November 21, 2024

Search
Close this search box.

MK67: Fizikal kerdil bukan halangan Najihah menuju puncak kejayaan

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Majlis Konvokesyen ke-67 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar senyuman manis buat seorang graduan Sarjana Penyelidikan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). 

Nurul Najihah Ishak membuktikan bahawa kecemerlangan tidak terhalang hanya disebabkan kekurangan fizikal. Dilahirkan kerdil (anchondroplasia), hanya berketinggian 123cm sahaja, beliau menganggap keunikan ini sebagai satu keistimewaan.

Senyuman manis terukir di bibir Najihah setelah tamatnya sesi bergraduasi

Najihah tidak pernah merasa tersekat untuk melakukan segala keinginan hanya disebabkan oleh keadaan fizikalnya. Baru-baru ini, beliau telah memenangi pingat gangsa di kejohanan sirkit boling padang para kebangsaan mewakili negeri Johor. 

Kejohanan sirkit boling padang para kebangsaan

Selain itu, beliau juga sangat meminati seni lukis, sastera, aktiviti kesukarelawanan dan permainan catur. Katanya, catur adalah permainan yang bagus untuk melatih otak berfikir menyusun strategi mengalahkan pihak lawan. 

Manakala aktiviti membaca buku pelbagai genre dijadikan rutin hariannya. Ini membuktikan bahawa semangat dan tekad dapat mengatasi segala rintangan. 

Sementara itu, kecintaannya kepada seni lukis dan warna juga menjadi bukti bahawa bakat dan minat dapat diperkembangkan tanpa mengira kekurangan diri yang dimiliki.

Pengajiannya di UTM sentiasa dikelilingi dan mendapat sokongan dari keluarga, guru, dan sahabat. Najihah mampu menghadapi setiap rintangan dengan semangat baru dan berkobar-kobar. 

Beliau bercita-cita menjadi seorang pensyarah sebagai sumber inspirasi dengan menjadikan harapan agar dapat memimpin generasi muda untuk mempercayai bahawa kejayaan dapat dicapai melalui usaha yang gigih, keberanian dan jangan berputus asa selagi masih hidup. 

“Berdoalah selepas berusaha bersungguh-sungguh, selalunya keajaiban berlaku saat-saat nak berputus asa,” katanya.

Ucapan terima kasihnya disampaikan kepada semua guru dan penyelia dari peringkat sekolah sehingga pengajian pascasiswazah, yang telah menjadi pendorong utama di belakang setiap kejayaannya. 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada sahabat baik saya, Haziqatulhanis Ibrahim, Nurulmanja Atiqah Maliki, Suri Nadrah Mohd Shahar, Siti Mardiah Arbaain, Nur Sabirah Azhari yang selalu ada buat saya. Abah saya, Ishak Md Salleh dan ibu saya, Jamaliah Kamis serta seluruh ahli keluarga saya.

Najihah bersama keluarga tercinta

“Tidak diakui banyak dugaan dan rintangan untuk menghabiskan perjalanan sarjana saya, di sini saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada Dr. Megat Muhammad Ikhsan, Dr. Anis Suhaili Bakri, Dr. Kamalia Abd Hamed, Dr. Nazibul Hassan, Encik Zulkifli Azman, Cik Nur Afiqah Othman, pembantu-pembantu makmal dari Microelectronics and Nanotechnology-Shamsuddin Research Centre (MiNT-SRC) dan semua rakan pascasiswazah dari UTM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang banyak membantu saya selama ini. 

“Sokongan keluarga dan kata-kata dari ayah saya sentiasa menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berjaya. Tiada yang mudah di dunia ini, tetapi kita harus terus mencuba dan tetap mencuba.

Penyelia utamanya, Prof. Madya Dr. Ir. Mohamed Sultan Mohamed Ali (FKE UTM) dan penyelia bersamanya, Prof. Dr. Nafarizal Nayan dari UTHM, turut menerima penghargaan atas panduan dan sokongan yang diberikan. Najihah juga berterima kasih kepada semua individu yang memberikan bantuan sepanjang perjalanan pengajian pascasiswazahnya.

Dari kiri : Nusrat, Mariatul Rawdhah, Prof. Madya Dr. Ir. Mohamed Sultan Mohamed Ali (penyelia utama), Goh Yu dan Dr. Anas

Dalam mengakhiri perjalanan pengajian ini, Najihah berkongsi kata-kata bijak dari Buya Hamka, “Bebanmu akan berat. Jiwamu harus kuat. Tetapi aku percaya langkahmu akan jaya. Kuatkan peribadimu.” Kisah kejayaannya menjadi inspirasi buat semua, membuktikan bahawa dengan semangat yang kuat, tidak ada halangan yang tidak dapat diatasi.

Explore More