Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Nov. –   Beri tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas adalah kunci kejayaan Muhammad Rizaldo Putra yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sepanjang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) ini berjaya menamatkan pengajian ijazah pertamanya dengan mendapat anugerah Kepujian Dekan (Dean List) selama tujuh semester berturut-turut.

Graduan sulung program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) warga Indonesia ini berkata memberi tumpuan sewaktu pensyarah mengajar amat penting supaya setiap subjek yang dipelajari dapat dihafal dan difahami dengan mudah.

Mahasiswa kelahiran Indonesia yang berjaya dalam pengajiannya di UTM. Selain menjadi graduan sulung dalam program yang diikutinya, Rizaldo juga mencatat kejayaan cemerlang memperolehi Anugerah Dekan selama 7 semester berturut-turut.

“Rahsia kejayaan ini, saya selalunya menumpukan perhatian di dalam bilik kuliah dan mendengar dengan teliti setiap penghujahan yang disampaikan oleh pensyarah.

”Saya memberikan tumpuan sepenuhnya kerana tidak mahu terlepas apa-apa perkara penting dan dengan ini ia memudahkan saya menjawab setiap soalan yang diberikan sewaktu menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Dekan Dan Hadiah Akademik Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE) sempena Majlis Konvokesyen Ke-67 UTM yang berlangsung di Dewan  Kencanapuri,  Pulai  Springs  Resort petang tadi.

Selain itu, Rizaldo berkata ulang kaji pelajaran di rumah juga membantu dirinya memperolehi keputusan cemerlang itu.

Malah, menurutnya disiplin dalam mematuhi jadual belajar juga penting bagi mengelak belajar pada saat akhir.

“Kalau belajar pada saat akhir pasti akan berlaku kecelaruan dan memeningkan pelajar itu sendiri semasa menjawab soalan peperiksaan berbanding membuat persiapan dari awal membantu kita untuk menjawap soalan dengan tenang,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Pemasaran di Trove Hotel, Johor Bahru.

Muhammad Rizaldo juga berhasrat untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Australia kelak sekiranya berkesempatan.

”Saya telah mengunjungi kedutaan Australia di Kuala Lumpur bagi bertanyakan prospek pengajian pasca-siswazah di negara itu dan sekiranya berpeluang saya akan ke sana bagi melanjutkan pengajian saya,” katanya lagi.

Seorang lagi rakannya, Nurul Ain Muhammad Fauzi yang mendapat Anugerah Naib Canselor turut bersetuju dengan kenyataan fokus pada pembelajaran di dalam kelas ini dapat membantu kejayaan dalam pembelajaran.

”Saya seorang mahasiswa yang aktif sepanjang mengikuti kursus diploma di UTM dan salah satu aspek yang membantu saya mendapat anugerah berprestij ini adalah dengan memberikan fokus yang tajam sewaktu mengikuti pembelajaran di kuliah.

Nurul Ain bersama anugerah yang dimenangi.

”Saya juga bangun awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran kerana ketika itu badan dan fikiran kita merasa amat segar dan setiap apa yang dipelajari ’melekat’ dengan kuatnya di ingatan,” katanya mengimbau kenangan sewaktu menuntut di peringkat diploma.

Beliau turut diraikan dalam majlis yang sama setelah berjaya menamatkan kursusnya dan memperolehi Diploma Kejuruteraan Awam.  Sepertimana Rizaldo, Nurul Ain turut mendapat Anugerah Dekan sepanjang pengajiannya (semester 1 hingga 6).

Untuk rekod Nurul Ain pernah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Sambutan bagi Majlis Barakah Ramadan 2021, Harimau Merdeka 2021 (sebagai AJK) dan juga Ketua Protokol bagi program Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) 2022 di kampus Kuala Lumpur.

Menurut Nurul Ain lagi mentaliti kelas pertama juga perlu ditanamkan di dalam pemikiran mahasiswa sekiranya mereka ingin berjaya dalam pengajian.

”Selain fokus dalam pelajaran, sikap cemburu pada rakan-rakan sekolah juga penyebab bagi saya untuk berusaha keras.

”Saya tanamkan prisip jika mereka boleh berjaya kenapa saya tidak boleh.  Jika mereka boleh melanjutkan pengajian hingga ke luar negara mengapa saya tidak boleh dan di situlah saya perlahan-lahan mengatur langkah hinggalah mencapai kejayaan sepertimana yang anda lihat pada hari ini,” katanya lagi.

Nurul Ain juga tidak menolak kemungkinan untuk mengulang semula kejayaan ini sewaktu bergraduasi dengan sarjana muda kelak.

”Insyallah saya akan mengulang semula kejayaan ini ketika bergraduasi dengan sarjana muda kelak. Kini saya sedang mengikuti kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di kampus Johor Bahru dan jika diizinkan Allah swt, akan berulanglah semula kejayaan manis ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Majlis pada kali ini meraikan seramai 371 penerima Anugerah Naib Canselor, Anugerah Dekan, Anugerah Graduan Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Alumni, Hadiah Akademik dan Hadiah Khas bagi Kategori Suami-Isteri, Adik-Beradik serta Orang Kelainan Upaya.

Nurul Ain Muhammad Fauzi yang mendapat Anugerah Dekan sepanjang pengajian diplomanya (semester 1 hingga 6). Berjaya menamatkan pengajiannya diplomanya dan memperolehi Diploma Kejuruteraan Awam. Kini menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UTM Johor Bahru.

Explore More