Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
MANC

Warga UTM diseru tangkas dan berdaya tahan depani cabaran dunia semasa

JOHOR BAHRU, 23 Jan. – Warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuka tirai tahun 2024 dengan seruan untuk lebih tangkas, lincah dan berdaya tahan mendepani cabaran ketidaktentuan dunia semasa bagi menjamin kelestarian kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan, serta kemampanan kewangan.

Hasrat tersebut diutarakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail kepada kira-kira 3,000 warga UTM yang hadir bersama dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2024 (MANC 2024) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Bertemakan “Menginovasi Teknologi, Membudaya Integriti”, Amanat Naib Canselor turut menggariskan lima (5) fokus dalam Pelan Tindakan 2024: enVision Moonshot Transformative Journey 2.0 demi mengekalkan kepercayaan awam dan kredibiliti UTM sebagai sebuah Universiti berteraskan teknologi watan, yang selari dengan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2024, Gagasan Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

MANC
Pelan Tindakan 2024: enVision Moonshot Transformative Journey 2.0 garis lima fokus utama tingkatkan kredibiliti UTM sebagai sebuah Universiti berteraskan teknologi watan.

Fokus pertama akan memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif dalam melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan. Untuk itu, enam (6) atribut baharu graduan UTM akan diperkenalkan iaitu Adab, Innovative Talent, Constructive Citizen, Enterprising Skills, Social Intelligence dan Scholars,” ulas Datuk Ahmad Fauzi.

MANC
Pelajar dan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan antara fokus utama Pelan Tindakan 2024: enVision Moonshot Transformative Journey 2.0.

“Selain itu, kurikulum berorientasikan masa hadapan akan diperkemaskan menerusi penerokaan bidang ilmu baharu seperti Sustainability, Fintech, dan Clean Energy di samping pendekatan Research-led Teaching bagi memperkukuh pengetahuan pelajar tentang teknologi, metodologi, dan teori baharu.

“UTM turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu investable startup venture baharu oleh graduan UTM dalam tempoh satu (1) tahun selepas tamat pengajian serta kerjasama sinergistik inisiatif Alumni Filantropi menerusi platform perniagaan dan konsortium jaringan alumni.

MANC
Kesinambungan kecemerlangan UTM memerlukan sinergi dan kesepaduan warganya yang terdiri daripada ahli akademik, staf profesional dan pelaksana, pelajar dan alumni.

“Sementara itu, fokus kedua pula menyasarkan peningkatan pengkomersilan harta intelek watan dalam keperluan meneroka atau berdaya cipta. Bagi tujuan tersebut, beberapa hasil penyelidikan berciri hi-tech dan deep-tech akan diangkat ke peringkat pra-pengkomersilan menerusi jalinan kerjasama merentas industri dan agensi.

“Menerusi fokus ketiga pula, iaitu Kelestarian, pelan induk kampus akan direka bentuk dan dibangunkan berdasarkan konsep Kampus Tropika Lestari demi mencapai sasaran Kampus Sifar Karbon. Inisiatif ini akan disokong menerusi empat (4) projek utama, iaitu pembangunan sistem air bawah tanah akuifer, inisiatif tenaga solar, Single Stream Recycling (SSR), dan Campus Resilience Ecosystem.

“Turut menjadi perhatian kita adalah pembangunan kolej kediaman, fasiliti sukan dan fakulti yang akan mengguna pakai konsep Reka bentuk Sejagat bukan sahaja bagi manfaat warga Universiti malah satu cara menyantuni keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Pemerkasaan agenda Transformasi Digital turut ditekankan melalui fokus keempat, terutama menerusi usaha peningkatan kecerdasan fungsi aplikasi UTMSmart. Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem bersepadu ini pula akan memberi kelebihan kepada Universiti untuk menganalisis dan menjangka keperluan pelanggan dalam penyediaan perkhidmatan.

“Menyedari bahawa kita perlu membina kekuatan daripada aspek pengukuhan penjenamaan global, menerusi fokus kelima, UTM akan melaksanakan misi pengantarabangsaan strategik “Vice-Chancellor Asia Tour 3.0” di samping terus mengukuhkan penarafan global QS World University Ranking, THE World University Ranking dan THE Impact Ranking.

“Penekanan turut diberikan dalam meningkatkan jaringan kerjasama global menerusi program dan konsortium antarabangsa berimpak tinggi seperti The World Technology Universities Congresses (WTUC), Asia Technological University Network (ATU-Net) dan Malaysia Japan Linkages Office di MJIIT.

“UTM juga berusaha memastikan beberapa program akademik untuk diiktiraf badan-badan penarafan antarabangsa seperti ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA), European Association for Quality Assurance in Higher Education (ENQA), dan Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB).

MANC
Aspek nilai, integriti, profesionalisme dan adab terus ditekankan oleh Datuk Naib Canselor selari dengan falsafah Universiti, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”.

“Universiti akan terus meletakkan nilai integriti sebagai teras utama bagi mewujudkan ekosistem tadbir urus yang baik dengan memastikan proses kerja pantas diurus, lancar-maju, dan memudahkan. Nilai inilah antara inti pati utama Adab yang akan terus kita junjung dalam membentuk kecemerlangan berpaksikan kewibawaan insan,” jelas Datuk Ahmad Fauzi di penghujung amanat.

MANC 2024 turut berlintas langsung dari Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, UTM Kuala Lumpur dan UTM Pagoh. Hadir bersama dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias; Pendaftar UTM, Puan Hajah Nor Azizah Ismail serta pegawai-pegawai Universiti yang lain.

Explore More