Mei 1, 2024

Search
Close this search box.

enVision UTM 2025 : UTM Kuala Lumpur Fokus kepada Pemerkasaan Jalinan Antarabangsa

UTMKL mendokong enVision UTM  2025 universiti dengan memfokuskan kepada inovasi teknologi dan jalinan antarabangsa. Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh, selaku Pro Naib-Canselor Kampus UTM Kuala Lumpur mengupas strategi UTMKL yang dirancang dalam merealisasikan enVision 2025 khususnya bagi tahun 2023.

Pelan Strategi UTM Kuala Lumpur

“Strategi UTM Kuala Lumpur adalah fokus kepada penghasilan teknologi baharu dan perhubungan antarabangsa bagi meningkatkan keterlihatan UTM.  Mengambil kira lokasi kampus yang strategik, UTMKL dilihat sebagai “window of the world” bagi pelajar dan delegasi antarabangsa yang ingin menganjurkan program-program antarabangsa seperti persidangan dan lain-lain.  Kepelbagaian kemudahan infrastruktur disekitar seperti LRT dan MRT dan ETS Transit dari KLIA telah menjadikan UTMKL salah satu kampus yang paling mudah dan selesa untuk dilawati.  Salah satu strategi lain untuk meningkatkan keterlihatan UTMKL adalah jalinan antarabangsa melalui Pejabat Kedutaan dan industri dari pelbagai bidang khususnya yang berkaitan dengan Sains dan Teknologi.  Sejak dari 2021, pelbagai inovasi telah diteroka dan dipelajari dibawah pemantauan UPMU UTMKL dan kini UTMKL mula mengkaji teknologi yang mampu menyokong sistem kehadiran staf secara punchless dimana warga UTMKL tidak perlu untuk berkejar-kejar untuk mengetik kehadiran di laman sesawang SMIS dan lebih fokus kepada pengurusan anak sebelum masuk ke pejabat sekaligus membantu mengurangkan tahap stress staf dan mengurangkan risiko isu-isu tertinggal anak didalam kereta dan sebagainya.  UTM juga telah menawarkan sistem pembayaran secara cashless atau virtual payment bukan sahaja bagi perkhidmatan utama seperti pembayaran yuran tetapi bagi kesemua jenis perkhidmatan seperti sewaan makmal atau ruang di fakulti-fakulti dan jabatan bagi kemudahan pelajar dan para pengguna luar yang menggunakan perkhidmatan di UTM.”

Kerjasama strategik melalui kolaborasi UTM Kuala Lumpur dan industri

“Industri dan UTM bagaikan “Aur dengan tebing” dan hubungan ini bertepatan untuk melambangkan hubungan yang akrab antara UTM dan Industri.  Yang Berhormat Menteri, Kementeri Pendidikan Tinggi juga sentiasa mengalakkan kolaborasi industri di dalam kampus dan UTM Kuala Lumpur sememangnya sentiasa menjadi lubuk kolaborasi industri setempat dalam mendapatkan penasihatan penyelidikan serta hasil inovasi yang bertepatan dengan keperluan industri.   Di era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin rancak ini, seharusnya bidang Sains dan Teknologi menjadi salah satu bidang yang paling mencabar kepada semua pakar dan agensi keselamatan siber negara.  Timbulnya pelbagai isu keselamatan maklumat dan keselamatan siber yang sangat berisiko serta membimbangkan agensi keselamatan siber negara.  Sebagai Universiti kejuruteraan yang berteraskan Sains dan Teknologi, UTMKL telah mengambil langkah proaktif dalam menjalinkan kolaborasi baharu serta membantu memberikan penasihatan kepada agensi-agensi berkaitan seperti Cybersecurity Malaysia (CSM) demi memperkukuhkan keselamatan siber negara.  Selain itu, UTMKL juga sentiasa peka dengan keperluan industri robotic dan pelbagai penyelidikan dan inovasi telah dijalankan dibawah Fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology dan seperti Aerial Robotic: Frequency Interference Avoidance for DJI M300 Drone System in Maxis Telecommunication Tower Inspection    dan Enhancing Inventory Management with Multi-Camera Video Analytics and Floor Plan Archilogic Integration dibawah Profesor Madya Ir Dr Zool Hilmi Ismail kerjasama bersama Syarikat di Osaka, Jepun.”

