Disember 22, 2024

Lawatan delegasi PPMU ke Bursa Technical University Central Research Laboratory (BTU-MERLAB)

PPMU Jelajah Turki: Langkah strategik menuju kecemerlangan global

ISTANBUL, TURKI, 27 April – Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) UTM telah mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dengan mengadakan lawatan penanda aras ke Turki dari 21 hingga 26 April 2024 di bawah Program Global Outreach (GOP), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Delegasi PPMU yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Sheikh Ahmad Zaki Shaikh Salim, Pengarah PPMU, disertai oleh 14 orang  staf pengurusan dan profesional dari PPMU. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada staf PPMU mempelajari proses kerja dan menimba pengalaman dalam persekitaran akademia di beberapa universiti terkemuka di Turki. Lawatan ini dianggap penting dalam membina hubungan kerjasama antara UTM dan universiti di Turki serta mempromosi UTM di negara trans-benua antara Eropah dan Asia itu. 

Antara universiti yang dilawati adalah Universiti Gelişim Istanbul (IGU) yang terletak di bandar Istanbul. IGU terkenal dengan bidang pengajian kejuruteraan, sains sosial, sains gunaan, seni halus, pergigian, dan sains kesihatan. Institusi ini telah berkembang dengan memiliki enam fakulti, dua Pusat Pengajian, dua Sekolah Vokasional, Institut Pengajian Siswazah, 144 makmal, dan 22 Pusat Penyelidikan. IGU menawarkan pendidikan tahap vokasional selama 2 tahun pengajian, dimana tenaga pengajar untuk program vokasional adalah terdiri daripada pelajar lepasan vokasional itu sendiri. Makmal-makmal dan pusat penyelidikan menjadi tumpuan utama lawatan PPMU bagi memberi pendedahan peserta serta peluang berinteraksi bersama staf teknikal di IGU. Kunjungan PPMU ini menjadi bukti hubungan erat antara kedua universiti yang sebelum ini telah menjalinkan perjanjian persefahaman dalam pelbagai bidang.

Lawatan delegasi PPMU ke Istanbul Gelişim University (IGU)

Lawatan diteruskan dengan perjalanan melintasi Laut Marmara ke Bursa Technical University Central Research Laboratory (BTU-MERLAB) di bandar Bursa. “Seperti pinang dibelah dua”, itulah peribahasa yang tepat untuk menunjukkan peranan dan fungsi serupa antara PPMU dan BTU-MERLAB. Antara makmal di bawah BTU-MERLAB yang juga terdapat di PPMU adalah Microscopy and Surface Analysis Laboratory, Thermal Analysis Laboratory, Chromatography Laboratory, Spectroscopy Laboratory, dan General Use and Sample Preparation Laboratory. Semasa di BTU-MERLAB, kedua-dua pihak bertukar pandangan tentang proses kerja, sistem pengurusan makmal, akreditasi, sumber manusia, dan perkara lain yang berkaitan. BTU-MERLAB terkenal sebagai pusat kajian eksperimen tentang pencirian, sifat, analisis, kualiti, dan prestasi bahan kimia, logam, polimer, tekstil, kayu, dan produk-produk industri lain di Bursa dan kawasan sekitarnya. Kunjungan ke BTU-MERLAB melakar satu lagi peristiwa penting dalam usaha PPMU meningkatkan lagi mutu perkhidmatan makmal.

Lawatan delegasi PPMU ke Istanbul Gelişim University (IGU)
Lawatan delegasi PPMU ke Istanbul Gelişim University (IGU)

Lawatan delegasi PPMU ke Bursa Technical University Central Research Laboratory (BTU-MERLAB)

Lawatan ke Turki ini turut memberi peluang kepada delegasi PPMU untuk melawat beberapa tempat bersejarah seperti Hagia Sophia, Masjid Biru, Istana Topkapi, Masjid Hijau dan tempat-tempat bersejarah lain. Program ini dianggap sebagai platform yang bermanfaat kepada peserta untuk meningkatkan prestasi kerja, kemahiran, dan pengetahuan, serta untuk menyumbang kepada kecemerlangan UTM di peringkat global.

Lawatan delegasi PPMU ke Bursa Technical University Central Research Laboratory (BTU-MERLAB)
Lawatan delegasi PPMU ke Bursa Technical University Central Research Laboratory (BTU-MERLAB)

 

Disediakan oleh : En. Abd Basid bin Abd Rahman dan En. Ahmad Muslehuddin bin Sarun

Explore More