April 28, 2024

Search
Close this search box.
Oilwang MTE ()

Oil2Wang™ bukanlah suatu nama asing bagi kebanyakan warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang cakna dengan pengitaran semula minyak masak terpakai. Hasil inovasi penyelidikan Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah dari Fakulti Sains ini yang berjaya menarik minat komuniti dalam memanfaatkan sisa penggunaan minyak masak dan juga pernah mendapat liputan media arus perdana.

Baru-baru ini Oil2Wang™ − Kiosk Pengutipan Minyak Masak Terpakai Cerdik IoT mendapat pengiktirafan berganda melalui Anugerah Khas daripada Japan Intellectual Property Association (JIPA) bagi kategori Inovasi Alam Sekitar Terbaik serta Anugerah Emas pada Malaysia Technology Expo 2024 (MTE) yang berlangsung pada Februari lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Oilwang MTE ()
Dr Faizuan ketika menerima Anugerah Khas daripada Japan Intellectual Property Association (JIPA) dan Anugerah Emas pada majlis berkenaan.

Kiosk Oil2Wang™ − Kiosk Pengutipan Minyak Masak Terpakai Cerdik IoT merupakan satu inovasi baharu yang dibangunkan dan dipatenkan di UTM untuk memudahkan pembuangan minyak masak terpakai (MMT) bagi tujuan kitar semula. Produk ini bermula daripada usaha penyelidikan dan pembangunan oleh satu pasukan penyelidik di UTM dengan kepakaran yang pelbagai dalam bidang kimia, robotik, dan seni bina.

Pembangunan teknologi ini juga telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Johor dan Malaysian Petroleum Resources Corporation (MPRC). Kiosk pertama telah dipasang dan beroperasi sepenuhnya di Surau Flora, Taman Pulai Flora, Skudai, Johor.

OILWANG IMAGES ()
Kiosk Oil2Wang™ yang bertempat di Surau Flora, Taman Pulai Flora, Skudai.

Menurut Dr. Faizuan, inisiatif ini ke arah menyokong usaha Kerajaan Malaysia yang telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang penting untuk mempercepatkan agenda pertumbuhan hijau dan mampan. NETR merupakan pencapaian penting bagi Malaysia, yang menyeluruh merangkumi arah tuju negara kita ke arah masa depan yang lebih cerah, bersih, dan berdaya tahan.

“NETR ialah pencapaian penting bagi Malaysia, yang secara komprehensif melakar trajektori negara kita ke arah masa depan yang lebih cerah, bersih dan lebih berdaya tahan. Selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI, ia adalah satu pengisytiharan komitmen negara kepada generasi akan datang dan bukti keazaman kami dalam menangani cabaran mendesak zaman kita,” ujarnya.

Idea untuk mencipta produk ini tercetus daripada penyelidikan awal Dr. Faizuan tentang pembangunan sensor untuk mengukur kandungan asid lemak bebas, iaitu satu petunjuk bagi kualiti minyak masak.

“Melalui perbincangan dengan rakan industri, keperluan untuk penyelesaian inovatif bagi memudahkan pengumpulan minyak masak terpakai dari masyarakat tanpa mekanisme pengutipan manual menjadi jelas. Dengan kerjasama penyelidik dari bidang kejuruteraan, senibina, dan industri, idea untuk produk Oil2Wang™ tercetus.

“Oil2Wang™ kini sedang melalui proses pengkomersialan. Paten untuk teknologi ini telah dilesenkan bagi tujuan pengkomersialan di bawah syarikat Pure Aims Technologies Sdn. Bhd, sebuah syarikat hiliran UTM yang dimiliki oleh Dr. Faizuan Abdullah sendiri. Produk ini juga terus dipertingkatkan berdasarkan pengalaman pengguna dan maklum balas daripada pakar-pakar yang berkaitan.

Gambar Dr Faizuan & OilWang ()
Dr Faizuan bersama produk inovasi hasil ciptaannya, kiosk Oil2Wang™.

Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, pensyarah kanan di Jabatan Kimia, mempunyai kepakaran khusus dalam bidang kimia analisis, terutamanya analisis alam sekitar dan elektrokimia. Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Saintifik bagi Kes Pembuangan Secara Haram Sisa Kimia Berjadual di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang Johor pada tahun 2019. Mempunyai minat mendalam dalam inovasi dan pengkomersialan, Dr. Faizuan juga menerima Anugerah Harta Intelek Negara dalam kategori Paten pada tahun 2017 untuk teknologi Molluscure®. Beliau turut aktif dalam pelbagai badan profesional di dalam dan luar negara.

Menurut Dr Faizuan, mencapai pencapaian ini bukanlah perkara mudah, memerlukan pembacaan yang meluas, penyelidikan yang teliti, dan penyiasatan yang rapi. Harapan Dr. Faizuan Abdullah untuk masa depan adalah untuk melihat sokongan yang lebih besar dan bantuan untuk produk inovatif yang dibangunkan oleh penyelidik muda untuk dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh kumpulan sasaran, dengan demikian menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Untuk rekod, pada Oktober 2023, menerima Anugerah Emas dan Anugerah Khas Komuniti semasa Pameran Seni & Teknologi Industri (INATEX) ke-25 dan telah didaftarkan dan disenaraikan dalam inisiatif MySTI oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).

Explore More