Jalinan antarabangsa UTM Kuala Lumpur

“Salah satu fokus UTM didalam enVision UTM 2025 adalah Global Eminence dan pelbagai manfaat dihasilkan daripada penganjuran program bertaraf antarabangsa dibawah Fakulti dan PTJ di UTMKL demi untuk meningkatkan keterlihatan kampus UTMKL.  Antara fokus lain UTMKL adalah dengan menjaga hubungan kerjasama bersama pejabat kedutaan melalui lawatan (courtesy) dan penganjuran program-program yang melibatkan Ambassador di UTM Kuala Lumpur seperti Ambassador GlobaLecture (AGL) dibawah anjuran UTM International.  Sehingga kini, seramai 9 orang Ambassador telah dijemput sebagai penceramah antaranya adalah Ambassador dari Jepun, Turki, Nigeria, India, Romania, Bangladesh, Australia, Belgium and South Africa.  Melalui program AGL ini, UTM akan menganjurkan Ambassador Roundtable pada tahun hadapan dan juga penganjuran program kebudayaan yang melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa UTMKL juga dirancang bagi menaikkan keterlihatan UTMKL. Pada tahun 2020 sehingga kini, terdapat pertambahan jumlah pelajar yang mengikuti program mobiliti di UTMKL yang menunjukkan peningkatan keterlihatan UTM di negara-negara luar secara amnya dan UTMKL secara khususnya sebagai satu destinasi pengajian yang menjadi pilihan pelajar antarabangsa.”

Penerapan elemen kebudayaan Jepun 

“Pembudayaan amalan jepun ini dipraktikkan didalam sesi pembelajaran dan pengajaran khususnya di MJIIT iaitu melalui sesi iKOHZA yang diinspirasikan oleh pengajaran di Jepun.  Di bawah pentadbiran di UTM Kuala Lumpur, beberapa entiti jepun seperti JICA ditempatkan di dalam kampus bagi membantu melancarkan pengurusan pelajar dan menjadi pemudah cara di antara agensi atau syarikat di Jepun dengan UTM yang seterusnya membuka peluang program pertukaran pelajar serta peluang pekerjaan kepada pelajar untuk bekerja di Jepun atau syarikat-syarikat jepun di Malaysia.  Terdapat juga penawaran kelas pendidikan Bahasa Jepun secara percuma bagi staf di MJIIT atau FSSH bagi mengurangkan masalah komunikasi Bahasa serta dapat meningkatkan produktiviti kerja masing-masing. Satu lagi inisiatif terbaharu, UTMKL akan melancarkan Malaysia Japan Linkages Office di MJIIT yang bertanggungjawab untuk menjaga pengurusan pentadbiran pelajar dan UTM bersama pihak kementerian atau institusi pendidikan tinggi dari Jepun.”

 Fasiliti bertaraf antarabangsa

“Harapan saya adalah untuk melihat UTMKL berdiri gah dimata dunia selari dengan kampus-kampus lain di Klang Valley ini.  UTMKL juga perlu sentiasa dekat dengan komuniti dan industri, meriah dengan pelbagai inovasi yang memanfaatkan masyarakat.  Saya juga berharap agar UTMKL dapat menjadi kampus yang berteknologi bertaraf antarabangsa dilengkapi dengan sistem keselamatan yang terkini, fasiliti pembelajaran yang selesa, kolej atau kuarters penginapan yang selamat dan mudah untuk pelajar dan staf UTMKL dan akhirnya saya berharap agar kampus UTMKL ini akan mencapai tahap kelestarian yang terbaik serta dapat memastikan kemandirian kewangan kampus terpelihara. InsyaAllah.”

Oleh Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTM Kuala Lumpur

Explore More