Disember 22, 2024

UTM jalin kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya melalui pertukaran MoA

MELAKA, 5 Feb.– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah memeterai persetujuan melalui Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan pada hari ini di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE). MoA ini telah melakar langkah penting dalam meningkatkan kerjasama strategik di antara kedua entiti tersebut.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi pihak UTM, serta YBrs. Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman, Pengarah Kanan bagi pihak Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE). MoA ini merupakan hasil dari kerjasama yang progresif antara Pusat Sistem Tenaga Elektrik, CEES UTM dan Makmal Penyelidikan Elektrik, CREaTE untuk memaju penyelidikan dalam bidang kejuruteraan elektrik, terutamanya dalam pengurusan tenaga, penggunaan tenaga boleh baharu, dan kualiti kuasa.

YBrs. Prof. Dr. Rosli menandatangani buku pelawat Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE).

Dalam ucapannya, YBrs. Prof. Dr. Rosli Md. Illias menyampaikan penghargaan terhadap hubungan kerjasama strategik ini, yang telah terjalin sejak tahun 2022 dengan menandatandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dan JKR pada 13 Januari 2022 di UTM Johor Bahru. Beliau juga menyatakan bahawa kerjasama ini selaras dengan visi  “UTM Envision dan Research & Innovation Blueprint 2025” yang bertujuan memperkuat kolaborasi antara penyelidik di UTM dengan agensi terkait dalam memajukan bidang-bidang yang menjadi fokus UTM. Kesinambungan dari itu, pada hari ini juga berlangsung penyerahan dokumen dua (2) MoA antara UTM dan JKR.

TNCPI Speech
Ybrs. Prof. Dr. Rosli menyampaikan ucapan beliau ketika berada di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE)

Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman pula berharap melalui pengalaman dan kemahiran kedua-dua pihak dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, CREaTE dan UTM dapat memanfaatkan hasil projek penyelidikan kolaboratif ini untuk menghasilkan output dan outcome yang berimpak tinggi dalam bidang teknologi, seiring dengan hala tuju negara berdasarkan kepada Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) Negara. Harapan UTM adalah kolaborasi ini akan memperkuat penelitian dalam upaya menjaga keselamatan dan kelestarian tenaga yang lebih berkelanjutan di Malaysia.

CREaTE Gift
Ir. Mohd Shahrom menyampaikan cenderahati daripada CREaTE

Kerjasama ini melibatkan gabungan pakar dari UTM dan JKR, yang merupakan kolaborasi yang saling melengkapi dan dapat memberikan manfaat besar kepada kedua belah pihak. Kolaborasi dalam bentuk pertukaran kepakaran dan pengalaman yang lebih luas dalam bidang kejuruteraan elektrik, pengurusan tenaga, dan penggunaan tenaga boleh baharu ini akan membantu dalam menghasilkan penelitian yang lebih inovatif dan solusi yang lebih efektif dalam cabaran permasalahan dalam industri tenaga Malaysia.

Kedua-dua projek ini dipimpin oleh Ir. Dr. Sherliza Zaini Sooria selaku Pengarah Projek dan wakil beliau iaitu Ir. Mohd Zaini Abu Hassan. Projek pertama, yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Dalila Mat Said dari CEES UTM, berfokus pada penyelidikan integrasi sistem solar fotovoltan di Bangunan Parlimen Malaysia. Manakala, projek kedua yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Norzanah Rosmin, juga dari CEES UTM, berkaitan dengan penilaian tekno-ekonomi sistem lampu jalan LED fotovoltan luar grid.

Lab Visit
Sesi lawatan pihak UTM ke makmal-makmal penyelidikan CREaTE

Hasil daripada kedua-dua projek kolaboratif ini akan menjadi rujukan bagi penelitian selanjutnya dalam upaya menerima pakai sumber tenaga baru dan mengurangi ketergantungan pada tenaga fosil. Dengan demikian, diharapkan kerjasama antara UTM dan JKR akan membawa kemajuan besar dalam industri tenaga Malaysia dan memberikan manfaat yang signifikan bagi masyarakat Malaysia secara keseluruhan. Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah Prof Madya. Ir. Dr. Md Pauzi Abdullah, Pengarah Institut Tenaga Kehadapan, pegawai-pegawai kanan CREaTE dan juga CEES UTM.

Explore More