Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM bolot kemenangan Pertandingan Pelan Konsep ‘Placemaking Spaces’

ISKANDAR PUTERI, 19 Nov. – Seramai tiga orang pasukan Mahasiswa Perancangan Bandar & Wilayah (PBW) dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merangkul tempat pertama, kedua & ketiga dalam Pertandingan Pelan Konsep ‘Placemaking Spaces’ anjuran PLANMalaysia Johor dan Sunway City Iskandar Puteri (Sunway Group).

Pertandingan mereka bentuk pelan konsep di Sunway Emerald Lake, Iskandar Puteri tersebut dianjurkan sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023 peringkat Negeri Johor. Pertandingan ini merupakan satu platform pihak Sunway untuk mengenalpasti idea baharu, menonjolkan bakat dan inovasi dikalangan mahasiswa daripada universiti. Pertandingan yang dibuka secara eksklusif kepada semua mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah (SBEW) UTM ini telah berjaya mengumpul sebanyak  14 penyertaan.

Setiap kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua orang mahasiswa telah dikehendaki untuk mereka bentuk cadangan konsep rejuvenasi persekitaran Sunway Emerald Lake dengan memfokuskan peningkatan kualiti hidup, estetika dan elemen hijau selari dengan ‘Malaysia Madani, Komuniti Sejahtera’, tema HPBS 2023. PBr. Ts. Dr. Noor Aimran Samsudin selaku Pensyarah Kanan Reka Bentuk Bandar di FABU telah dilantik untuk memberi panduan dan khidmat nasihat kepakaran beliau kepada semua pasukan UTM. Hasil penilaian dan sesi penjurian pada 16 November 2023, sebanyak 7 poster telah terpilih ke pusingan akhir.

Hanya 3 pasukan terbaik terpilih untuk membentangkan pelan konsep masing-masing kepada YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dan dif-dif jemputan lain semasa sambutan HPBS 2023 di Sunway Big Box. Penentuan tempat pertama, kedua dan ketiga telah diumumkan semasa Majlis Perasmian HPBS 2023. Beliau turut menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang terdiri daripada Tempat Pertama, Muhammad Furqhan dan Nurillyana (Tahun 2 SBEWH) yang telah menerima hadiah baucar bernilai RM300.00. Tempat kedua dimenangi oleh Mia Qistina dan Wan Nurathirah ( Tahun 4 SBEWH) yang menerima baucar bernilai RM200.00 & tempat ketiga dimenangi oleh Nureen Solehah dan Siti Noraqilah (Tahun 4 SBEWH) yang membawa pulang baucar bernilai RM100.00.

Dalam ucapan perasmian beliau sebelum itu, YB Dato’ turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk delegasi UTM yang diketuai Prof. Madya Dr. Siti Hajar Misnan, Pengarah Program PBW kerana telah menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan tersebut sekaligus memeriahkan lagi sambutan HPBS peringkat Negeri Johor kali ini. Selain daripada penyertaan berbentuk akademik, Program PBW juga menghantar satu wakil pasukan dalam pertandingan Explorace XPark yang turut disertai oleh seluruh Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Johor.

Pelbagai permainan dan cabaran yang perlu dilakukan merangkumi aktiviti memanah, memandu Go-Kart dan sebagainya. Walaupun pertandingan Explorace yang dijalankan lebih berbentuk kepada riadah, tugasan seperti penyelesaian masalah, pengetahuan tulisan Jawi yang merupakan sinonim dengan Negeri Johor juga turut dilakukan oleh peserta. Pertandingan yang melibatkan 12 tugasan dan cabaran ini dimenangi oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kota Tinggi dan Majlis Perbandaran Batu Pahat.

Peserta Explorace XPark terdiri daripada mahasiswa Tahun 4 SBEWH iaitu Muhammed Shazwan Zarul Ahmad, Leow Hui Qing, Airin Azwa Yuzaini dan Nur Fatini Farrahin Muhd Azmi turut menyertai Pertandingan Explore Park bagi mewakili pasukan UTM. Pasukan ini diiringi Dr. Syed Muhammad Rafy Syed Jaafar, Pensyarah Kanan PBW selaku pensyarah pengiring bagi penyertaan aktiviti tersebut. Diharapkan penglibatan mahasiswa PBW dalam pelbagai aktiviti HPBS 2023 kali ini dapat membantu mereka mengasah kemahiran kepimpinan, membina keyakinan dan sahsiah diri sesuai dengan halatuju, visi dan misi fakulti serta universiti.

Sekitar sesi pembentangan oleh peserta kepada dif jemputan.

Sekitar sesi pengumuman & penyampaian hadiah kepada para peserta oleh YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

Peserta bersama Pengarah Program PBW, Prof. Madya Dr. Siti Hajar Misnan (Kiri) dan Penasihat/ Pensyarah Pengiring, PBr. Ts. Dr. Noor Aimran Samsudin (Kanan)
Para peserta Pertandingan Explore Park bersama pensyarah pengiring PBW, Dr. Syed Muhammad Rafy Syed Jaafar di titik mula pertandingan

 

Oleh PEWIBAWA ; disunting oleh PBr. Ts. Dr. Noor Aimran Samsudin

Explore More