Disember 22, 2024

Sibuk bertugas tidak halang pegawai PDRM genggam ijazah sarjana

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Walaupun sibuk bertugas namun tidak menghalang seorang pegawai polis berpangkat Inspektor menerima Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia (HRD) pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen ke-67 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar (DSI) di sini hari ini.

Inspektor E Soon Kiat dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Kelantan ini telah menerima Ijazahnya dari Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Cik Puan Besar Khaleeda Bustamam petang tadi.

Bercakap mengenai perkara ini, Soon Kiat berkata sokongan dari kepimpinan tertinggi pasukan terutamanya Ketua Polis Kelantan, Yang Dihormati Komisioner Polis Datuk Muhamad Zaki Hj. Harun yang mahu melihat ramai pegawai polis untuk menaik taraf akademik masing-masing disahut olehnya.

”Kepimpinan tertinggi di Bukit Aman dan juga di kontinjen tempat bertugas sememangnya sentiasa menyeru pegawai dan anggota polis untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi supaya kami sentiasa bergerak selari dengan keperluan semasa.

”Ini disebabkan corak penugasan polis yang semakin mencabar sejak akhir-akhir ini memerlukan pegawai kanan polis yang mempunyai kapasiti akademik yang baik supaya dapat mengendalikan masalah dengan profesional sekaligus menaikkan imej pasukan di mata orang awam,” katanya lagi.

Menyorot kembali kenangan sewaktu menuntut, Soon Kiat berkata tempoh pengajiannya amat mencabar kerana terpaksa melalui tempoh paling sukar iaitu ketika negara dilanda wabak pandemik yang diakibatkan oleh virus COVID-19 pada tahun 2020.

“Tempoh pengajian saya berada di dalam keadaan kritikal dan perlu belajar secara dalam talian terutamanya semasa menjalankan tugasan hakiki semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengawal penularan Covid-19 pada 2020.

”Di samping berbincang dengan pensyarah bagi mendapatkan pelepasan disebabkan tugasan itu, saya juga terpaksa berbincang dengan rakan sekerja bagi meminta bantuan penggantian shif bekerja,” katanya menggamit kenangan sewaktu menyambung pengajiannya.

Soon Kiat juga berharap agar lebih ramai pegawai dan anggota polis sepertinya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan hasrat pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Saya berharap lebih banyak anggota dan pegawai polis merebut peluang ini sebagai usaha meningkatkan akademik masing-masing,” katanya yang ditemani isteri, Dr. Chuah Shin Earl yang bertugas sebagai Pegawai Pergigian di Tampin, Negeri Sembilan.

Inspektor E Soon Kiat bersama isteri, Dr. Chuah Shin Earl selepas menghadiri majlis konvokesyen UTM ke-67.

 

Sijil penghargaan sebagai pelajar terbaik kursus Sarjana Pembangunan Sumber Manusia (HRD) yang diterima Soon Kiat.

 

Insp. E Soon Kiat menerima sijil penghargaan dari Ketua Polis Kelantan, Yang Dihormati Komisioner Polis Datuk Muhamad Zaki Hj. Harun sewaktu perhimpunan bulanan di IPK Kelantan.

Explore More