April 27, 2024

Search
Close this search box.

Matawang Ringgit menjunam : Adakah ekonomi lemah atau sebaliknya

Kekukuhan mata wang sesebuah negara itu mencerminkan kekukuhan ekonominya pada mata pelabur antarabangsa dan kejatuhan matawang melambangkan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil.

Akhbar Sinar Harian pada 1 Julai 2023 melaporkan  nilai matawang  Ringgit Malaysia (RM) mencatatkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023 sekali gus mendahului kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia, manakala ekuiti negara ini dan Thailand adalah yang terburuk dalam pasaran campuran.

Bagi separuh pertama 2023, ringgit mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara sedang pesat membangun Asia apabila susut 5.8 peratus disebabkan oleh aliran keluar modal. Kali terakhir diniagakan adalah pada 4.670 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menghampiri paras terendah dalam lapan bulan (bulan Julai 2023).

“Ringgit mencatatkan prestasi yang kurang baik di Asia berikutan aliran keluar ekuiti asing yang berterusan. Begitupun peningkatan dari segi pertumbuhan boleh mengubah sentimen dan kita boleh melihat ringgit berbanding dolar AS mengukuh sekitar paras 4.60 hingga 4.70 pada separuh kedua 2023,” kata Ahli Strategi Makro DBS Bank, Wei Liang Chang.

Pasaran saham tempatan jatuh sehingga 7.7 peratus dalam tempoh sama dan antara negara yang mencatatkan prestasi terburuk di rantau ini.

Mengulas mengenai perkara ini, Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat telah mewawancara Pengarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Prof. Madya Dr Dewi Fariha Abdullah bagi memberi pandangan terhadap permasalan ini.

Pada suku pertama tahun 2023, ringgit mengalami penurunan hampir 6% pada, antara yang terendah antara negara Asia dan ringgit Malaysia diniagakan dalam paras 4.670 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Punca kelemahan matawang bukanlah berdasarkan kelemahan ekonomi semata-mata malah perlu untuk diambil kira beberapa faktor lain seperti kelembapan dan ketidakstabilan ekonomi global, aliran keluar modal, isu-isu seperti sekuriti makanan dunia, rantaian bekalan atau faktor iklim dunia yang memberi kesan kepada kitaran ekonomi. Namun, Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri seperti sektor pembuatan, perkhidmatan dan  pelancongan yang mampu melonjakkan ekonomi. Ini sekaligus membuka peluang ekonomi melalui penerokaan bidang perniagaan baru seperti aeronautik, teknologi hijau dan ekonomi digital.

Isu politik atau perubahan dalam pentadbiran kerajaan juga merupakan salah satu faktor yang akan memberi persepsi negatif terhadap ketidakstabilan dan memberi kesan terhadap keyakinan ke atas pentadbiran negara. Ini seterusnya memberi kesan kepada ekonomi dan nilai matawang. Kerajaan perlu sentiasa bersedia untuk bertindak cepat kepada perubahan ekonomi atau isu global semasa serta merangka dasar dan strategi pembangunan ekonomi yang jelas. Ini perlu bagi meningkatkan keyakinan kepada pelabur dan ia memberi kesan terhadap jumlah pelaburan terutama dari luar negara. Pada masa sama kestabilan politik perlu dikekalkan dan kerajaan harus meletakkan fokus pentadbiran kepada meningkatkan ekonomi, pembangunan dan rakyat.

Kerajaan juga perlu memastikan dasar-dasar yang dirangka selari dengan perancangan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi rakyat. Apa sahaja pembangunan yang dibuat baik dari segi pembangunan infrastruktur atau modal insan pasti akan memberi kesan yang positif terhadap ekonomi negara. Kewujudan dasar ekonomi atau perniagaan yang menyeluruh jika ditambah dengan kemudahan infrastruktur yang baik dan pekerja berkemahiran, tentunya akan menyebabkan aktiviti ekonomi mampu bergerak dengan rancak. Ini dilihat sebagai strategi untuk mengukuhkan nilai matawang serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara. Kerajaan juga perlu mengenalpasti sektor ekonomi yang berpotensi dan sesuai dengan kepakaran serta tenaga kerja yang ada. Hubungan dplomatik dan hubungan dagangan dengan negara luar serta negara Asean perlu kukuh supaya ada sinergi antara negara serantau yang dapat memacu perancangan ekonomi mampan, sekaligus dapat mengukuhkan matawang negara.

Bank pusat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) juga memainkan peranan penting dalam melakukan kawalan dalam beberapa perkara seperti kadar faedah, kawalan cetakan wang atau jumlah pinjaman yang tidak terkawal.

Bank negara menetapkan kadar faedah sebagai satu instrumen untuk mengawal inflasi yang boleh memberi kesan kepada kestabilan harga barangan. Jika tiada kawalan dari bank pusat contohnya dalam menentukan kadar faedah, kawalan cetakan wang atau jumlah pinjaman yang tidak terkawal, akan menyebabkan harga barangan mengalami peningkatan. Dan sekiranya tiada kawalan pusat terhadap jumlah pinjaman yang tinggi serta lebih berisiko, ini tentunya akan memberi kesan terhadap keyakinan pelabur ke atas mata wang ringgit.

Kesimpulannya fenomena kejatuhan nilai ringgit akan menyebabkan peningkatan kos bahan terutama barang-barang import. Ini seterusnya akan memberi kesan kepada peningkatan kos mengilang, kos barangan dan jualan, yang mana akhirnya meletakkan beban kewangan kepada pengguna akhir iaitu rakyat.

Malaysia perlu sentiasa mengenal pasti faktor yang dapat menyumbang kepada pengukuhan matawang ringgit, termasuk keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia, kestabilan politik, pentabiran yang berintegriti serta.

Kerajaan perlu menetapkan halatuju yang jelas dalam merangka dasar pembangunan negara. Pada satu perspektif, kejatuhan matawang ini dilihat sebagai membuka ruang bagi peningkatan eksport negara kerana barangan dari Malaysia mampu menawarkan harga barang yang lebih murah berbanding negara lain.

Satu usaha yang konkrit perlu juga dilakukan bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia sebagai destinasi percutian mereka. Beberapa sektor yang berpotensi tinggi seperti teknologi tinggi, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui (renewal energy), penerbangan dan pelancongan kesihatan perlu diterokai bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia (RM) memberikan impak yang besar kepada rakyat dan negara (gambar hiasan)
Rakyat turut terkesan melalui peningkatan harga barang keperluan harian seperti makanan ( gambar hiasan)

Explore More