April 27, 2024

Search
Close this search box.

PrinTEX lancar perkhidmatan Printing ‘On-Demand’ dengan Cloud Computing

JOHOR BAHRU, 28 Dis. – Syarikat teknologi pemula, Uninet Technology, yang dimiliki oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan PrinTEX Student Lounge N28 yang kini beroperasi secara rasminya di Student Lounge, Fakulti Komputeran, UTM Johor Bahru.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir itu bertujuan bagi memperkenalkan produk inovasi syarikat pelajar, PrinTEX-An Easier Way To Print! kepada seluruh warga UTM.

Fikri Akmal Aizuddin Bin Bahrim, Pengasas dan Ketua Bahagian Operasi Uninet Technology.

PrinTEX merupakan sebuah produk inovasi berasaskan Internet of Things (IoT) yang disambungkan bersama aplikasi mudah alih PrinTEX bagi perkhidmatan percetakan dokumen secara automatik dan ‘on-demand’.

Produk inovasi ini telah dibangunkan oleh sekumpulan anak muda yang terdiri daripada pelajar Fakulti Komputeran (FC) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE ) di bawah syarikat pemula bernama Uninet Technology. Produk inovasi ini telah membuka ruang kepada warga UTM bagi memperoleh perkhidmatan percetakan secara 24 jam dan ‘on-the-go’. Aplikasi mudah alih PrinTEX juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi yang menarik seperti pengguna dapat mengetahui lokasi PrinTEX berhampiran, muat naik dokumen dan pembayaran secara online menerusi aplikasi PrinTEX.

Uninet Technology dianggotai oleh Low Lie Xin, yang merupakan pengasas utama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ini, Fikri Akmal Aizuddin Bahrim, selaku Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Uninet Technology, Iqmal Aizat Mohd Zamri, dan juga Haziq Farhan Marajuddin.

Menurut Fikri Akmal, PrinTEX pada peringkat awalnya adalah merupakan sebuah marketplace yang menyediakan platfom kepada pengusaha perkhidmatan percetakan bagi mengiklankan perkhidmatan mereka. Akibat daripada kekangan masalah dan maklum balas daripada pengguna, PrinTEX telah beralih kepada perkhidmatan printing on-demand yang dijanakan oleh teknologi Cloud Computing.

“Idea dan konsep inovasi ini telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan oleh pengguna dan pada hari ini lebih 100 orang telah memuat naik aplikasi mudah alih PrinTEX,” ujar pelajar tahun 3 Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) ini lagi.

Barisan pengurusan Uninet Technology bersama Pengasas & CEO RunCloud, Arif Tukiman

Pengarah UTM XCITE, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid berkata PrinTEX bakal menerima suntikan dana berjumlah RM20,000 daripada Malaysian Technology Development Cooperation (MTDC) bagi mengembangkan produk inovasi ini ke seluruh UTM pada tahun 2024.

“Saya memuji semangat dan keberanian PrinTEX dalam menengahkan produk inovasi mereka. Bukan suatu perkara yang mudah dalam membangunkan sebuah ‘tech startup‘ dengan pelbagai cabaran yang mereka perlu hadapi. Kami (UTM XCITE) akan sentiasa membantu dan menyediakan laluan untuk mereka (PrinTEX) maju kehadapan,” tambahnya lagi.

Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, Dekan Fakulti Komputeran menekankan bahawa Fakulti Komputeran akan sentiasa menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada pelajar-pelajar untuk bergiat aktif dalam berinovasi dan berfikiran kritis bagi menghasilkan produk inovasi yang memberi nilai tambah kepada komuniti. Beliau mendoakan bahawa PrinTEX dapat mengorak langkah lebih jauh dan bakal menjadi ‘the next RunCloud’ yang mengharumkan nama UTM.

Turut hadir Prof. Madya Dr. Radziah Mohamad (Pemangku Timbalan Dekan Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Ts. Dr. Farhan Mohamad (Pengarah Jabatan Komputeran Emergen), Arif Tukiman (Pengasas & CEO RunCloud) dan Dr. Mohd Adib Sarijani (Pesyarah Kanan FKE & Pengasas Innates PLT).

Explore More