Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Nov. –  Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seharusnya mengelakkan budaya 3K (Kuliah, Katil dan Kafe) yang kian mambarah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga mendapat perhatian daripada masyarakat awam.

Ini bagi membolehkan golongan ini menjadi modal pembangunan insan yang berkualiti dan seterusnya dapat menyumbang ke arah pembangunan negara yang mampan pada masa akan datang.

Graduan UTM, Roshini  berkata mahasiswa hari ini ‘selesa’ kerana semua benda boleh diperoleh dengan mudah dan menganggap kuliah sudah cukup untuk membentuk jati diri.

Roshini selepas menghadiri sesi penyampaian skroll di Majlis Konvokesyen UTM ke-67 yang berlangsung di kampus Johor Bahru. Beliau merupakan seorang mahasiswa yang aktif di zaman belajarnya dengan menyertai banyak aktiviti anjuran universiti.

“Semua bergantung kepada sikap, apabila sudah berasa selesa dan tiada persaingan, kebanyakan akan memilih untuk berbuat demikian iaitu balik sahaja dari kuliah, berlama-lama di kafe sambil bersembang serta lebih suka berehat-rehat di katil.

“Bukan itu saja, ada pelajar yang lebih gemar bermain dan bersendirian dengan telefon bimbit daripada menumpukan perhatian kepada subjek yang diajar dalam kuliah,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTM ke-67 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi.

Roshini berjaya menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Bioinformatik) Dengan Kepujian.

Ketika di zaman mahasiswanya, Roshini adalah seorang mahasiswa yang aktif dan pernah menyertai Program Pertukaran Budaya Malaysia-Korea tahun 2022 anjuran Kementerian Belia dan Sukan selain terpilih sebagai Felo Perdana di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada tahun 2023.

Beliau juga terpilih sebagai Dewan Muda Johor yang di bawah Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Modal Insan dan Pengguna Negeri Johor.

”Sebagai ahli Dewan Muda, saya telah dijemput memasuki persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membentangkan usul pelan pembangunan ekonomi gig di negeri Johor dan syukur kepada tuhan kerana usul itu telah diterima di peringkat kerajaan negeri Johor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai barah 3K ini Roshini berkata kebanyakan siswa yang sudah bergelar senior antara yang berdepan budaya ini kerana mereka menganggap diri sudah berada di zon selesa.

“Mereka yang bergelar senior ini sudah tahu dan faham corak pengajian di universiti, disebabkan itulah kebanyakannya memilih tidak lagi bergiat aktif.

“Mereka banyak memilih untuk berada di zon selesa saja dengan tidak memfokuskan kegiatan luar kuliah dan lebih suka berehat-rehat di atas katil serta hanya menumpukan kepada kuliah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, mereka tersekat pada masalah 3K sehingga tidak mahu terbabit dalam mana-mana program yang dianjurkan universiti sedangkan ia boleh mendatangkan kerugian kepada diri sendiri kerana ia secara tidak langsung menjadikan mereka tidak fokus dengan impian iaitu menjadi graduan yang serba boleh dan pilihan majikan.

Katanya, pembabitan mahasiswa dalam program yang dianjurkan oleh universiti adalah penting untuk mereka khususnya selepas tamat pengajian.

“Mereka yang aktif menyertai aktiviti dianjurkan berupaya membentuk jati diri lebih baik berbanding sebelum ini. Malah, ia dapat membantu diri mahasiswa lebih yakin dan mampu berdepan pelbagai cabaran yang terbentang di hadapan mereka ketika berada dalam alam pekerjaan kelak,” katanya.

Roshini bergambar bersama ibunya, Shyamilee a/p Kuttykrishnan (kiri) dan adiknya Kishera.

Menurutnya lagi, pelbagai program yang dijalankan universiti dikaji dan disusun sebaik mungkin agar selari dengan permintaan majikan itu sendiri.

”Setiap program anjuran universiti sememang terbaik dan disusun supaya ianya dapat memberikan nilai tambah kepada kemahiran insaniah mahasiswa itu namun pembabitannya bergantung kepada sikap pelajar itu sendiri.

“Perlu diingat bahawa bergelar mahasiswa bukan hanya untuk mendapatkan sekeping sijil dengan keputusan yang cemerlang tetapi mempunyai nilai tambah kepada diri sendiri kerana negara mahukan graduan yang berkualiti serta punyai berkeyakinan ketika berucap atau bercakap di khalayak, pemikiran terbuka dan boleh melakukan pelbagai tugasan termasuk mengetuai cabaran serta mereka ini boleh bekerja seperti diarahkan,” katanya menutup perbualan.

Explore More