Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 3 Dis. – Pusat Pengurusan Makmal Universiti Teknologi Malaysia (PPMU) telah menganjurkan Kursus Penulisan dalam usaha untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan dalam kalangan stafnya terutama dalam aspek penulisan artikel.

Kursus tersebut telah dihadiri oleh staf PPMU pelbagai skim, terdiri daripada Pegawai Penyelidik, Pegawai Sains, Jurutera, dan Pegawai Tadbir.

Kursus telah dikendalikan oleh Ketua Seksyen Penerbitan Korporat, Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat UTM, Encik Mohd Fadthul Ikmal Misnal, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama PPMU.

Antara modul yang dipelajari peserta adalah Penjenamaan dan Keterlihatan, Gaya Penulisan Teknikal & Gaya Penulisan dengan Laras Bahasa Awam, Penggunaan Aplikasi Kecerdasan Buatan dalam Penulisan dan Tatatacara Penggunaan Portal UTM Newshub.

Encik Mohd Fadthul Ikmal sedang berinteraksi dengan peserta kursus.

“Kursus ini memberikan satu perspektif dan dimensi baharu dalam penyampaian maklumat saintifik kepada masyarakat. Kami dapat memanfaatkan kemahiran penulisan yang diperoleh untuk menghasilkan laporan dan artikel yang lebih mudah difahami,” demikian menurut Pegawai Sains, Diyana Sakinah Mohamed Soder.

“Kursus ini telah memberikan pendedahan mendalam mengenai struktur penulisan ilmiah dan teknik menyusun idea penyelidikan dengan lebih sistematik. Ini tidak hanya membantu kami dalam penyediaan kertas penyelidikan tetapi juga memupuk kebolehan untuk berkongsi pengetahuan secara berkesan,” ulas Pegawai Penyelidik, Encik Hilmi Abdul Rahman.

Penyampaian cenderamata kepada Encik Mohd Fadthul Ikmal.

Penganjuran kursus ini secara tidak langsung menjadi satu nilai tambah dan langkah strategik oleh PPMU dalam peningkatan kualiti komunikasi dan penyampaian di peringkat organisasi, seterusnya memperkasa reputasi penyelidikan UTM di peringkat global.

Explore More