April 28, 2024

Search
Close this search box.

“Relax & Recharge”: Hari Keluarga UTMKL disambut meriah

KUALA LUMPUR, 14 Okt. – Hari Keluarga Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) telah berlangsung dengan meriah dan ceria dengan kehadiran lebih 800 orang staf dan ahli keluarga yang diadakan di Padang UTMKL.

Warna ungu dan kuning dipilih sebagai warna tema dengan tagline kali ini, “Relax & Recharge”. Pemilihan tagline ini dilihat amat bertepatan dengan matlamat program yang bertujuan mewujudkan suasana ceria dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan staf di samping dapat melepaskan tekanan di tempat kerja dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik yang telah dirancang.

Majlis Pelancaran Hari Keluarga UTMKL ini telah dirasmikan oleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abdul Latif Saleh. Pada majlis ini logo Hari Keluarga UTMKL turut dilancarkan. Turut serta semasa pelancaran ialah Tuan Hj. Mohd. Najib bin Masrom, Ketua Pentadbiran UTMKL dan Encik Ahmad Kamil bin Ahmad Kushairi, Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings.

 

Pelancaran Logo Hari Keluarga UTMKL.
Perasmian Hari Keluarga oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Abd Latif Salleh.

Dalam ucapannya, Prof. Abd Latif meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana program ini dapat dilaksanakan walaupun dengan keadaan persekitaran semasa yang sering berubah. Beliau juga berterima kasih kepada semua staf yang hadir bersama keluarga menyokong program yang diadakan sekali gus menunjukkan semangat kerjasama dan sokongan yang padu bagi menjayakan program ini.

Menurut Tn. Hj. Mohd Najib pula, beliau  bersyukur program ini akhirnya dapat dijalankan setelah empat tahun tanpa penganjurannya lantaran pandemik COVID-19. Beliau juga berharap agar Hari Keluarga ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga UTM Kuala Lumpur untuk bergembira dan beriadah serta dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja.  Tambahnya lagi, “UTM mahukan warga UTM yang sihat, cerdas dan ceria”.

Sebanyak 20 acara permainan yang melibatkan kategori keluarga, campuran, lelaki dan perempuan serta kanak-kanak telah dipertandingkan. Semua acara yang dipertandingkan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada staf dan ahli keluarga termasuklah penglibatan pengurusan tertinggi kampus berkenaan. Selain itu,  pelbagai aktiviti sampingan menarik seperti inflatable playground, Petting Zoo dan Clown dan juga peniaga food truck yang menghidangkan pelbagai pilihan makanan yang lazat turut memeriahkan lagi penganjuran program ini.

Warga UTMKL bersenamrobik.
Kemeriahan permainan bersama keluarga.
Acara untuk kanak-kanak juga disediakan.

Acara rebut kerusi yang turut disertai VIP.
Kemuncak acara iaitu tarik tali lelaki dan wanita.

Kemeriahan Hari Keluarga ini juga diserikan lagi dengan cabutan bertuah. Sebanyak 60 cabutan disediakan dengan hadiah yang terdiri daripada pelbagai barangan keperluan rumah, barangan elektrik dan hamper dengan hadiah utama, iaitu sebuah televisyen pintar (smart tv) berukuran 50’.

 

Explore More