Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

UTMCS menyambut baik hasrat Yayasan JCorp wujudkan hab kitar semula di B5 Johor Street Market

JOHOR BAHRU, 18 Feb. – Yayasan JCorp buat julung-julung kalinya mewujudkan hab kitar semula di B5 Johor Street Market, Johor Bahru bermula November 2023. Sebagai permulaan, hab ini dibahagikan kepada 4 kategori iaitu plastik, kertas, e-waste dan lain-lain. Yayasan JCorp wujudkan hab kitar semula di B5 Johor Street Market

Inisiatif yang diwujudkan hasil kerjasama bersama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman.

WhatsApp Image at
Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman ketika memberikan ucapan perasmian Hub Kitar Semula di BS Johor Street Market, Tampoi, Johor Bqhru.

Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani berkata organisasi itu sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menjayakan pelbagai aktiviti berkaitan ESG (Environmental, Social & Governance) yang akan memberi manfaat semula kepada masyarakat.

“Hab Kitar Semula @B5 ini adalah satu kaedah yang baik untuk mewujudkan aktiviti kitar semula sisa pepejal yang lebih terancang, bersistematik serta mampu dimanfaatkan oleh komuniti setempat. Pemilihan B5 Johor Street Market sebagai lokasi pusat kitar semula adalah sangat strategik dan kondusif kerana mudah diakses oleh orang ramai terutama penduduk sekitar. Setakat ini sambutan yang diterima terutamanya oleh komuniti setempat sangat menggalakkan,” katanya lagi.

WhatsApp Image at
Hub Kitar Semula di B5 Johor Street Market adalah inisiatif yang diusahakan secara kolaborasi diantara Yayasan JCorp, MBJB dan SWM Environment Sdn. Bhd.  Hub ini beroperasi secara pandu lalu bagi memudahkan penduduk Johor Bahru membuang sisa plastik, kertas, sisa elektronik dan juga lain-lain bahan buangan ke dalam hub kitar semula ini.

Sementara itu Datuk Bandar Johor Bahru di dalam kenyataannya berkata MBJB selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) amat komited dalam usahanya memperkasa bandar raya hijau, mapan dan rendah karbon.

”Kerjasama dengan rakan strategik seperti Yayasan JCorp dan SWM Environment dalam mewujudkan hab kitar semula di Bandar Raya Johor Bahru ini adalah usaha yang sangat baik dan diharapkan mampu memberi kesedaran terutama kepada masyarakat setempat betapa pentingnya menjaga kebersihan bandar”.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan dan korporat serta orang ramai supaya berterusan menyokong program sebegini dalam menjadikan Bandar Raya Johor Bahru sebagai lokasi yang paling bersih, ceria dan indah,” katanya lagi.

WhatsApp Image at
Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman melawat booth UTM bagi menyaksikan demonstrasi membuat sabun dengan menggunakan minyak masak terpakai.

Pada majlis pelancaran tersebut juga diadakan pelbagai aktiviti seperti pengumpulan barangan kitar semula secara pandu lalu, jualan ’car boot sale’, gerai pameran dan jualan secara pukal (bundle).

UTM juga tidak ingin melepaskan peluang untuk menyertai program ini dengan mengadakan sesi demonstrasi pembuatan sabun menggunakan minyak masak terpakai yang dilakukan oleh staf Pejabat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCS). SWM Environment juga mengadakan sesi taklimat KITARecycle.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, jalinan kerjasama dengan Yayasan JCorp dan MBJB menerusi Hab Kitar Semula @ B5 tersebut menterjemah komitmen SWM Environment menerusi program kitar semula digital berganjaran, KITARecycle dalam menjayakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dilaksanakan oleh rakan-rakan industri.

WhatsApp Image at
Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman (dua kiri) memasukkan beg sampah ke dalam Hub Kitar Semula B5 sebagai simbol pelancaran hab itu. Beliau dibantu oleh Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin (dua kanan).

”KITARecycle yang kini memiliki seramai 22,500 orang pengguna berdaftar di negeri Johor bukan sekadar menawarkan mata ganjaran sebagai galakan amalan kitar semula kepada pengguna malah sedia menjadi platform inisiatif ESG dalam melestarikan pengurusan sisa pepejal dan alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau lagi, Hab Kitar Semula @ B5 yang beroperasi secara pandu lalu menggunakan KITARecycle tersebut sedia menerima sehingga 25 jenis barangan kitar semula termasuk botol kaca, perkakas elektrik dan peranti elektronik.

WhatsApp Image at ()
Kaunter terimaan minyak masak terpakai. Pengunjung boleh memandu lalu dan menurunkan minyak masak terpakai yang telah dikumpul dan akan dibeli dengan kadar RM3.00 sekilo. Pembayaran dilakukan dalam bentuk tunai.

Inisiatif tersebut dijangka memenuhi keperluan aktiviti kitar semula dalam kalangan pengguna KITARecycle dari sekitar kawasan Bandar Raya Johor Bahru dan Iskandar Puteri yang sekali gus meningkatkan penglibatan masyarakat setempat bagi mencapai 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan menjelang tahun 2025.

Inisiatif ini adalah selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) dan diletakkan di bawah SDG No. 11 (Bandaraya dan Komuniti Lestari) dan juga SDG No. 12 ( Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawap)

WhatsApp Image at ()
Pelanggan menurunkan bahan fabrik dan botol plastik terpakai di kaunter yang berkaitan.

Explore More