📝 Ringkasan
UTM telah memperkenalkan Perarakan Alumni Sohor sempena Majlis Konvokesyen Ke-70 sebagai penghormatan kepada alumni yang telah mencipta kejayaan dan memberikan sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing. Perarakan khas melibatkan lapan alumni terkemuka yang telah menyerlah dalam pelbagai bidang, termasuk kepimpinan sektor awam, kejuruteraan, teknologi, pengangkutan dan keusahawanan.
JOHOR BAHRU, 14 Nov – Buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran istiadat konvokesyen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan Perarakan Alumni Sohor UTM sempena Majlis Konvokesyen Ke-70 sebagai penghormatan istimewa kepada alumni yang telah mencipta kejayaan dan memberikan sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing.
Perarakan khas yang melibatkan lapan alumni terkemuka itu diadakan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan alumni UTM yang telah menyerlah dalam pelbagai bidang, termasuk kepimpinan sektor awam, kejuruteraan, teknologi, pengangkutan dan keusahawanan.
Penganjuran sulung ini turut menjadi simbol penghargaan universiti terhadap alumninya yang terus mengharumkan nama UTM melalui kecemerlangan profesional serta sumbangan kepada pembangunan industri, masyarakat dan negara.
Antara alumni yang diraikan ialah YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya, yang merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam tahun 1991.
Turut menerima pengiktirafan ialah YBrs. Puan Siti Asiah Ahmad, Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Ekonomi, graduan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) tahun 1998, serta YBrs. Puan Shariffah Rashidah binti Syed Othman, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Digital, yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains (Komputer) pada tahun 2003.
Dalam sektor pengangkutan dan industri teknologi, UTM turut meraikan YBhg. Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., graduan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) tahun 1999, dan YBhg. Dato’ Fong Swee Kiang (SK Fong), Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip Berhad, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik tahun 1987.
Sementara itu, sektor keusahawanan diwakili oleh YBrs. Tuan Azarol Faizi bin Zakaria Ansari, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku (M) Sdn. Bhd., graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik) tahun 1996, serta YBrs. Tuan Mohd Burhanudin bin Yusof @ Hasan, Pengarah Urusan Empayar Ijmal Sdn. Bhd., graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik – Kawalan dan Instrumentasi) tahun 2012.
Melengkapkan senarai Alumni Sohor ialah YBrs. Dr. Bakri Hj Zainal Abidin, Setiausaha Kehormat Persatuan Alumni UTM dan mantan Ketua Polis Daerah IPD Hilir Perak, yang memperoleh Doktor Falsafah (Pengurusan) pada tahun 2017.
Pengenalan Perarakan Alumni Sohor ini merupakan antara pembaharuan dalam penganjuran Majlis Konvokesyen UTM, sekali gus memberikan ruang kepada universiti untuk mengetengahkan tokoh alumni yang telah mencapai kedudukan penting dalam bidang masing-masing.
Mengangkat keberadaan alumni dalam istiadat konvokesyen
Majlis Konvokesyen Ke-70 UTM pada tahun ini turut memberikan penekanan khusus terhadap penglibatan dan pengiktirafan alumni, bukan sahaja melalui Perarakan Alumni Sohor, malah menerusi pengenalan inisiatif baharu, Kerusi Legasi Alumni UTM (Alumni Hot Seat).
Inisiatif ini diwujudkan khas bagi menyantuni ibu bapa dan ahli keluarga graduan yang juga merupakan alumni UTM dengan menyediakan tempat duduk khas di dalam dewan konvokesyen untuk menyaksikan detik bersejarah ahli keluarga mereka menerima ijazah.
Melalui Kerusi Legasi Alumni, alumni berpeluang kembali ke dewan yang menjadi saksi kejayaan mereka suatu ketika dahulu, kali ini sebagai ibu bapa atau ahli keluarga yang meraikan pencapaian generasi seterusnya. Inisiatif berkenaan turut mencerminkan kesinambungan legasi pendidikan dalam kalangan keluarga alumni UTM, sekali gus memperkukuh hubungan kekeluargaan dan rasa kebersamaan dengan alma mater.
Pengenalan Perarakan Alumni Sohor dan Kerusi Legasi Alumni UTM pada tahun ini memperlihatkan pendekatan universiti dalam mengangkat keberadaan alumni sebagai sebahagian penting daripada ekosistem UTM, sama ada sebagai pemimpin industri, tokoh profesional mahupun ibu bapa kepada generasi graduan baharu.
Kehadiran Alumni Sohor dalam istiadat konvokesyen turut memberikan inspirasi kepada graduan baharu dengan memperlihatkan potensi kerjaya dan peluang untuk menyumbang kepada masyarakat selepas menamatkan pengajian.
Penganjuran Majlis Konvokesyen Ke-70 UTM bukan sahaja meraikan kejayaan graduan baharu, malah menjadi medan menghargai sumbangan generasi alumni terdahulu serta meraikan kesinambungan legasi UTM merentas generasi.
Inisiatif ini sekali gus membawa mesej bahawa hubungan antara graduan dengan universiti tidak berakhir pada hari konvokesyen, sebaliknya terus terpelihara melalui rasa kebersamaan, kebanggaan dan semangat kekitaan sebagai sebahagian daripada keluarga besar UTM.




Gambar oleh Pusat Komunikasi Korporat, UTM