusat Jagaan Darul Iftah.

Gambar AJK Program Ihya’ Ramadan SEJATI bersama warga Pusat Jagaan Darul Iftah.

Dengan adanya program seperti ini, SEJATI berharap ianya dapat melahirkan pelajar yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi bagi melaksanakan program kebajikan. Selain itu, melalui program ini juga, ianya dapat memberikan pengajaran kepada semua AJK untuk menghargai kedua-dua orang tua kita selagi mereka hidup.

Explore More