Mei 6, 2024

Search
Close this search box.

UTM menyinar di bumi Korea Selatan ungguli Seoul International Invention Fair (SIIF) 2023

SEOUL, 4 Nov. – Prestasi cemerlang diperlihatkan oleh pasukan inovasi Malaysia apabila Pavement and Transportation Research Group (PTRG) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi Anugerah Utama di Seoul International Invention Fair.

Acara pameran antarabangsa yang berlangsung pada 1 hingga 4 November merupakan Pameran Rekacipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2023 yang diadakan di bawah World Intellectual Property Organization (WIPO) dan International Federation of Inventors’s Associations (IFIA) dengan kerjasama daripada Korean Intellectual Property Office (KIPO) dan Korean Invention Promotion Association (KIPA). Acara yang mempertaruhkan kebolehan kreatif peserta dari seluruh dunia ini merupakan antara pertandingan penciptaan yang terbesar di dunia.

Ahli kumpulan penyelidikan PTRG UTM menerima Anugerah Utama di SIIF 2023.

Pasukan inovasi PTRG UTM, yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang penyelidikan jalan raya dan pengangkutan, telah berjaya membuktikan kemampuan mereka dengan bukan sahaja dengan membawa pulang piala Anugerah Utama, bahkan menggondol  Anugerah Inovasi Terbilang yang dianugerahkan oleh Universiti King Abdulaziz dan juga pingat perak di pameran yang sama.

Ahli PTRG juga menerima Anugerah Inovasi Terbilang yang dianugerahkan oleh Universiti King Abdulaziz.

Pameran SIIF 2023, yang berlangsung selama empat hari di Gangnam, Korea ini menarik penyertaan sebanyak 484 pasukan inovasi dari lebih 26 negara. Peserta pertandingan ini diberikan cabaran untuk menghasilkan projek inovatif yang merungkai masalah dunia moden dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan, alam sekitar, teknologi maklumat, dan banyak lagi.

PTRG yang diwakili oleh Prof. Dr.  Mohd Rosli Hainin, Prof. Madya Ts. Dr.Haryati Yaacob, Ts. Dr. Norhidayah Abdul Hassan, Ts. Dr. Mohd Khairul Idham Mohd Satar, Dr. Muhammad Naqiuddin Mohd Warid, Dr Siti Nur Naqibah Kamarudin, Dr. Mohd Zul Hanif Mahmud dan Ts. Dr. Mohd Khairul Afzan Mohd Lazi,  telah memilih untuk mengetengahkan dua produk yang dinamakan “Asphalt – Food Waste Bitumen (FWB)” dan “Maltenator”. Projek ini memaparkan penyelesaian kreatif untuk pembaharuan jalan raya di Malaysia dan juga di peringkat global.

Ahli kumpulan penyelidikan PTRG UTM menerima pingat perak untuk salah satu dari produk yang dipertandingkan.

Bagi produk Asphalt-FWB, bahan utama untuk membuat jalan raya iaitu bitumen telah dicampur dengan sisa makanan yang terdiri daripada sisa makanan daripada ayam, sayur-sayuran dan juga nasi. Lambakan sisa makanan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia telah menjadi pemangkin kepada kajian ini.

Hasil kajian melalui pemprosesan sisa makanan tersebut telah berjaya dijadikan bahan tambah kepada bitumen. Produk kedua iaitu Maltenator merupakan bahan yang meremajakan kembali turapan asfalt yang telah lama supaya boleh digunapakai semula seperti turapan asphalt yang baru. Penggunaan semula turapan asfalt lama ini dapat mengurangkan lagi kos penyelengaraan jalan secara keseluruhan.

Kemenangan mereka merupakan satu lagi pencapaian cemerlang dalam perkembangan inovasi sejarah negara. Asphalt FWB juga telah memenangi Anugerah Utama di Malaysian Road Conference (MRC) 2022 yang lepas. Kemampuan untuk menyatukan teknologi dengan kelestarian alam sekitar adalah salah satu ciri unik yang membezakan Malaysia dari pesaing lain dalam pertandingan ini.

Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Dr Muhd Noor Muhd Yunus , yang turut hadir dalam majlis penganugerahan, telah bersama-sama meraikan pasukan PTRG di atas pentas di samping merakamkan penghargaan  kepada pasukan inovasi Malaysia atas pencapaian mereka yang luar biasa.

Menurutnya, “Kejayaan pasukan inovasi Malaysia adalah satu lagi bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat kreatif dan keupayaan untuk berdaya saing dalam arena inovasi global. Projek mereka akan memberi manfaat besar kepada negara ini dan dunia.”

Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Dr Muhd Noor Muhd Yunus (keempat dari kanan) juga turut sama meraikan kejayaan kumpulan penyelidikan PTRG di SIIF 2023.

Kemenangan Malaysia ini adalah bukti bahawa inisiatif dan sokongan kepada penyelidikan dan pembangunan tempatan dalam bidang inovasi dapat menghasilkan impak positif yang besar. Ini adalah satu lagi langkah penting dalam perjalanan negara ini ke arah menjadi hab inovasi global yang dihormati.

Kemenangan pasukan inovasi Malaysia dalam Pertandingan Inovasi Antarabangsa 2023 bukan sahaja satu pencapaian luar biasa bagi negara ini, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam memperbaiki isu global yang semakin meruncing. Projek inovatif mereka menonjolkan kebolehan Malaysia dalam menghubungkan teknologi canggih dengan kelestarian alam sekitar. Harapan kita adalah bahawa kemenangan ini akan mendorong lebih banyak inisiatif inovasi di negara ini dan membantu mencipta penyelesaian untuk cabaran-cabaran global yang semakin kompleks.

Explore More