Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Bersempena Majlis Konvokesyen ke-67 (MK67), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengekalkan tradisi dan legasi dengan menganjurkan Festival Konvokesyen ke-67 (FESKO ’67).

FESKO ’67 pada kali ini diterajui oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNCHEPA), dengan kekuatan seramai 78 orang mahasiswa UTM sebagai krew dan rakan FESKO.

FESKO ’67 merupakan acara tahunan yang dikendalikan oleh mahasiswa UTM, berkonsepkan keusahawanan dan kepimpinan. Secara tidak langsung, penganjuran FESKO ’67 menjadi antara sebahagian daripada usaha dalam memperkasakan lagi autonomi mahasiswa.

Bertemakan “Triumph, Component, Glorious”, penganjur menganggarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung ke festival tersebut.

Tarian kebudayaan etnik Borneo turut ditonjolkan dalam Majlis Perasmian FESKO ’67.

“FESKO ‘67 kali ini menawarkan aktiviti-aktiviti seperti Nerf Strike, Haunted House, Scavenger Hunt, Self Defense Performance, konsert dan banyak lagi. Saya percaya program seperti ini mampu menarik hati pengunjung yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar UTM tetapi juga pengunjung luar UTM,” menurut Pengarah Program, Farhan Ashraf S. Salahudin.

“Universiti sentiasa komited dalam menyediakan platform dan ekosistem Pendidikan tinggi yang baik kepada para pelajar UTM menerusi penganjuran pelbagai program pembangunan berunsur akademik, pembangunan sahsiah, kepimpinan, keusahawanan, dan kerjaya, dan FESKO ’67 merupakan antara inisiatifnya,” ulas Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapan beliau.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Mirza Hussein Sabki, pelajar PhD Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga.

“Komitmen ini juga selaras dengan hasrat universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran asas yang tinggi, bahkan mampu pada satu masa nanti menjadi pewaris kepimpinan dalam usaha membentuk masa depan negara bangsa progresif yang disegani,” jelas Datuk Ahmad Fauzi di akhir ucapan.

Sementara itu, Majlis Perasmian FESKO ’67 telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga Tuanku Canselor UTM.

Majlis Perasmian FESKO ’67 telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga Tuanku Canselor UTM.

Hadir bersama dalam majlis tersebut adalah Pro Canselor, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin; dan pegawai-pegawai Kanan Universiti yang lain.

Explore More