Disember 2, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at ()

Program 3C CAMP 2023, SHARPS, FSSH Bugarkan Minda Pelajar

JOHOR BAHRU, 5 Dis. – Bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini telah berlangsung sebuah program anjuran kursus Pemikiran Kristis dan Kreatif. Program yang diberi nama Critical & Creative Thinking Camp (3C CAMP) 2023 ini dianjurkan oleh pensyarah-pensyarah subjek kursus ini dengan diketuai oleh Dr. Azra Ayue Abdul Rahman dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Ia turut melibatkan gabungan tenaga pensyarah-pensyarah seperti Dr. Wan Mohd Azam Wan Mohd Yunus, Puan Siti Hajar Jamian dan Prof. Madya Dr. Halimah Mohd. Yusof.

Program 3C Camp Pic 1
Pensyarah-pensyarah SHARPS, FSSH, UTM bersama dengan Tuan Mohd. Senin bin Kassim, Guru Besar dan barisan pentadbir SK Taman Bukit Dahlia (SKTBD).

Program ini berlangsung bersiri. Di mana siri pertama dijalankan pada 20 November 2023 dalam bentuk ceramah interaktif antara pensyarah UTM dengan guru-guru dan murid-murid. Untuk fasa pertama ini, dua orang pensyarah kanan UTM iaitu Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abd Hamid dan Dr. Salwa Abd Patah turun padang untuk berkongsi pelbagai ilmu dan pengalaman. Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abd Hamid menjadikan program ini sebagai wahana untuk menjadi medan wacana dengan guru-guru dalam membincangkan isu-isu berkaitan pemikiran kritis dan kreatif bagi mendepani cabaran pendidikan alaf baru yang mencabar. Inisiatif ini menjadi medium proaktif untuk membugar minda murid-murid berkaitan pemikiran kritis dan kreatif menerusi ceramah dan aktiviti-aktiviti oleh Dr. Salwa Abdul Patah.

3C Camp Pic 2
Wacana perkongsian ilmu pemikiran kritis dan kreatif oleh Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid bersama-sama dengan pentadbir sekolah dan guru-guru SKTBD.

 

3C Camp Pic 3
Dr. Salwa Abdul Patah dalam sesi ceramah dan aktiviti-aktiviti menarik bersama-sama dengan murid-murid SKTBD.

Siri yang kedua pada 4 Disember 2023 pula menyaksikan lebih banyak usaha diatur termasuklah pameran-pameran interaktif yang melibatkan demonstrasi dan permainan. Pelbagai kaedah divariasikan seperti pendedahan kepada proses-proses menjana idea kreatif dan pembuatan prototaip. Pameran interaktif ini turut menerapkan rasa sayang pada alam sekitar. Ini jelas ditunjukkan melalui pelbagai idea dan prototaip hasil pemikiran kritis dan kreatif mahasiswa dan mahasiswi UTM serta murid-murid sekolah yang bertujuan untuk menunjukkan usaha ke arah kelestarian alam.

Program 3C Camp Pic 3
Murid-murid SKTBD cuba mengaplikasikan ilmu yang diperolehi

Semoga usaha-usaha kerdil ini terus menjadi agen perubahan kepada pihak-pihak yang terlibat. Bak kata pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Semoga murid-murid SKTBD terus berkembang menjadi generasi seperti yang digagaskan sekolah menerusi slogan R.I.C.H (Responsive. Innovative. Creative. Harmonious). Begitu juga dengan peribahasa Melayu “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.” Diharapkan melalui program seumpama ini, bukan sahaja dapat mengasah pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UTM, tetapi turut menjadikan mereka cakna dan prihatin kepada masyarakat serta persekitaran.

Program 3C Camp Pic 4
Mahasiswa serta mahasiswi UTM berfikiran kreatif, cakna dan prihatin kepada masyarakat.

Explore More