November 17, 2024

Search
Close this search box.
Ifter Perdana UTM

Tabung Dana Ramadan 2024 perlukan RM230,000.00 PIUTM seru warga UTM giatkan infak

JOHOR BAHRU, 19 Mac –  Sebanyak RM230,000.00 diperlukan untuk mengisi Tabung Dana Ramadan 2024 bagi membolehkan aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang bulan ramadan ini dapat dijayakan dengan sempurna.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM), Dr. Naemah Hamzah berkata selain kutipan dari staf, sumbangan juga diperolehi dari syarikat korporat dan juga individu-individu tertentu bagi membantu memenuhkan tabung ini.

Ifter Perdana UTM
Suasana di sekitar Program Berbuka Puasa (Iftar Perdana) yang dianjurkan oleh PIUTM. 

”Hingga ke hari ini, sebanyak RM31,551.00 telah diperoleh dan kita harap agar lebih banyak sumbangan dapat dikumpul bagi memastikan program yang telah PIUTM rancang sepanjang bulan ramadan berjalan dengan lancar.

”Dana Ramadan 2024 ini diwujudkan bagi membiayai program sepanjang Ramadan 1415H/2024H.  Sumbangan semua pihak amatlah dialu-alukan bagi menjayakan pelbagai Program Semarak Ramadan anjuran PIUTM pada tahun ini,” katanya.

Ifter Perdana UTM
Program Berbuka Puasa (Iftar Perdana) yang dianjurkan oleh PIUTM.  Program ini menyediakan hidangan bagi 300-1000 orang selama 29 hari.

Antara Program Semarak Ramadan yang telah diaturkan adalah Program Berbuka Puasa (Iftar Perdana) selama 29 hari, Program Sahur selama 14 hari, Program Solat Tarawikh selama 29 malam, Program Qiyamullail 14 malam dan Tadarus Al-Quran setiap hari sepanjang ramadan.

Dr. Naemah dalam kenyataannya sekali lagi menyeru semua warga UTM untuk mempergiatkan infak bagi memenuhkan Tabung Dana Ramadan 2024.

Ifter Perdana UTM
Pihak katering bertungkus lumus menyediakan hidangan berbuka puasa bagi Program Iftar Perdana 2024 di Masjid Sultan Ismail UTM Johor Bahru.

”Umat Islam diseru untuk berinfak sempena ramadan, semantara kita masih dikurniakan kesempatan dari segi usia dan juga kelebihan rezeki pada hari ini saya menyeru semua warga UTM untuk giatkan aktiviti berinfak.

”Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati,” katanya lagi.

Ifter Perdana UTM
Hidangan yang disedikan untuk Iftar Perdana UTM 2024. Kaedah yang digunakan adalah makan diatas dulang (satu dulang empat orang). Makanan diletakkan tidak dalam kuantiti yang terlampau banyak bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya lagi ramadan itu pasti datang lagi pada tahun hadapan cuma tidak pasti adakah seseorang itu masih ada pada ramadan yang akan datang.

”Ramadan itu pasti akan menjelma pada setiap tahun cuma bezanya kita sebagai manusia ini tidak pasti sama ada kita masih berkesempatan untuk bertemu dengan ramadan pada tahun berikutnya atau tidak.  Oleh yang demikian, rebutlah segala ruang dan peluang yang ada untuk menyumbang sekaligus menikmati ganjaran pahala dan keberkatan pada bulan mulia ini,” katanya lagi.

Ifter Perdana UTM
Juadah untuk bersahur juga disediakan selama 14 hari.

Pelancaran tabung ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail pada 20 Februari 2024 yang lalu di Masjid Sultan Ismail, kampus Johor Bahru.

Program Iftar Perdana 2024 ini adalah selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) No. 2 iaitu Sifar Kelaparan, No. 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik) serta SDG No. 12 ( Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) diatas inisiatif mengurangkan dan meminimumkan pembaziran makanan.

Ifter Perdana UTM
Sukarelawan yang bertanggungjawab membantu penyediaan Iftar Perdana UTM 2024.
Ifter Perdana UTM
Dr. Naemah Hamzah (duduk paling kanan) dan juga pegawai dan staf PIUTM yang menjadi tulang belakang dalam menjayakan Program Dana Ramadan 2024.
Dana Ramadan
Dana Ramadan

Explore More