Mei 4, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at ()

Projek Kebun Komuniti Jentayu bukti UTM komited menyumbang kepakaran kepada komuniti setempat

JOHOR BAHRU,  1 Feb –  Projek Kebun Komuniti Jentayu dengan kerjasama komuniti pangsapuri Jentayu, Flat Kangkar Pulai telah berjalan sejak setahun lalu bertujuan untuk membantu komuniti setempat mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar sedia ada, sekaligus menuai hasil tanaman kontan yang lebih selamat untuk dimakan tanpa menggunakan bahan kimia sebagai baja. Penggunaan baja kompos yang lebih lestari dan keupayaannya membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar telah mendorong sekumpulan tenaga pengajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang cakna akan kesan penggunaan baja kimia kepada tumbuhan untuk menjayakan projek komuniti ini.

WhatsApp Image at
Baja Kompos yang telah selesai diperam selama dua minggu dikeluarkan dari tong khas bagi digunakan pada Projek Kebun Komuniti Jentayu.

Ketua Projek Kebun Komuniti Jentayu, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim berkata  projek kebun komuniti ini memberikan fokus kepada penghasilan baja organik dari sisa makanan yang ada di kawasan perumahan itu.

“Tapak bagi projek kebun komuniti ini terletak bersebelahan dengan Blok Jentayu, Flat Kangkar Pulai dan sisa makanan boleh didapati dengan mudahnya dari perumahan penduduk yang tinggal di situ. Kita juga boleh mengoptimumkan penggunaan sisa makanan untuk baja ini kerana bahan ini jika dibuang beserta dengan sampah akan mengakibatkan bau yang amat busuk serta mengganggu penduduk sekitar,” katanya.

WhatsApp Image at
Sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar antarabangsa turut bersama dalam menjayakan projek ini

Menurutnya lagi projek yang diasaskan dari geran penyelidikan UTM Social Nexus yang bernilai RM30,000.00 ini bertujuan untuk ’memindahkan kepakaran’ membuat baja organik kepada penduduk tempatan. Pemindahan kepakaran ini membolehkan komuniti Blok Jentayu menanam tanaman kontan seperti sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri sekaligus menjimatkan perbelanjaan masing-masing di samping mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan merapatkan ukhwah antara penghuni blok.

Selain itu, projek ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada komuniti setempat tentang bahaya penggunaan baja kimia pada tanaman bukan sahaja terhadap alam sekitar, tetapi juga terhadap kesihatan manusia. Sepanjang program ini berlangsung, sesi pertukaran maklumat antara tenaga pengajar dan komuniti Blok Jentayu membantu komuniti di sini lebih memahami tujuan projek ini dan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk turut serta menjayakan projek ini.

WhatsApp Image at
Bergotong royong dengan penduduk Blok Jentayu, Flat Kangkar Pulai bagi membina batas.

Memberikan huraian mengenai baja yang dihasilkan, Dr Norahim berkata baja yang dihasilkan adalah baja organik yang diperoleh dari sisa makanan harian yang dibuang oleh komuniti Blok Jentayu itu.

”Sisa makanan yang diperoleh ini akan diperam di dalam tong khas selama dua minggu sebelum digunakan pada tanaman. Kaedah peraman ini dikenali sebagai ’Bokashi’. Baja organik yang dihasilkan akan ditanam di dalam batas yang dibuat dan benih sayuran yang ingin ditanam ditabur di bahagian atas batas tersebut.  Selain dari baja kompos, kami juga membantu komuniti di sini dari segi pembuatan bahan pencegah serangan serangga yang berasaskan bahan organik seperti perapan daun bawang” katanya lagi.

Bahan pencegah serangga ini bukan seperti racun serangga yang berada di pasaran yang mampu mencemarkan sebaliknya dihasilkan dari herba-herba dan juga mikroorganisma yang berkesan dalam melawan serangga.

WhatsApp Image at
Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ts. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din (bertopi hitam) memerhatikan penduduk Blok Jentayu memunggah tanah yang telah siap dicampurkan dengan baja kompos.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim ini turut juga dianggotai oleh Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ts. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din, Dr. Norfarhain Rosli dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan juga Timbalan Pengarah (Media Kreatif dan Penjenamaan) Pejabat Strategik dan Hal Ehwal Korporat, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin.

WhatsApp Image at ()
Ketua Projek Kebun Komuniti Jentayu, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim (tiga dari kiri) menerima Anugerah Zamrud (Emerald Awards).

Projek ini telah memenangi Anugerah Zamrud (Emerald Awards) dalam pertandingan MIP MyPlace Awards 2023 kategori Pertanian Bandar (Majlis Bandaran) anjuran Malaysian Institute of Planners (MIP) dan juga Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia) yang berlangsung di Le Meridien Hotel Petaling Jaya Paradigm, Kelana Jaya pada 1 Disember 2023 yang lepas.

Projek ini selari dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) dan diketegorikan di bawah SDG No.11 (Komuniti dan Perbandaran Lestari). Melalui projek ini, UTM bukan sahaja komited menerapkan nilai cinta akan alam sekitar dengan menyokong SDG yang ada dalam kalangan warga utm sahaja tetapi juga berkongsi kepada masyarakat sekitar agar Malaysia membangun dengan lebih maju, selari dengan sasaran yang telah ditetapkan. Jurang antara komuniti sekitar dan warga UTM semakin erat dengan adanya projek-projek yang melibatkan komuniti luar UTM seperti ini.

Explore More